Datuk V Sithambaram - Foto via Yahoo News

PUTRAJAYA, 15 OGOS — Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram, menyifatkan dakwaan wujudnya konflik kepentingan dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC Sdn Bhd membabitkan hakim perbicaraan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah tidak berasas.

Dalam hujahannya beliau berkata, ia adalah percubaan terakhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk memesongkan perjalanan kes dengan mendapatkan maklumat daripada saksi dinamakan dan tidak dinamakan.

Berhujah pada prosiding rayuan terakhir Najib terhadap sabitan dan hukuman atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan hari ini, Sithambaram berkata, permohonan sebenar Najib ialah bagi kesnya dibicarakan semula dan mengisytiharkan sabitan serta hukumannya batal dan tidak sah.

Beliau menegaskan, dakwaan perayu adalah berdasarkan alasan yang tidak mungkin dapat dipertahankan iaitu pinjaman berjumlah RM4.17 bilion diberikan Maybank kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, permohonan untuk memasukkan bukti baharu berhubung peranan Mohd Nazlan sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank tidak disokong dengan afidavit sewajarnya.

Sithambaram turut membangkitkan persoalan mengapa pihak pembelaan tidak membangkitkan isu berkenaan ketika perbicaraan kes di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, sebaliknya ditimbulkan di saat rayuan akhir.

Katanya, permohonan itu adalah satu ‘ekspedisi memancing’ bagi mendapatkan maklumat berhubung sejauh mana peranan Maybank dalam kes berkenaan.

Jelasnya, bukti dan keterangan tambahan itu bukan perkara baharu kerana pihak perayu sudah lama memperolehnya tetapi ia hanya dibangkitkan pada peringkat ini.
“Mereka (perayu) tahu peranan Mohd Nazlan dalam Maybank dan peranan Bina Fikir Sdn Bhd (bahagian penasihat kewangan Maybank) dalam memberikan khidmat nasihat bagi penubuhan SRC.

“Ketika itu, mereka boleh saja membangkitkan perkara ini tetapi mereka memilih untuk tidak berbuat demikian. Mereka mengemukakannya sekarang dengan cara sebegini kerana kes tidak berpihak kepada mereka.

“Adalah jelas Mohd Nazlan tidak ada peranan dan konflik kepentingan dalam kes ini,” katanya.

Sithambaram turut mempersoalkan mengapa perayu (Najib) tidak memohon untuk memasukkan keterangan viva voce (lisan) tiga pegawai Maybank yang dinyatakan dalam permohonan notis usulnya, sebaliknya hanya menamakan keterangan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terbabit dalam siasatan kes.

Beliau juga berkata , lapan dokumen yang dikatakan dihantar ke kediaman Najib di Langgak Duta di ibu negara dalam dua sampul surat tidak bernama, adalah bukti dengar cakap dan tidak boleh diterima memandangkan sumbernya tidak diketahui.

Katanya, afidavit Najib berdasarkan perkara yang tidak diketahui olehnya, sekali gus tidak boleh diambil kira oleh mahkamah.

Sehubungan itu, katanya, pendakwaan memohon permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu ditolak kerana ia tidak relevan dan tidak memenuhi peruntukan undang-undang.

Prosiding bersambung esok dengan peguam Najib, Hisyam Teh Poh Teik akan membalas hujahan responden sebelum panel lima hakim Mahkamah Persekutuan memberikan keputusan.

— BebasNews

Leave a Reply