Hisyam Teh Poh Teik (tengah) - Foto via Blogspot.com

PUTRAJAYA, 15 OGOS — Keterangan tambahan yang mengandungi bukti menunjukkan wujud konflik kepentingan dan berat sebelah membabitkan Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak diberikan kepada pihak pembelaan ketika perbicaraan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi.

Peguam, Hisyam Teh Poh Teik dalam hujahan permohonan notis usul untuk memasukkan bukti dan keterangan tambahan dalam rayuan akhir Najib, berkata pihak pembelaan tidak akan menyedari kewujudan keterangan tambahan itu sehinggalah sampul surat mengandungi bukti itu dihantar ke kediaman anak guamnya 9 Mei dan 7 Julai lalu.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu juga tidak mengetahui berhubung dakwaan pembabitan Mohd Nazlan dalam penubuhan SRC melalui jawatannya sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat di Maybank Investment.

Sehubungan itu, Hisyam berkata, prosiding rayuan akhir itu wajar ditangguhkan sehingga siasatan ke atas Mohd Nazlan selesai dijalankan.

Mohd Nazlan adalah hakim Mahkamah Tinggi yang mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC International dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun serta didenda RM210 juta pada 28 Julai 2020.

Najib memohon untuk memasukkan dalam rayuan akhirnya, antaranya keterangan viva voce (lisan) pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Hussein, berhubung siasatan skandal SRC International.

Keterangan itu adalah sama ada beliau (Rosli) menyedari peranan lalu dan pembabitan Mohd Nazlan sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank berhubung khidmat nasihat strategik yang diberikan oleh Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi penubuhan SRC International pada tahun 2010/2011.

Ia juga berkaitan pinjaman RM140 juta yang diberikan oleh Maybank kepada Putra Perdana Development Berhad (anak syarikat SRC) pada tahun 2014, iaitu sumber RM42 juta yang menjadi perkara utama dalam pertuduhan yang dikenakan ke atas Najib. — BebasNews

Leave a Reply