- BebasNews

Selak Hassan Md NoorBENARKAH Pas tengah kuat di Kedah? Jika berdasarkan kenyataan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor, keadaannya begitulah. Pas memang kuat! Sedangkan UMNO diumpamakan sebagai itik patah kaki.

“Harimau(UMNO) yang kena tembak sedaih (sekali) rebah, lepas itu nak bangkit (bangun), dia tak sekuat dulu kalau dia nak lawanlah,” kata Sanusi selepas pelancaran jentera pilihan raya Pas Kedah oleh Mursyidul Am, Hashim Jasin

Begitulah Sanusi. Kenyataannya kadang-kadang sinis mampu ‘menyentap’ perasaan kawan dan lawan. Kadang-kadang nampak juga ‘cakap besar’. Itulah politik.

UMNO Kedah pada pilihan raya umum (PRU) lalu tetomoih (tersungkur) dengan hanya memenangi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua kerusi Parlimen sedangkan Pas 15 kerusi DUN dan tiga Parlimen.

Maka bukan mudah untuk UMNO yang tetomoih nak ‘rabat’ balik ketika Pas begitu yakin untuk menambah kemenangan kepada 22 daripada 36 kerusi DUN.

Justeru Sanusi mempelawa UMNO untuk bersama Pas di Kedah dalam menghadapi PRU akan datang. Maknanya UMNO bolehlah menumpang kekuatan Pas Kedah bagi menghadapi PH – PKR, Amanah dan DAP serta Pejuang atau Gerakan Tanah Air.

Jika UMNO terima pelawaan itu, agaknya berapa kerusi UMNO boleh bertanding? Adakah sekadar tiga kerusi yang dimenangi apabila Pas sudah menambah lapan kerusi lagi? Bersatu, sekutu Pas dalam Perikatan Nasional (PN) diberi berapa kerusi?

Mungkin melihat percaturan politik ini, Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin menjawab pelawaan itu dengan mengumpamakan ‘pinggan tak retak, nasi tak dingin’.

Menerusi kenyataan melalui Facebooknya hari ini, beliau berkata “Itulah cara orang lama dulu-dulu berbahasa dalam menolak dan mengetepikan sebarang sangkaan bahawa kita terkinja-kinja berkehendakkan orang,”

“Terima kasih, tetapi kami tidak berminat. Kami tidak mahu ‘berkasih sayang’ hanya kerana ada kepentingan tertentu yang hendak dicapai. Itu tidak ikhlas. Bukan kerana kita sombong dan tidak sukakan penyatuan tetapi, asasnya jelas dan konsisten,” katanya.

Menurut Shaiful Hazizy, UMNO yang berpengalaman memerintah juga memang berhajat untuk kembali berkuasa dan memerintah. Itu bukan satu rahsia kerana semua parti politik mempunyai matlamat atau hasrat yang sama.

“Tetapi, kami masih ada prinsip. Janganlah kita ini berpakat hanya kerana kuasa. Berpeluk dan berdakap hanya apabila tiba musim pilihan raya. Di mana nilai perjuangan dan pendirian? Di mana contoh teladan yang baik kepada rakyat?

“Jika kita hendak berbaik-baik dan menyatukan kekuatan, lakukanlah kerana rakyat, konsisten dan bukan bermusim. Ini tidak. Dalam PRN Melaka, mahu bersendiri. Lepas tersungkur, kembali menyatakan kesediaan bekerjasama. Kemudian dalam PRN Johor, kembali solo. Lepas tetomoih, sekali lagi membuka mulut mengajak kepada kebersamaan,” ujarnya.

Pada masa yang sama, sepanjang tahun di Kedah, UMNO dikecam, dipersalahkan dengan pelbagai perkara malah UMNO juga ditohmah ‘begitu dan begini’.

Menurut Shaiful Hazizy, UMNO Kedah mahu dinilai dan dipilih kerana keupayaan dan kesungguhan kerana sedar UMNO bukan parti yang sempurna.

Beliau mengakui kekurangan dan kelemahan UMNO yang berdepan cabaran besar untuk memulihkan diri dan membuat tawaran baharu yang segar dan meyakinkan.

“Tetapi, kami bukan ‘lost cause’. UMNO ada kekuatan dan kelebihan tersendiri. Kalau rakyat yakin, mereka akan pilih. Kalau rakyat rasa kita belum kuat dan belum bersedia lalu mereka menolak kita, UMNO akan terima dengan terbuka.

Ini gelanggang demokrasi, rakyat bukan sahaja pengadil, malah penyokong, penaja, penganjur. Tugas parti politik adalah menawarkan yang terbaik. Bukan berpura-pura untuk berbaik-baik,” katanya.

UMNO juga tidak mahu ‘merosakkan’ Pas apabila Menteri Besar Kedah itu yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas sudah membuat penegasan bahawa Pas kuat di Kedah.

“Jadi, sebagai ‘itik patah kaki’, ‘harimau kena tembak’ dan segala jenis lagi gelaran dan panggilan Pas kepada UMNO, UMNO percaya kita bukan rakan kongsi yang baik dan secocok kepada Pas yang hebat.

Tanpa UMNO pun, bukankah Pas sudah mengisytiharkan kemenangan 22 kerusi? Jadi, kami kalungkan ucapan tahniah dan selamat bekerja kami ucapkan,” katanya.

Bagi Shaiful Hazizy, UMNO akan turun ke medan PRU dengan semangat, iltizam dan perancangan masa depan yang baik untuk Kedah malah mempunyai pelan dan tawaran untuk membangunkan negeri ini dengan selayaknya. — BebasNews

Leave a Reply