Bekas Pengarah BNS Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor (tengah). -- Kredit: Foto BERNAMA.

KUALA LUMPUR, 16 OGOS — Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor, bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd  (BNS)  telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen  dengan tiga pertuduhan pecah amanah dana syarikat itu berjumlah RM21.08 juta berkaitan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini hari ini, menurut laporan Bernama.

Ahmad Ramli, 78, juga adalah bekas Panglima Tentera Laut mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan itu yang  dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Ahmad Ramli dituduh telah melakukan pecah amanah dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140 ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited,  Standard Chartered Bank di Singapore tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS.

Kedua, Ahmad Ramli dituduh telah melakukan pecah amanah dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716 ke akaun Syarikat JSD Corporation, The Overseas-Chinese Banking Corporation Limited Singapura  tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS antara 19 April 2011 dan 4 Mei 2011.

Ahmad Ramli juga didakwa atas kesalahan yang sama dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295 ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd, Standard Chartered Bank Singapura antara 28 Okt 2010 dan 22 Nov 2010.

Ketiga-tiga pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Ahmad Ramli diikat jamin RM500,000 dengan cagaran berbayar RM200,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan  sebutan ke pada 24 Nov tahun ini.

— BebasNews 

Leave a Reply