STADIUM Nasional, Bukit Jalil yang ditutup bagi kerja-kerja penyelenggaraan sejak pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia berakhir 14 Jun lalu, dibuka khusus untuk final Piala FA Ke-32. – Foto AK

PIALA FA, pertandingan kalah singkir kebangsaan paling kerap dimenangi Kedah dan Selangor selain menawarkan slot Piala AFC buat juaranya. – Foto MFL

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai gelanggang perlawanan akhir Piala FA 2022 yang menemukan Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC pada 10 September ini pukul 9 malam.

Perhitungan siapa pemilik trofi edisi saingan kalah singkir kebangsaan ke-32 di situ mendapat kelulusan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) selepas MFL dan dua finalis berkenaan memeriksa keadaan padangnya pada Jumaat lalu.

MFL melalui proses yang panjang untuk menilai kemungkinan beberapa pilihan venue final itu selain faktor padang dengan turut mengambil kira elemen-elemen seperti kemudahan dan perlindungan untuk penyokong kedua-dua pasukan, akses perkhidmatan pengangkutan awam, ruang luas operasi keselamatan para penyokong dan sokongan pihak berkuasa tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, Stadium Nasional turut memudahkan pengelolaan perlawanan, penyiaran, komersial dan muatan stadium sekali gus menjana pendapatan sebanyak mungkin buat kedua-dua pasukan daripada kehadiran para penyokong mereka.

“Buat masa ini, inilah satu-satunya stadium yang mampu memuatkan 80,000 penyokong dalam sesuatu masa dan berada dalam keadaan yang selamat untuk digunakan,” katanya dalam siaran media MFL, hari ini.

STUART RAMALINGAM

Mengenai 10 September sebagai tarikh perlawanan akhir Piala FA 2022 katanya, MFL mulanya mahukan 27 Ogos namun terpaksa memindanya setelah mengambil kira penglibatan JDT dalam peringkat kalah singkir Liga Juara Asia (ACL) 2022 bertemu kelab Jepun, Urawa Reds pada Jumaat ini.

“Jika Harimau Selatan mengatasi Urawa Reds, mereka akan beraksi dalam suku akhir pada 22 Ogos seterusnya mungkin ke separuh akhir, 25 Ogos,” kata Stuart.

Ekoran penetapan final Piala FA pada 10 September, MFL juga terpaksa mengemaskinikan semula jadual Liga Super dan Liga Perdana musim ini.

INILAH peluang terbaik Terengganu FC (jersi putih hitam) menyambar slot Piala AFC 2023 sekiranya menjulang Piala FA 2022. – Foto JDT

“Dua perlawanan Liga Super 10 September melibatkan Melaka United FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang FC dan Kuala Lumpur City FC akan diawalkan sehari,” katanya.

Satu lagi jelasnya, Sabah FC menentang Selangor FC kekal pada 10 September 2022 namun sepak mulanya diawalkan ke 7 malam dari 7.30 malam bagi memberi laluan kepada perlawanan akhir Piala FA yang bermula 9 malam.

“Terengganu FC menentang Penang FC pada 9 September dipinda ke 14 September manakala PJ City FC dan JDT pada 11 September ke 15 September.

“Perlawanan tertangguh Terengganu FC-Melaka United FC pada 2 September dipinda ke 3 September manakala JDT FC menentang Melaka United FC pada 7 September, diawalkan ke 29 Ogos,” katanya.

Turut diluluskan MFL tambahnya ialah pindaan perlawanan KDA FC dan Penang FC pada 1 September ke 2 September 2022.

Semua perlawanan Liga Perdana ekoran tarikh baharu final Piala FA itu yang dijadualkan 11 September, ditukar ke 17 September, katanya.

TERENGGANU FC mara ke final dengan menyingkirkan Selangor FC pada separuh akhir.  – Foto TFC
JDT FC akan terus menjadi pasukan pilihan final Piala FA 2022 dengan status pendahulu Liga Super selain membelasah Penang FC dalam separuh akhir. – Foto JDT

Leave a Reply