SEAN Eugene Selvaraj, pemain Negeri Sembilan FC yang menjaringkan gol cantik terhadap bekas pasukannya, Selangor FC. – Foto MFL

SEAN Eugene Selvaraj (kiri) melepaskan rembatan lambung sejauh lebih 30 meter yang memukau penjaga gol Selangor FC. – Foto MFL

LIMA tahun berlalu, satu lagi peluang untuk bola sepak Malaysia menempa nama dalam peta bola sepak dunia kini terbentang!

Jaringan jarak jauh pemain Negeri Sembilan  FC, Sean Eugene Selvaraj ketika perlawanan Liga Super 2022 menentang Selangor FC pada 31 Julai lalu disahkan telah dicalonkan secara rasmi bagi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2022.

Mohd. Faiz Subri mencipta sejarah sebagai pemain pertama dari Malaysia yang menggondol anugerah berprestij itu di Zurich, Switzerland pada 9 Januari 2017 dengan gol sepakan bebasnya yang ‘menentang hukum fizik’ dalam Liga Super 2016.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundaram berkata dalam siaran media persatuan hari ini, “Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM mengesahkan pencalonan gol Sean (di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya, Selangor) dihantar secara rasmi kepada FIFA untuk Anugerah Puskas FIFA 2022.”

Anugerah Puskas FIFA merupakan pengiktirafan gol tercantik dunia yang bersempena nama penyerang Hungary, Ferenc Puskas kerana koleksi besar jaringannya, 84 gol dalam 85 perlawanan antarabangsa.

Pada 2 Ogos lalu, laman Twitter FIFA menyatakan, gol Sean pada minit ke-88 perlawanan itu disenaraikan antara tiga gol pilihan terbaik mingguan dari seluruh dunia.

Menurut laman FIFA itu, gol-gol itu cukup menarik dan sedia untuk dipamerkan dalam Muzium Seni Perancis, Louvre.
MOHD. Faiz Subri muncul pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016 dengan ‘gol menentang hukum fizik’ dalam Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

“Keajaiban yang berlaku. Adakah antara gol ini akan jadi pencabar dalam (Anugerah) Puskas?,” lapor laman itu.

Sivasundaram berkata, “jawatankuasa ini dalam mesyuarat kali keempat bagi penggal 2021-2025 pada Khamis lalu, turut memutuskan had umur pertandingan Piala Presiden diubah daripada bawah 21 tahun kepada bawah 20 tahun.

“Had umur penyertaan pemain bagi Piala Belia juga diturunkan daripada bawah 19 tahun kepada bawah 18 tahun supaya selaras kitaran had umur bagi pertandingan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC),” katanya yang juga Pengerusi jawatankuasa itu.

Sivasundaram menambah, program akar umbi FAM bagi 2023 akan diperkasakan dalam mendapatkan Keahlian Emas Piagam Akar Umbi AFC daripada Keahlian Perak milik persatuan ketika ini.

“Liga SupaRimau B12, B14 dan B16 akan dimainkan sehingga pusingan akhir peringkat kebangsaan (liga pertandingan) manakala bagi kategori B6, B8 dan B10 lebih bertumpukan pembangunan tanpa carta liga dan dijalankan dalam konsep festival.

“FAM akan menggunakan platform Skim Pembangunan Bakat (TDS) FIFA untuk mengenal pasti, melatih dan melantik pencari bakat dalam semua jenis pertandingan di seluruh pelosok negara.

“Pencari bakat ini bukan saja dalam kalangan jurulatih tetapi juga individu yang mempunyai kebolehan tersebut.

“TDS merupakan platform FIFA kepada ahli-ahli gabungannya untuk membantu individu-individu yang terlibat ini melakukan pencarian bakat dengan kaedah bersistematik,” katanya. BebasNews

 

Leave a Reply