Oleh Akmal Daniel

KUALA LUMPUR — Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Dr Nooh Gadut dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI).

Pelantikan itu berkuat kuasa bermula 30 Jun lalu sehingga 29 Jun 2024.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkata pelantikan Nooh itu diperkenan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-259 pada 30 Jun lalu.

Beliau yang juga Setiausaha MKI, berkata, JAKIM amat mengalu-alukan pelantikan Nooh.

Katanya, watikah pelantikan disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi MKI semalam.

“JAKIM juga ingin mengucapkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Sahibus Samahah Datuk Wan Zahidi Wah Teh, Mufti Perak atas sumbangan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI sejak Oktober 2017,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Hakimah berkata, pihaknya menaruh keyakinan bahawa Nooh akan dapat membantu mempertingkatkan lagi pengurusan dan penyelarasan hal ehwal kefatwaan di Malaysia.

“Ia berdasarkan pengalaman luas dan kredibiliti beliau sebagai mufti Johor sebelum ini serta pembabitan secara langsung dalam institusi kefatwaan, khususnya hal berkaitan isu-isu semasa di negara ini,” katanya.

Nooh yang sebelum ini Mufti Johor ke-11, adalah anak kelahiran Segamat, Johor lahir pada 7 November 1946 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Pagoh, Segamat, Johor, lapor BH Online.

Berkelulusan daripada Universiti Al-Azhar, dalam Al-Ijazah Al-Aliyah (Sarjana Muda) Fakulti Feqah Syariah Al-Islamiyyah dan Wal-Qanun Fakulti Syariah Islam dan Undang-Undang, beliau juga pernah mengikuti beberapa kursus seperti kursus Pengurusan Fatwa Darul Ifta’, Kementerian Keadilan Mesir.

Nooh memulakan kerjayanya sebagai guru agama Kerajaan Johor pada 2 November 1967 dan pernah memegang pelbagai jawatan di Johor selain pernah memangku jawatan sebagai Pegawai Hal-Ehwal Islam, Bahagian Hal-Ehwal Agama, Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 1978.

Pada 9 Julai 1998, beliau menjadi Timbalan Mufti Johor sebelum dilantik menjadi Mufti Johor setahun kemudian sehingga 2008.

— BebasNews

Leave a Reply