Along Eyzendy memuat naik berita tentang pembatalan Muzikal Moyang Salleh di Instagramnya.

MANUSIA hanya merancang, Allah yang menentukan. Itulah yang terjadi kepada produksi Muzikal Moyang Salleh yang dijadualkan mengada persembahan di Istana Budaya, mulai 26 Ogos ini, bagaimanapun dibatal secara tiba-tiba.

Perkhabaran itu sudah pasti merobek hati pelakon yang sudah menjalani latihan bersungguh-sungguh sebelum ini. Salah seorang pelakon Muzikal Moyang Salleh, Along Eyzendy yang memegang watak Si Amat memberitahu berita duka itu menerusi [email protected]

“Assalamualaikum semua. Dukacita saya maklumkan persembahan Muzikal Moyang Salleh yang dijadualkan pementasan pada akhir Ogos ini telah pun dibatalkan.

“Walaupn kontrak telah ditandatangani oleh hampir 90 peratus ahli yang terlibat dan promosi sudah dibuat pelakon, ternyata rezeki tidak menyebelahi kami.

Along Ezendy kecewa kerana pelakon memberi komitmen yang baik dan menolak tawaran lain demi fokus kepada Muzikal Moyang Salleh.

“Paling tak ‘best’ sekali apabila semua yang terlibat telah memberikan komitmen seperti datang latihan, hafal skrip dan terpaksa tolak tawaran lain semata-mata mahu menjayakan ‘show’ ini dan ia menjadi sia-sia,” katanya berkongsi kekecewaan di media sosial.

Along yang nama sebenarnya, Mohd Eyzendy Mohd Aziz, 42, bagaimanapun enggan mendedahkan punca sebenar pementasan terbitan Karyawan Negeri Sembilan dan Yayasan Badan Kebajikan Ahsan Luak Jelebu itu tidak direalisasikan panganjur.

“Apakah sebab dan musababnya tak perlulah saya nyatakan di sini kerana ia melibatkan maruah dan air muka mereka yang bertanggungjawab,” luahnya dalam nada kesal.

Pada masa sama, dia turut mengingatkan mana-mana penganjur teater supaya melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin.

Sepatutnya Muzikal Moyang Salleh dipentaskan pada 26 Ogos hingga 31 Ogos ini.

“Cuma harapan saya sebagai orang teater semoga perkara sebegini janganlah diulangi lagi oleh mereka yang nak buat teater besar terutama sekali di Istana Budaya,” katanya.

Mengikut perancangan asal, Muzikal Moyang Saleh sepatutnya dipentaskan di Istana Budaya pada 26 hingga 31 Ogos ini sempena bulan kemerdekaan yang ke-65 pada tahun ini dengan tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.

Jika ia dipentaskan, Muzikal Moyang Salleh merupakan teater pertama ditonton selepas panggung tersebut dibuka kepada orang ramai.

Teater arahan Roslee Mansor ini menampilkan barisan pelakon nama besar Datuk Ahmad Tamimi Siregar (Moyang Salleh), Khir Rahman (Sultan Abdul Jalil Muazam Shah), Hairi Safwan (Datuk Bendahara), Mubarak Majid (Datuk Temenggung) dan Zuhairi Ibrahim (Tok Laut Api).

Pelakon lain ialah Aloeng Silalahi (Datuk Penghulu Rembau), Azhar Jalil (Si Amat), Raja Mohd Hafiz (Tok Gagah Lela Perkasa), Haf Dzi Sofi (Tok Beruang Hitam), Zaim Zainal (Tok Bauk), Eliza Mustapa (Moyang Timah) dan Melisa Kelvin (Seri Banun). –BebasNews

Leave a Reply