Foto via Blogspot.com

KONTROVERSI mengenai projek perolehan kapal tempur pesisir pantai atau littoral combat ship (LCS) untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang menggelegak pada hari ini adalah isu keselamatan nasional, khususnya keselamatan ketenteraan Malaysia.

Menurut kajian pengurusan keselamatan, sesebuah kerajaan yang menghadapi masalah seperti ini mempunyai dua pilihan utama untuk menanganinya. Pertama, menerusi pendekatan politisasi. Kedua, melalui strategi sekuritisasi.

Pendekatan politisasi dalam pengurusan projek LCS di Malaysia seperti berlaku sekarang, menyebabkan masalah berkaitan dengannya kini dikendalikan menerusi kaedah politik biasa, tanpa mengambil kira aspek kerahsiaannya.

Pendekatan ini juga, mungkin secara tidak sengaja atau sebaliknya, boleh mendedahkan perincian dan kerahsiaan projek ini kepada khalayak ramai, termasuk pihak asing yang sentiasa mengintip pelbagai aspek keselamatan dan pertahanan negara kita demi kepentingan strategik masing-masing.

Kaedah politisasi juga membolehkan sesetengah elemen yang berniat serong di negara kita untuk menggunakan kelemahan pelaksanaan projek LCS ini bagi meracuni pemikiran rakyat dan untuk menggugat keselamatan politik pemerintah Malaysia, terutamanya ketika menjelang sesuatu pilihan raya umum (PRU).

Ini menunjukkan pendekatan politisasi seperti di atas adalah tidak sesuai untuk menangani isu yang melibatkan kontroversi projek perolehan LCS yang sedang dihadapi Kementerian Pertahanan Malaysia.

Strategi terbaik untuk menguruskan masalah ini adalah sekuritisasi. Pendekatan ini membolehkan pemerintah kita mengisytiharkan masalah LCS sebagai isu keselamatan yang perlu ditangani menerusi kaedah terkawal dan selaras dengan tuntutan kerahsiaan keselamatan nasional.

Strategi ini mengelakkan seluruh ciri-ciri kelengkapan pertahanan dan perincian strategiknya daripada sengaja didedahkan kepada umum, khususnya pihak keselamatan serta pertahanan asing serantau dan sejagat.

Pendekatan ini bukan untuk melindungi mana-mana pihak yang didakwa sebagai menyeleweng atau menyalahgunakan kuasa yang kini dipolemikkan secara meluas oleh rakyat Malaysia.

Pendekatan sekuritisasi amat penting untuk membolehkan pelaksanaan projek seperti LCS ini dilaksanakan secara fokus dan berkesan, dan segala kepincangannya ditangani secara telus dan berintegriti.

Pendekatan ini masih mempunyai ruang untuk libat-urus yang diperlukan oleh elemen tempatan, termasuk parti politik tertentu, yang berminat untuk mengetahui perkembangan projek LCS demi ketelusan tadbir urusnya.

Proses libat-urus ini boleh dilaksanakan secara tertutup dan apa yang diperjelaskan kepada pihak yang menerima penjelasan ini mesti diminta untuk merahsiakannya supaya tidak boleh dihebahkan demi kepentingan politiknya.

Berdasarkan naratif di atas, apa yang berlaku dalam konteks projek LCS di negara kita sekarang ini, sepatutnya telah diuruskan menerusi pendekatan sekuritisasi sebaik sahaja Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerima Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri I yang mengesan kepincangan pelaksanaannya pada 2019.

Lapan prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau Public Account Committee (PAC) mengenai projek ini yang dilaksanakan sehingga tahun ini pula seharusnya telah dijalankan berdasarkan kaedah sekuritisasi yang menitikberatkan kerahsiaan demi keselamatan nasional, di mana laporannya juga wajar dibentangkan berasaskan prinsip kerahsiaan yang tinggi.

Dalam pada itu, keputusan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerusi kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Menteri Kanan Pertahan pada Februari 2020, untuk meneruskan projek LCS “demi kepentingan TLDM”, adalah wajar.

Ini kerana sesuatu proses perolehan kelengkanan pertahanan dan keselamatan memang lazimnya digandingkan dengan matlamat untuk menjadikan industri pertahanan sebagai satu cabang ekonomi yang membolehkan pemindahan teknologi serta membawa keuntungan kepada negara kita dalam tempoh jangka panjang.

Hakikat ini telah didefinisikan dengan lebih jelas dan terperinci dalam Kertas Putih Pertahanan Malaysia 2020 agar industri pertahanan di negara kita menjadi satu daripada penjana ekonomi yang mantap di hari muka.

Oleh itu, adalah wajar untuk Kerajaan Keluarga Malaysia (KM) pada hari ini menimbangkan pengendalian projek perolehan LCS yang disifatkan sebagai sedang bermasalah, menerusi strategi sekuritisasi dengan seberapa segara.

Kerajaan KM perlu bertegas sebab strategi sekuritisasi ini bukan dilaksanakan atas pertimbangan politik, tetapi dilakukan atas tuntutan keselamatan nasional demi negara dan keselamatan rakyat jelatanya.

Namun, tindakan ini mesti diabsahkan oleh seluruh pemegang taruh keselamatan dan pertahanan di Malaysia, serta mendapat sokongan pihak swasta yang melaksanakan projek berkenaan di semua peringkat.

Tindakan sekuritisasi ini juga menuntut semua pihak dilarang membuat sebarang kenyataan mengenai perkembangan projek ini, melainkan oleh pihak yang dimandatkan oleh kerajaan untuk mengeluarkan kenyataan berkenaan.

Segala proses libat-urus dengan pihak yang prihatin dengan perkembangan projek LCS ini, termasuk dengan parti-parti politik, mestilah dijalankan secara tertutup berasaskan prinsip kerahsiaan yang ketat, seperti dihuraikan di atas.

Ini bermakna, pihak yang menerima penerangan menerusi proses libat-urus tersebut mesti merahsiakan maklumat yang mereka perolehi dan boleh dikenakan tindakan sewajarnya jika ia dobocorkan atau dijadikan bahan polemik politik demi matlamat tertentu.

Untuk mengelakkan Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta kontraktor yang terlibat dengan pembinaan LCS ini daripada dijadikan kambing hitam oleh pihak tertentu, pengurusan projek yang telah disekuritisasikan ini wajar diuruskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) selaku sekretariatnya.

MKN pula wajar bertindak selaras dengan seluruh prosedur pengurusan projek atau perolehan pertahanan yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan yang bercita-cita “menginstitusikan tadbir urus terbaik untuk memastikan reformasi pertahanan dilaksanakan secara berperingkat dengan telus dan kebertanggungjawaban.”

Keterlibatan MKN ini membolehkan Perdana Menteri selaku Pengerusinya, untuk menjamin ketelusan dan keberkesanan projek LCS yang akan diteruskan pelaksanaannya.

Memang pihak yang sedang ghairah mempolitikkan isu LCS demi kepentingan partinya menjelang PRU15, akan mempropagandakan sekuritisasi dan keterlibatan MKN ini kononnya dilaksanakan atas pertimbangan politik.

Tuduhan seperti ini amat tidak relevan kerana sesuatu tindakan sekuritisasi adalah dilsksanakan oleh sesebuah kerajaan demi keselamatan nasionalnya. Lantas, pihak yang menentangnya adalah kelompok yang boleh dipersepsikan sebagai sengaja tidak prihatin kepada keselamatan nasional.

Selain itu, semua parti politik di negara kita mesti insaf bahawa pelaksanaan projek LCS ini melibatkan era Kerajaan Barisan Nasional (BN), PH, PN dan KM.

Lantas, jangan ada mana-mana pihak yang cuba untuk menjuarai isu ini atau mahu mengeksploitasikannya untuk mendapatkan sokongan rakyat menjelang PRU15.

Sebaliknya, mereka perlu patuh jika isu LCS ini disekuritisasikan oleh kerajaan demi kepentingan keselamatan nasionalnya, dan sama-sama melaksanakan tuntutan sekuritisasi ini seperti diperincikan di atas.

Hakikatnya demikian kerana pengurusan keselamatan di sesebuah negara, termasuk di Malaysia, hanya akan berjaya dengan sokongan seluruh masyarakat dan warganegaranya.

Hakikatnya juga demikian kerana keterlibatan seluruh masyarakat dan warganegara dalam menjayakan pengurusan keselamatan mencerminkan amalan yang mulia.

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply