Foto SH TEAM

PEPATAH Melayu ada berkata ‘Patah tumbuh, hilang berganti’ namun apa yang pasti yang tumbuh tak akan sama dengan yang patah. Dan yang berganti mana mungkin sama dengan yang hilang. Itulah realiti sebuah kehidupan.

Meskipun kemunculan para penyanyi hari ini bagaikan cendawan tumbuh di musim hujan namun kita tidak boleh menafikan keistimewaan dan kehebatan penyanyi 1960-an yang seorang ini kerana dia masih kekal di hati para peminat setianya.

Biarpun tidak ramai biduanita pada era kegemilangan pop yeh-yeh masih ada namun kehadiraan beliau di pentas dewan Esplanade, Singapura baru-baru ini benar-benar membuktikan beliau adalah ‘sebutir bintang’ yang masih bersinar dan bergemerlapan meskipun pertama kali muncul di ruang pentas yang berprestij seperti pentas dewan berkenaan.

Kemunculannya buat pertama kali pada konsert mega solonya bukan sahaja mampu membangkitkan nostalgia masa lalu malah membuktikan kehadirannya bukan sekadar pada nama.

Kelunakan suaranya dalam mendendangkan 20 buah lagu-lagu hitsnya bersama 1,878 para peminat setianya yang memenuhi setiap ruang empat tingkat dewan berkenaan dari pelbagai usia membuktikan betapa hebatnya beliau biarpun waktu dan keadaan ‘memisahkan’ beliau seketika daripada para peminat setianya.

SANISAH Huri bersama Yusnor EF, penulis lirik terkenal yang banyak membantu kejayaannya dalam dunia seni.

Siapa sangka pada usianya mencecah 70 tahun suaranya ketika mendendangkan lagu-lagu popularnya tidak banyak bezanya ketika pertama kali beliau bergelar penyanyi ketika itu.

Itulah Sanisah Huri. Biduanita popular sejak era pop yeh-yeh yang buat pertama kali muncul pada konsert mega solonya “Sanisah Huri – The Lady In Concert” pada akhir Julai lalu.

Memang tidak dinafikan pada era pop yeh yeh kehadiran penyanyi sentiasa dihargai kerana lagu-lagu mereka memang melekat di hati para peminatnya.

Tetapi untuk bertahan lebih daripada lima dekad dalam gelombang irama muzik sering berubah bukanlah sesuatu yang mudah.

Sedangkan penyanyi yang muncul pada era 1980-an pun sukar mempertahankan kedudukan mereka tetapi tidak bagi biduanita kecil molek era 1960-an ini, dengan kelunakan suaranya tidak mampu membuat para peminat melupakannya.

Dengan lagu popularnya “Si Baju Hijau, Taj Mahal, Kisah Tuah dan Tijah dan Sejakku Bertemu Padamu,” Sanisah Huri membuktikan biar tahun silih berganti dan biarpun penglibatannya dalam bidang seni sudah mencecah 55 tahun namun apa yang pasti dia masih relevan dalam dunia seni hari ini dan mempunyai ribuan peminat setia yang tidak pernah melupakannya.

Sebab itu tidak hairanlah dalam setiap lagu yang dinyanyikan malam itu beliau tidak keseorangan sebaliknya ia turut membawa para peminatnya menyanyi dan menari bersama sebagai menghargai ‘the living legend’ ini.

Walaupun telah dua kali konsert ini ditunda kerana pandemik Covid-19, namun ‘permata seni ini tetap bercahaya dan bergemerlapan’ dengan keistimewaannya yang tersendiri!

Setelah konsert beliau berakhir, saya yang diberi peluang menemuramah ‘the living legend’ ini selama 10 minit sahaja oleh Pengurus Peribadi yang juga Pengarah konsert berkenaan, Rusedah Tawahid, terpegun seketika tatkala pertama kali menatap wajah penyanyi yang pernah menjadi pujaan saya ketika masih bersekolah dalam darjah tiga pada tahun 1967 di Singapura.

Benarlah ada yang berkata umur sekadar angka, kerana pada usianya mencecah 70 tahun tidak banyak yang berbeza. Beliau tampak ‘cantik dan manis pada usianya’ apalagi dengan lembut dan sopan tatkala menjawab soalan demi soalan daripada saya.

Biar mungkin beliau dikatakan tidak begitu minat ditemuramah namun 10 minit bersamanya saya ‘kalah’ dengan sifat santun wanita timur yang begitu menebal pada seorang Sanisah Huri!

Sebab itu tidak hairanlah mengapa setelah lebih lima dekad bergelar anak seni dan jarang muncul di khalayak ramai ia tidak mampu memisahkan Sanisah Huri dengan para peminat setia yang tidak terbatas usianya.

Bersandarkan itu waktu yang begitu mencemburui kami, saya gunakan sebaik mungkin agar soalan saya tidak ‘menyentuh hati dan perasaan’ biduanita yang kaya dengan senyuman ini.

SANISAH Huri bersama Pengarah Konsert dan Pengurus Peribadinya, Rusedah Tawahid.

Bagi Sanisah Huri, walaupun telah melayari hidup sebagai anak seni selama 55 tahun beliau tidak menjangka ‘konsert mega’ ini memberi impak yang besar bukan sahaja kepada para peminatnya malah dirinya yang bergelar penyanyi!

“Sebenarnya saya sendiri tidak menduga konsert solo pertama saya sepanjang perjalanan bergelar anak seni mendapat sambutan di luar jangkaan.

“Sebelum berlangsungnya konsert ini saya ragu-ragu respon penonton dan kemampuan saya. Iyalah pada usia begini bimbang apakah saya mampu menyanyi dengan baik. Alhamdulillah semuanya dengan izin-Nya dan ia berjalan dengan baik. Terima kasih kepada semua iaitu para peminat, mereka di belakang tabir dan tidak lupa, buat Rusedah,” kata Sanisah Huri yang lebih mesra disapa ‘Kak Nisah’ sepanjang temubual itu.

 

Menurut Sanisah Huri, pertama beliau tidak menduga setelah dua kali konsert ini ditangguhkan kerana dunia dilanda pandemik Covid-19, para peminatnya masih setia menanti kemunculannya.

Bukan itu sahaja, dalam gelombang dunia seni hari ini beliau tertanya-tanya apakah masih ada yang meminati penyanyi ‘kelahiran pop yeh yeh.’

Namun keraguannya terjawab apalagi dengan kebijaksanaan beliau dan mereka di sebalik konsert berkenaan dalam memilih 20 daripada 120 lagu ‘hits’ yang pernah dirakamkannya.

“Alhamdulillah para penonton menerima pemilihan lagu-lagu malam ini. Bukan itu sahaja, malah saya sendiri tidak menduga mereka boleh menyanyi dan menari sepanjang persembahan saya,” ujar Sanisah Huri sambil mengukir senyuman yang amat manis.

55 tahun tanpa kontroversi

Bagi saya, walaupun tidak mengenali Sanisah Huri secara dekat namun dalam pertemuan waktu yang begitu terbatas saya dapat merungkai mengapa penyanyi yang mulanya sekadar menyanyi di majlis kahwin kemudian menyanyi “Siapa Gerangan” lagu runut filem “A Go Go 67” dapat bertahta sekian lama di hati para peminat seusianya dan para peminat yang masih muda.

Apa yang pasti sepanjang perjalanan sebagai anak seni, beliau tidak pernah terpalit dengan sebarang kontroversi kerana apa jua berita yang tersiar di akhbar dan majalah hanyalah tentang karier seninya.

“Sebenarnya sejak dari awal saya menjejakkan kaki dalam dunia seni, saya memang tidak minat keluar tanpa tujuan dan ‘segan’ untuk ditemuramah.

“Sejak dahulu lagi, saya hanya keluar apabila ia ada kena mengena dengan karier saya seperti untuk ke studio rakaman atau untuk program televisyen.

“Namun itu bukanlah bermakna saya ni anti-sosial, saya berjumpa dengan kawan-kawan sealiran jika ia berkaitan dengan tugas kami sebagai anak seni. Selebihnya waktu senggang saya lebih suka duduk di rumah,” luah Sanisah Huri penuh ikhlas.

Sanisah Huri dikatakan amat menghargai para peminatnya. Sebab itu jangan terkejut jika ada peminat muda yang hadir ke persembahannya di hotel datang berjumpanyabdan menyampaikan salam emak mereka kepada beliau.

Bukan itu sahaja, malah keesokan hari iaitu selepas konsert solonya pada malam itu, beliau tidak kekok menyantuni peminat yang menyapanya di sebuah restoran apabila wanita empat beradik itu memberitahu mereka adalah peminat tegarnya yang telah menyaksikan konsert di Dewan Esplanade tetapi tidak berpeluang bertemunya.

“Saya menghargai setiap sokongan para peminat saya. Tidak kira yang muda atau seusia saya,” kata Sanisah Huri.

Pada konsert solo itu yang turut menampilkan bakat baru, Diana Nazry Razak dan Dhwan Abu, bukan sahaja dihadiri ribuan peminatnya malah turut mengundang tetamu istimewa iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim dan isterinya, Pengerusi Puspanita FINAS, Azlina Jahaya.

Dr. Md. Nasir Ibrahim menyampaikan sumbangan Program Ziarah Prihatin FINAS kepada Sanisah Huri selepas menyaksikan “Sanisah Huri: The Lady In Concert” yang berlangsung di Dewan Esplanade, Singapura pada Julai lalu.
Turut memerhati Azlina Jahaya (kanan sekali) dan Rusedah Tawahid (kiri sekali).

Dr. Md. Nasir Ibrahim menghadiri konsert berkenaan sempena Program Ziarah Prihatin FINAS bertujuan menyantuni seniman, seniwati dan biduanita yang pernah mewarnai zaman kegemilangan filem Melayu dan kehebatan penyanyi era pop yeh yeh disamping memberi sumbangan.

Disamping itu beliau turut mengundang biduanita Sanisah Huri menghadiri Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) yang akan berlangsung di Melaka Bandaraya Bersejarah pada minggu pertama Disember ini.

Antara Kassim Masdor, Yusnor Ef dan P. Ramlee

SANISAH Huri (berdiri dua dari kiri) dan kakaknya, Rahmah (bertudung maroon) menyantuni peminatnya yang menyapanya ketika beliau dan kakaknya makan tengah hari di Mackenzie Rex Chicken Rice Restaurant di Prinsep Street, Singapura.
Mereka adalah peminat yang menyaksikan “Sanisah Huri: The Lady in Concert.”

Sanisah Huri memulakan persembahannya selama dua jam itu dengan lagu “Ku Rindu Padamu” sebagai menzahirkan penghargaan dan kerinduannya kepada para peminatnya dan “Siapa Gerangan” lagu runut filem “A Go-Go 67” yang telah memperkenalkannya pada dunia seni.

Bagi Sanisah Huri selain bakat anugerah-Nya, Allahyarham Kassim Masdor dan penulis lirik, Yusnor EF banyak membantu kejayaannya sebagai seorang penyanyi sehingga hari ini.

“Malah saya masih ingat ketika saya mengikut Kassim Masdor melawat P. Ramlee di rumahnya dan beliau memuji lagu ciptaan Kassim Masdor,” cerita Sanisah Huri.

Menyentuh mengenai “Si Baju Hijau” lagu ‘finale’ konsert meganya yang menggamatkan dewan berkenaan, Sanisah membuka cerita;

“Lagu ini ciptaan Asnadi Markop dengan lirik ditulis oleh penyanyi A. Romzi dan dirakamkan ketika Singapura baru mencapai kemerdekaannya yang ketiga pada tahun 1968. Tetapi sampai saat ini saya tidak pernah berjumpa dengan pencipta lagu ini.”

Bersandarkan kejayaan “Sanisah Huri : The Lady In Concert” adalah difahamkan Sanisah akan muncul pada siri kedua konsert berkenaan yang akan diadakan di Kuala Lumpur tidak lama lagi.

SANISAH Huri (berbaju merah) bersama Rusedah Tawahid (bertudung merah) bersama sebahagian team yang menjayakan konsert “The Lady in Consert” di Esplanade di Singapura baru-baru ini.

Si Baju Hijau

Si baju hijau
Sedang bertugas
Di perbatasan
Peluru tak bermata
Harus waspada

Datangnya ia
Tak kenal saudara
Lawanlah itu satu
Dengan hati semangat waja
Tanda putra setia

Gagah perkasa
Bersedia
Siang malam
Di persada negara

Si baju hijau
Sedang bertugas
Di perbatasan
Peluru tak bermata
Harus waspada

Gagah perkasa
Bersedia
Siang malam
Di persada negara

Si baju hijau
Sedang bertugas
Di perbatasan
Peluru tak bermata
Harus waspada

Lagu: Asnadi Markop
Lirik: A. Romzi


— BebasNews

Leave a Reply