DR. Md. Nasir Ibrahim ( empat dari kiri) bersama Panshah (tiga dari kiri), Syamsul Yusof (tiga dari kanak) dan ahli PFM selepas sesi sinergi Industri Filem yang berlangsung minggu lalu di Pejabat FINAS, Hulu Kelang, Selangor.
EKSKLUSIF BEBASNEWS

EMPAT puluh tujuh syarikat penerima DKD diberi tempoh dua minggu daripada tarikh penerimaan Letter of Demand (LOD atau Surat Tuntutan) daripada FINAS untuk memberi maklumbalas sebelum tindakan mahkamah dikenakan terhadap mereka.

LOD dihantar kepada semua syarikat berkenaan yang menerima DKD tetapi gagal menyiapkan projek seperti mana yang diluluskan.

Melalui LOD itu, syarikat yang telah menerima Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sejak tahun 2015 sehingga tahun 2019 melibatkan dana berjumlah RM22 juta.

FINAS mengeluarkan LOD itu sebagai pemantauan berkala terhadap projek-projek sakit disamping mendapatkan kembali dana yang telah diberikan kepada syarikat berkenaan jika gagal melapurkan kemana dana itu dibelanjakan.

DR. Md. Nasir Ibrahim

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim memberitahu BebasNews kesemua syarikat berkenaan didapati gagal menyiapkan projek mereka pada tarikh yang telah ditetapkan berdasarkan DKD yang mereka terima.

“Pihak kami memberi tempuh selama 14 hari kepada syarikat penerima DKD membalas LOD itu sebelum kes ini dibawa ke mahkamah,” tegas Dr. Md. Nasir Ibrahim.

Beliau memberitahu diantara 47 penerima DKD itu sebuah syarikat penerbitan menerima dana ‘terbesar’ iaitu sebanyak RM5 juta bagi tujuan menerbitkan filem.

Bagaimanapun katanya sehingga hari ini FINAS tidak mendapat sebarang maklumbalas perkembangan terkini daripada syarikat berkenaan mengenai filem yang sepatutnya diterbitkan.

Dr. Md. Nasir Ibrahim memberitahu FINAS melalui DKD juga meluluskan mereka yang layak menerima Dana Mikro sebanyak RM3,000 bagi membantu penggiat industri menghasilkan video pendek.

DKD yang sebelum ini dikenali Dana Industri Kandungan Digital (DIKD) mula diperkenalkan pada April 2015 bertujuan merancakkan pembangunan industri kreatif tempatan agar mampu bersaing dan lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.

Melalui DKD bukan sahaja menggalakkan para penggiat industri menghasilkan penerbitan yang mampu di pasaran tempatan dan antarabangsa malah membangunkan modal insan yang bermutu secara lestari bagi mengoptimumkan potensi industri kreatif sebagai sumber pendapatan negara dalam mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi.

Ditanya harapan beliau dalam menangani isu DKD, Dr. Md. Nasir Ibrahim berkata;

“Harapan saya agar penerima dana haruslah komited dan bertanggungjawab. Ramai yang memohon tetapi tidak berjaya mendapat dana berkenaan.

“Disebabkan peluang yang diberi telah disia-siakan FINAS harus bertanggungjawab dengan mengambil tindakan undang-undang bagi memastikan dana kerajaan yang disalurkan kepada penerima digunakan dengan amanah.”

DR. Md. Nasir Ibrahim bersama Syamsul Yusof dalam satu pertemuan minggu lalu di Pejabat FINAS, Hulu Kelang, Selangor.

Bercakap mengenai lawatan rasmi empat hari ke Indonesia mulai esok, Dr. Md. Nasir Ibrahim berkata;

“Tujuan lawatan itu adalah untuk meningkatkan hubungan antara dua negara dari konteks industri perfileman disamping menyentuh mengenai penerbitan bersama dan pemasaran filem.

“Disamping itu, ia juga menyentuh mengenai filem ‘box office’ Mat Kilau yang akan mula ditayangkan di sana mulai 30 Ogos ini. Adalah difahamkan lebih 100 buah pawagam akan menayangkan filem ini.”

Disamping itu menyentuh mengenai sesi sinergi industri bersama Syamsul Yusof, pengarah filem ‘box office’ Mat Kilau dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) minggu lalu beliau berkata;

“Dalam pertemuan itu perbincangan lebih menjurus kepada isu, cabaran dan penambahbaikan industri perfileman yang merangkumi aspek kawal selia ekosistem khususnya jenayah cetak rompak digital yang memberi impak negatif kepada ekonomi, harta intelek dan produktiviti industri.

“Selain itu, perbincangan dua hala itu juga memberi fokus kepada galakan dan sokongan FINAS dalam aspek polisi, cukai, dana, pelaburan, modal insan dan pemasaran.”

Filem box-office “Mat Kilau” akan mula ditayangkan mulai 30 Ogos ini di 100 pawagam di Indonesia.

Selain itu Dr. Md. Nasir Ibrahim turut memberitahu tindakan proaktif yang telah diambil oleh FINAS bagi menyelesaikan isu-isu yang berbangkit oleh para penerbit terutama fungsi Jawatankuasa Cetak Rompak yang diketuai oleh FINAS dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan agensi kerajaan yang lain.

Disamping itu katanya, FINAS juga telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri mengenai isu cukai hiburan dan pembangunan industri filem.

“FINAS sentiasa bersifat terbuka dalam menerima pandangan daripada para penggiat industri filem untuk sama-sama memacu kecemerlangan industri bersandarkan Dasar Perfileman Negara yang sedang dalam fasa pindaan dan penambahbaikan,” tegas Dr. Md. Nasir Ibrahim.

Turut hadir dalam pertemuan itu Presiden Penerbit Filem, Panchacharam P. Nalliah dan Ketua Pegawai Eksekutif PFM, Zahrin Aris.

 

Leave a Reply