Mesej bergambar yang tular dalam media sosial sejak semalam.

PONTIAN — Spekulasi bila tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), yang kononnya bakal diadakan pada 8 Oktober depan tidak memberi kesan kepada UMNO.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penularan beberapa tarikh penting membabitkan PRU-15 itu yang semakin hangat ditularkan itu adalah lumrah dunia politik, tambahan lagi penggal pentadbiran negara bakal cukup tempoh tahun depan.

“Itu spekulasi yang berpanjangan (tular tarikh PRU-15). Spekulasi PRU-15 ini setiap minggu akan ada.

“Saya anggap ia hanya spekulasi sehinggalah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, betul-betul bubarkan Parlimen nanti.

“Apapun, kita jangka (tarikh PRU-15) tidak lama lagilah. Kalau sampai bulan lima tahun depan, itu sudah lengkap lima tahun (penggal pentadbiran),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis Kibaran Jalur Gemilang Peringkat Parlimen Pontian, di Sungai Pinggan hari ini.

Sejak kelmarin, tular di media sosial mengenai beberapa tarikh utama membabitkan PRU-15, termasuk pembubaran Parlimen (1 September), penamaan calon (25 September) dan tarikh mengundi (8 Oktober). — BebasNews

Leave a Reply