ANAK perempuan Datuk Seri Najib Tun Razak meluahkan rasa kecewa dan terkilannya dengan sikap membisu sahabat-sahabat mantan Perdana Menteri itu ekoran rayuan akhir penangguhan kes SRC International yang ditolak Mahkamah Persekutuan, semalam.

Nooryana Najwa Najib, 34, berkata dalam satu laman sosialnya, yananajib: “Pada akhirnya, kita akan mengenang bukan kata-kata musuh-musuh kita, tetapi sikap membisunya rakan-rakan kita.”

Luahan perasaannya itu dipetik daripada kata-kata Martin Luther King Jr., pejuang hak asasi Amerika Syarikat berkulit hitam dalam era 50-an hingga 60-an.

Yana (nama timangannya) merupakan anak perempuan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor serta berkelulusan Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

Dalam satu lagi laman sosial, Sahabat Bossku menyebut, “seekor (seorang) pemimpin UMNO (pun) tidak berbunyi membangkitkan ketidakadilan yang dikenakan ke atas (terhadap) Najib, semalam.

Dia membandingkan dengan perjuangan dan kesungguhan mantan Presiden UMNO itu yang menjawab segala isu untuk para pemimpin UMNO itu daripada jadi pembangkang sampai boleh merasai jawatan sekarang tetapi langsung tidak menyuarakan pembelaan.

“LCS (kapal tempur pesisir) kalau Najib tak jawab… seekor haram jadah pun tak jawab fitnah PH (Pakatan Harapan) dan PN (Perikatan Nasional).

“Yang berkampung kempen untuk BN (Barisan Nasional) di Sabah, Melaka dan Johor ialah DSN (Datuk Seri Najib),” kata Sahabat Bossku.

Tambahnya, Najib jugalah yang menjawab segala macam serangan terhadap kerajaan sekarang (diterajui Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob).

“Tetapi ini balasan korang (anda semua)?

“Sudah tiba masanya DSN berhenti mempertahankan UMNO dan BN. Fokus untuk diri sendiri dan keluarga sahaja sekarang DS (Datuk Seri).

“Tidak guna pertahankan barisan pengkhianat,” kata Sahabat Bossku.

 

Leave a Reply