BALING tukul besi wanita turut gagal menarik  minimum enam negeri peserta Sukma Ke-20. – Foto MSN

LOMPAT bergalah bakal ketandusan atlet-atlet pelapis wanita kerana gagal dipertandingkan dalam olahraga Sukma, bulan depan. – Foto MSN

ENAM acara olahraga dan lima bagi akuatik terjun yang semuanya kategori wanita, digugurkan daripada Sukan Malaysia (Sukma) Ke-20 pada 16 hingga 24 September ini kerana penarikan diri saat akhir oleh negeri-negeri sebelum tarikh pendaftaran ditutup.

Penggugurannya daripada temasya di ibu kota ini juga disebabkan tidak memenuhi syarat minimum penyertaan enam negeri biarpun Jawatankuasa Tertinggi Sukma cuba melonggarkannya daripada lapan negeri pada awalnya.

Acara-acara olahraga itu ialah 10,000 meter jalan kaki, lompat bergalah, baling tukul besi dan lontar peluru manakala 1 dan 3 meter papan anjal, 10m platform, 3 dan 10m papan anjal seirama bagi akuatik terjun.

Justeru Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menafikan jawatankuasa berkenaan yang cuba mengekang penyertaan atlet-atlet menerusi pelbagai syarat pertandingan Sukma Ke-20, 2022.

“Secara dasarnya objektif utama Sukma ialah menggalakkan penyertaan seramai mungkin atlet-atlet muda dari seluruh negara untuk diketengahkan dan digilap supaya mampu bersaing di pentas antarabangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sukma yang diperkenalkan pada 1986 katanya, dapat mengelakkan pengguguran 11 acara itu jika negeri-negeri peserta tidak membuat penarikan diri pada saat-saat akhir.

AHMAD Faizal Azumu diapit Timbalannya, Datuk Seri Ti Liang Ker (kiri) dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk M. Jana Santhiran ketika melancarkan Detik 30 Hari menjelang Sukma Ke-20, 2022, semalam. – Foto MSN

Jawatankuasa itu yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faisal Azumu katanya, mengarahkan MSN bekerjasama dengan persatuan-persatuan sukan kebangsaan bagi menganjurkan lebih banyak kejohanan kebangsaan untuk atlet-atlet muda ini yang tidak dapat beraksi dalam Sukma.

“Isu ini sememangnya diberikan perhatian serius dan perbincangan bersama semua pengarah majlis sukan negeri perlu dilakukan bagi mencari penyelesaian terbaik yang tidak akan merugikan pembangunan bakat-bakan muda sukan negara,” katanya. — BebasNews

SEHINGGA lima acara akuatik terjun wanita terpaksa digugurkan daripada Sukma, bulan depan. – Foto MSN
AHMAD Shapawi Ismail mahukan persatuan-persatuan sukan kebangsaan memperbanyak kejohanan kebangsaan sebagai menampung ketiadaan 11 acara dalam Sukma 2022. – Foto MSN

 

Leave a Reply