Gerakan Tanah Air ada Pelan B jika pendaftarannya dilengah-lengahkan

MAHATHIR Mohamad (depan, tengah) dalam sidang media oleh GTA di Putrajaya. – Foto Astro Awani 

TUN Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, Gerakan Tanah Air (GTA) yang beliau sebagai Pengerusi Penajanya, mempunyai Pelan B jika terdapat pihak tertentu cuba melengah-lengahkan pendaftarannya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, akan datang.

Katanya, pihak seperti UMNO kalau berkuasa seperti sekarang atau ROS (Jabatan Pendaftar Pertubuhan), akan melakukan perbuatan salah itu seperti mana yang terjadi kepada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang juga pernah dipengerusikannya dan Pakatan Harapan (PH).

“ROS melambat-lambatkan proses pendaftaran seperti pengalaman dekat PRU 14 lalu (2018). Kalau UMNO berkuasa, nanti mereka tidak daftar.

“Bersatu dulu sudah daftar, digantung (kelulusannya), Pakatan Harapan (PH) tidak didaftar, itu strategi mereka.

“Namun kami yakin kali ini perbuatan salah itu tidak akan dilakukan. Kami juga punya Pelan B kalau ada percubaan pihak berkenaan ke arah itu,” katanya yang dipetik daripada siaran langsung sidang media oleh sebuah saluran TV dari Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini.

MAHATHIR Mohamad menganggap UMNO sudah rosak daripada peringkat akar umbi lagi dengan politik wang. – Foto Astro Awani

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) – satu daripada tonggak GTA, berkata, mereka akan bertanding dalam 120 kerusi Parlimen dan 280 kerusi Dewan Undangan Negeri di Semenanjung dalam PRU Ke-15 tidak termasuk Sabah yang didapati turut memberikan banyak sokongan kepada mereka.

GTA jelas Dr. Mahathir, juga akan bersikap memilih dalam menjalin kerjasama dengan parti-parti di luar gerakan itu kerana mengakui mungkin tidak mampu memperoleh lebih 50 peratus kerusi yang ditandinginya dalam PRU 15.

“Dalam kes ini, kami perlu dapatkan sokongan parti lain tetapi kami akan memilih parti dan tidak akan bekerjasama dengan mereka yang penjenayah seperti mencuri duit berbilion-bilion,” katanya.

Turut berganding bahu dalam GTA selain Pejuang ialah Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Mantan Perdana Menteri itu menambah, GTA mendapati negara ini sudah tercemar dan buruk kerana kerajaan sekarang tidak memberikan perhatian kepada apa yang telah terjadi kepada orang-orang Melayu.

“Hari-hari kita dengar ada orang curi duit sampai berbilion-bilion RM. Hendak buat enam kapal tempur pesisir (LCS), satu kapal pun tidak buat tetapi duit sampai RM6 bilion hilang malah hendak tambah sampai jadi RM11 bilion.

“Itulah duit yang kita hilang dan banyak lagi seperti 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan KWAP (Kumpulan Wang Persaraan) pun hilang,” katanya.

Perjuangan GTA menurut Dr. Mahathir juga mahukan orang-orang Melayu yang masih miskin dan terhimpit serta berasa perlu bersatu ketika ini, berkongsi kekayaan negara ini dengan adil tanpa merampas harta kaum lain.

 

Leave a Reply