JOHOR BAHRU 18 Ogos — Ketika Barisan Nasional (BN) peringkat pusat menaruh harapan Johor menyumbang 20 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kepemimpinan negeri hanya berani meletakkan sasaran 10 kerusi sahaja.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad nampaknya bersikap ‘rendah diri’ bagi menghadapi PRU15 berikutan persaingan sengit dan cabaran politik yang sentiasa dinamik yang bukan lagi meletakkan Johor kubu terkuat UMNO-BN.

Bekas Menteri Besar itu yang berjaya memimpin BN menerajui semula kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac lalu menjangkakan pada ketika ini, BN hanya mampu memenangi 10 daripada 26 kerusi Parlimen di negeri ini pada PRU15.

Menurutnya, keyakinan itu berdasarkan beberapa kajian yang telah dilaksanakan pihaknya, khususnya selepas PRN pada Mac lalu.

Berdasarkan ‘bacaan’ yang telah dibuat, setakat ini BN Negeri hanya yakin untuk memenangi 10 kerusi Parlimen, ketika ada beberapa kerusi tersebut yang masih dalam kedudukan 50-50.

Sepuluh kerusi berkenaan ialah Sembrong, Pontian, Tanjung Piai, Ayer Hitam, Parit Sulong, Kota Tinggi, Tebrau, Tenggara, Mersing dan Pengerang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan Dalam Bahagian Tebrau, di Savannah Hill Resort, Ulu Tiram, di sini malam tadi.

Bagaimanapun, Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor menegaskan tidak mustahil bagi BN Johor untuk memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi Parlimen.

“Peluang itu tidak mustahil tetapi kita perlu bersama-sama mengukur kekuatan dan mencari satu formula terbaik untuk kita beri signal penting kerana Johor negeri penting, kedua besar selepas Sarawak dengan 31 kerusi Parlimen.

“Perkara ini penting kerana PRU15 akan menjadi medan penentuan sama ada UMNO dan BN berupaya untuk kembali bangkit atau tidak,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan BN tidak boleh terlalu yakin dengan kemenangan besar pada PRN lalu yang menyaksikan BN menang 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
.
Hasni turut memberitahu, terdapat beberapa bahagian yang menyuarakan permintaan supaya UMNO diberi peluang untuk meletakkan calon di kerusi Parlimen yang tradisinya diwakili parti komponen lain, iaitu MCA dan MIC.

“Selain daripada Tebrau, saya juga telah terima permohonan daripada UMNO Bahagian Segamat yang menyatakan hasrat mereka untuk meletakkan calon daripada UMNO dalam PRU15 akan datang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan, berkata BN meletakkan sasaran untuk memenangi 20 daripada 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan sebagai penyumbang utama kerusi bagi menubuhkan Kerajaan Pusat yang kukuh.

“Saya mahu Johor memberikan sekurang-kurangnya 20 kerusi Parlimen untuk dijadikan penyumbang utama dalam usaha menubuhkan kerajaan BN di Pusat dan ini satu tugas yang berat,” katanya sebelum mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras BN Johor di Bangunan Perhubungan UMNO Johor, di sini, hari ini. — BebasNews

Leave a Reply