Hisyam Teh Poh Teik (tengah) - Foto via Blogspot.com

PUTRAJAYA — Permohonan ketua pembelaan Datuk Seri Najib, Hisyam Teh untuk menarik diri dari mewakili Najib telah ditolak Mahkamah Persekutuan, di sini hari ini.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika menyampaikan keputusan itu berkata, panel lima hakim sebulat suara menolak permohonan Hisyam atas alasan, ia bergantung kepada budi bicara mahkamah.

Selain itu, Tengku Maimun berkata, panel berpendapat, ketua pembelaan itu gagal untuk menunjukkan alasan yang munasabah untuk mengundurkan diri daripada prosiding.

“Peguam bela hanya boleh mengundurkan diri selepas menunjukkan sebab yang munasabah (untuk pengunduran tersebut), dan mahkamah mempunyai budi bicara untuk menentukan sama ada fakta yang dibentangkan boleh mewujudkan sebab yang berpatutan.

“Kami sebulat suara berpandangan peguam (Hisyam) gagal menunjukkan sebab yang diperlukan (untuk pengunduran itu). Maka permohonan beliau untuk mengundurkan diri ditolak, dan perlu kekal berada dalam rekod demi kepentingan keadilan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Hisyam berkata, beliau tidak boleh membuat sebarang hujahan dan hanya bergantung kepada hujahan bertulis yang sedia ada.
Tengku Maimun kemudian mengarahkan prosiding diteruskan, dengan ketua pendakwaan Datuk V Sithambaram meneruskan hujahannya.

Sewaktu awal prosiding hari ini, Hisyam lagi mencuba untuk memohon budi bicara mahkamah untuk menangguhkan rayuan akhir melibatkan Najib.

Hisyam berkata, beliau dengan rendah hati memohon maaf kerana tidak dapat membuat persiapan yang diperlukan bagi meneruskan rayuan itu jika permintaan untuk menangguhkan rayuan tidak dipenuhi, beliau tiada jalan lain selain memohon untuk mengecualikan diri daripada pembelaan.
Namun Tengku Maimun berkata, panel lima hakim sudah membuat keputusan pada Selasa lepas bahawa permohonan menangguhkan rayuan itu telah ditolak.

Tegas Ketua Hakim itu lagi, mahkamah mempunyai mandat dan tanggungjawab untuk melaksanakan keadilan bagi semua pihak dan menyoal Hisyam sekiranya beliau benar-benar ingin membiarkan anak guamnya tidak diwakili dalam rayuan.

Hisyam berkata, beliau tidak mampu untuk berbuat apa-apa, dan hanya bergantung kepada keputusan mahkamah.

Sumber asal — https://www.astroawani.com/berita-malaysia/rayuan-src-mahkamah-arah-hisyam-teh-terus-kekal-wakili-najib-376691#.Yv3I7UNER2Y.whatsapp

— BebasNews

Leave a Reply