Papan tanda Tanjong Malim.

BARU-BARU ini seorang rakan memuatnaik status di Facebook mengenai Tanjong Malim. Ia dengan ringkas meningati sesiapa yang berpengalaman menggunakan keretapi “Senandung Malam” atau “Ekspres Rakyat”. Perkhidmatan itu akan berhenti di Tanjong Malim. Tanjong Malim stesen seterusnya. Tanjong Malim bandar keretapi.

Ditulisnya seperti begini: “Next station Tg Malim | Railway Town | Senandung Malam atau Ekspres Rakyat berhenti ajer, kawan aku Bulat & Keoi yg duduk kat tepi stesen ni masuk koc menjaja karipap… Mak Bulat pulak junjung dulang atas kepala jual kacang putih & gula2 hacks…stesen master bunyikan loceng dan keretapi bunyikan honk 2 kali…semua beredar & koc teruskan perjalanan. Bulat & Keoi selalu belanja aku air asam boi Mat depan Panggung Cathay lepas mandi sungai petak kalau ponteng tuisyen”

Dipaparkan beliau papan tanda lama yang usang, seperti lama ditinggalkan penjaganya, terbiar, meminta belas kasihan berhadapan stesen lama TANJONG MALIM. Papan tanda ini dapat dilihat dari arah depan Pejabat Pos dan Masjid Jamik Tanjong Malim. Beberapa tahun lalu, semasa merakam gambar papan tanda itu, rakan saya yang sedang melalui jalan Ketoyong berhenti dan bertanya apa yang saya lakukan.

Saya berkata papan tanda in terbiar, nampak lusuh, tiada siapa yang pedulikan. Saya juga bertanya kepada beliau, orang tempatan asal Muallim, seorang pensyarah di universiti di sana, mengapa tidak ada pihak yang bertanggungjawab? Jika atas tanah Kertapi Tanah Melayu (KTM) sekali pun, apakah tidak ada inisaitif dari pihak setempat. Saya hanya seorang perantau yang menghuni di daerah itu, tetapi dapat memerhatikan selama beberapa tahun bagaimana bandar bersejarah ini terbiar.

Bangunan Stesen Keretapi Tanjong Malim, bangunan berkaitan, sistem isyarat dan papan tanda adalah bahan bersejarah yang tak ternilai. Ia Bukan hanya sejarah keretapi, Tetapi juga sejarah pekan Tanjong Malim, sejarah SITC, kini UPSI serta sejarah cetusan idea dan perjuangan nasionalisme serta Tamadun Melayu moden. Saya telah bertahun bersuara dalam penulisan, kolum dan media sosial.

Pada saya, pihak-pihak berkuasa setempat juga boleh berperanan menjadikan stesen itu sebagai tanda sejarah, sebuah memorial dan tarikan kepada oang ramai. Jangan hanya ingat pelancong luar. Penduduk tempatan pun perlu menikmati sejarah mereka. Mungkin Majlis Daerah Tanjong Malim dan/atau bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris, bersama dengan pihak KTM bekerjasama dalam “membina semula” artefak tersebut.

Apakah KTM tidak peduli? Apakah tiada tindakan dari UPSI untuk menyelaraskan hal ini. Stesen itulah bermula tapak-tapak perjuangan dan sejarah dari Ibrahim Yaacob, Za’ba serta Harunaminurrashid dan ratusan yang berjalan berulang alik dsri stesen ke kampus Upsi sekarang. Trail mereka mesti dijejakki. Saya yakin, mesin taip, nota dan perbincangan mereka disaksikan oleh persekitaran stesen dan perkakas-perkakas Di dalamnya.

Stesen dan papan tanda yang terbjar sekian lama adalah sebahagian dari kemunculan semangat Nasionalisme Melayu dan Tamadun melayu moden. Ini bukan soal nostalgia. Ini isu menghormati sejarah setempat dan implikasi kepada sejarah negara. Ini soal meraikan dan memberi makna kepada insan-insan yang telah menabur bakti kepada tamadun moden. Tak mengapa jika cetusan dan konsep kebangsaan dan nasionalisme oleh Che Gu Abdul Hadi Hasan dan Buyong Adil diinsipirasi dari ilmu penjajah dan penjajahan.

Perkhidmatan keretapi, sepanjang laluan dari Singapura, ke Kuala Lumpur; atau dari Butterworth singgah di Tanjong Malim. Koc-koc itu membawa pencetus dan penggerak nasionalisme dan kemerdekaan. Koc-koc itu jugalah yang membawa suratkhabar, majalah dan buku dari Indonesia dan Singapura untuk ditatapi di kampus SITC dan di beberapa kedai buku sekitar kampus pada tahun-than 1920an dan 30an. Keretapi telah mencetuskan kesedaran kepada dunia luar lalu menggerak semangat nasionalisme Melayu moden.

Jika koc-koc keretapi itu boleh bercakap, jika bangunan stesen keretapi lama, bersama dengan ruang-ruang dan kelengkapan yang ada itu boleh bersuara, detik-detik tersebut akan lenyap sampai bila-bila.

Tanjong Malim perlu diisytihar sebagai bandar bersejarah, bandar nasionalisme Melayu, bandar tamadun moden Malaysia, dan bandar Tanah Air. Seperti Pak Sako yang diinspirasikan oleh Sungai Pahang dan Gunung Tahan; Banjaran Titiwangsa, dilihat dari sebelah barat semenanjung menghala ke timur, dari arah ulu Sungai Bernam, juga telah memberi inspirasi kepada pejuang-pejuang kemerekaan Tanah Air. Jika kita alpa dalam pemuliharaan stesen keretapi yang bersejarah itu, kita akan ketinggalan keretapi buat selama-lamanya.

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply