Celoteh Kak Feez

AKAK ni omputih kata ‘claustrophobia’, takut pada tempat-tempat sempit yang bertutup dan gelap.

Allahuakbar macam manalah akak mati nanti? Betapa liang lahad itu sempit dan gelap. Hanya Allah yang Maha Tahu. Ustaz yang mengajar dan berpesan, perbanyakkan membaca al-Quran agar ia menjadi teman dan penerang di alam kubur. InsyaAllah.

Setiap kali ada urusan di Kuala Lumpur, nak tak nak mesti akan melalui jalan terowong SMART bagi mengelak kesesakan di Jalan Sungai Besi.

Zaman sekarang ini, setiap saat dan minit yang dapat dijimatkan amat berharga. Setiap kali melalui jalan ini jugalah, dada berdebar dengan pantas. Kekadang berpeluh pun ya. Salawat dan istighfarlah akak banyak-banyak.

Selagi tak nampak cahaya di hujung terowong, selagi itulah perasaan cemas di dalam hati menguasai. Bila nampak cahaya je, hanya Allah sahaja yang tahu betapa leganya hati akak.

Begitulah rasa diri akak sekarang ini. Menjelang kemerdekaan negara yang ke-65, seperti tak nampak cahayanya lagi di negara ini.

Bagi rakyat marhaen seperti akak, kemelut politik tanah air kini sangat kotor dan menjijikkan. Ramai rakyat menjadi buta dan dungu akibat adu domba, sumpah seranah yang sepatutnya urusan ini tidak menjadi urusan para rakyat.

Kasihan generasi muda bakal pewaris negara perlu melihat segala lakonan realiti ini seperti menonton filem. Tak tahu contoh apa si golongan lama yang bakal meninggalkan dunia ini hendak berikan kepada mereka.

Akak bukan mahu menyentuh bab politik justeru sahabat sekelian, jom buat kerja kita. Kerja untuk membantu membangunkan negara. Kita buat sahaja kerja kita yang telah diamanahkan. Kerja yang boleh memberi contoh murni dan baik kepada anak bangsa.

Hal hamba Allah yang sedang dinilai dan dihakimi, biarkan. Jangan sebab dek seorang ini, habis kacau-bilau kita.

Akak perhati je sekarang ni, yang bekerja pun tak boleh fokus, masa habis menjadi penganalisis kes mengalahkan para peguam. Itu belum masuk maki-hamun, sumpah seranah dan macam-macam yang menipiskan lagi pahala kita yang berapa nak ada.

Kita tak perlu takut pada apa juga keputusan yang akan dikeluarkan. Tanya akak kepada seorang kawan yang taksub sungguh dengan kes ni, apakah kau sanggup bergadai nyawa kerana hamba Allah seorang ini?

Apakah kau sanggup bersamanya dalam susah kini? Bukankah lebih baik ketaksuban itu kau berikan kepada Yang Esa atau paling tidak kepada suami dan anak-anakmu. Sudah tentu dapat pahala. Terdiam dia tidak terjawab apa.

Bagi akak jangan biarkan emosi menguasai diri. Adalah lebih baik kita berusaha atas apa yang kita patut usahakan, berdoa dan bertawakal kerana terowong SMART yang gelap dan sempit itu ada fungsinya yang lebih penting dari hanya sebagai laluan mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Perlahan atau lajunya kenderaan kita melalui terowong ini, pasti hujungnya akan menampakkan cahaya jalan keluar. Kita kena yakin.

Semoga kita sentiasa mendapat hidayah untuk melalui jalan-jalan lurus yang diredai olehNya.

— BebasNews

Leave a Reply