Noraini (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Wong selepas perbincangan, turut serta Mohammad Shatar (kanan).

KERAJAAN Wilayah Nova Scotia, Kanada menyatakan minat untuk menjalin kerjasama dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) membabitkan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) dan program `micro-credentials’.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, perkara itu dinyatakan sendiri oleh Menteri Pendidikan Lanjutan Nova Scotia, Kanada, Brian Wong ketika pertemuan dengan delegasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang diketuai Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Katanya, pihak Nova Scotia teruja dengan dua inisiatif pendidikan fleksibel yang dilaksanakan oleh MQA itu seterusnya berminat untuk belajar daripada Malaysia mengenai pelaksanaannya.

“Mereka sudah ada perancangan untuk merealisasikan dua inisiatif berkenaan, namun masih belum masuk tahap pelaksanaan, justeru satu kerjasama akan dibuat dengan MQA pada masa akan datang bagi menjayakan inisiatif APEL dan `micro-credentials’ di sini (Nova Scotia).

“MQA akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Lanjutan Nova Scotia bagi menjayakan agenda berkenaan,” katanya selepas perbincangan di Pejabat Menteri Pendidikan Lanjutan Nova Scotia, di Nova Scotia, semalam (24 Ogos).

Hadir sama ketika perbincangan itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Dr. Mohd Zabri Yusoff; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar dan Penasihat Khas kepada Menteri Pendidikan Lanjutan Nova Scotia, William Burns.

Sementara itu, Wong berkata, pendidikan bukan sekadar menghabiskan waktu tiga ke empat tahun untuk mendapatkan segulung ijazah tetapi lebih kepada kaedah untuk menentukan hala tuju ke destinasi terakhir kepada apa yang dihajatkan pelajar.

Beliau berkata, fleksibiliti perlu diberikan dan tidak semestinya perlu menghabiskan pengajian dalam masa tertentu, apa yang lebih penting bagaimana pelajar menggunakan ilmu yang diraih untuk menentukan hala tuju masa depan.

“Sebab itu pihak kami berminat dengan kaedah APEL dan `micro-credentials’ yang tidak menggunakan kaedah konvensional semata-mata untuk mencapai sesuatu kelayakan akademik.

“Pilihan perlu diberikan kepada masyarakat untuk memilih kaedah pengajian sama ada secara konvensional atau peluang seluas-luasnya menerusi inisiatif pendidikan fleksibel seperti APEL dan `micro-credentials’,” katanya. — BebasNews

Leave a Reply