Puad Zarkashi

MOHD Puad Zarkashi memang suka bercakap, suka buat komen. Kata-katanya ada kala berunsur kontroversi. Terbaharu ialah kenyatannya bahawa UMNO tidak perlukan ‘poster boy’ dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Agaknya Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu hendak buktikan dia pandai dan suka bercakap. Daripada tiada jawatan, hingga kini Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan wakil rakyat Rengit, dia terus bercakap.

Tetapi kenyataan terbarunya nyata tidak disenangi oleh pemimpin UMNO lain. Mereka menyifatkannya sebagai tidak wajar dan merupakan pandangan peribadi, bukan parti. Nampaknya rakan-rakan UMNO tidak selesa dengan kenyataan Puad kali ini.

Ini kerana ia bertentangan dengan keputusan pucuk pimpinan parti sebelum ini yang mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi ‘poster boy’ dan seterusnya calon perdana menteri seandai Barisan Nasional (BN) menang PRU-15.

Puad sendiri tahu hakikat ini. Namun dia dilaporkan tidak mahu seorang yang lemah, menurut tafsirannya, menjadi ‘poster boy’. Kemungkinan besar dia merujuk kepada Ismail Sabri. Puad juga menyifatkan ‘poster boy’ tidak relevan dan boleh menjadi bola tanggung atau senjata makan tuan.

Puad mungkin kecewa dengan Ismail Sabri kerana ahli Parlimen Bera itu dilihat tidak berbuat sesuatu dalam kes mantan perdana menteri, Datuk Sri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta setelah rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan ditolak.

Ini di sebalik penjelasan berkali-kali oleh Ismail Sabri yang beliau tidak akan campur tangan dalam urusan mahkamah. Ismail Sabri berbuat sesuatu yang betul. Seharusnya tiada siapa pun patut  mencampuri urusan mahkamah, walau pun melibatkan kawan.

Oleh kerana pemilihan Ismail Sabri ‘poster boy’ diputuskan oleh MKT UMNO, apa-apa kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli parti mestilah tidak mendahului apa yang diputuskan pucuk pimpinan dan MKT. Keputusan parti menjadi teras, bukan individu.

Memetik Bernama, Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Selangor, Datuk Dr. Abdul Rahman Bakri, UMNO sebelum ini sudah memutuskan Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ dan calon perdana menteri. Kerana itu beliau menegaskan, isu yang sudah dimuktamad tidak harus dibangkitkan.

Ketua UMNO Bahagian Bakri, Johor, Datuk Mohd Fuad Tukirin, bernada lebih tegas apabila mengingatkan ahli-ahli parti agar tidak mengeluarkan saranan-saranan jelik, termasuk yang menampakkan usaha mencampuri sistem kehakiman negara.

Ini kenyataan serampang dua mata. Selain menyanggah kenyataan Puad mengenai ‘poster boy’, beliau juga tidak mahu UMNO terseret dalam apa juga usaha untuk cuba mencampuri urusan mahkamah.

Beliau menerima hakikat bahawa parti sedang bersedih kerana bekas presiden parti, Datuk Seri Najib Razak gagal dalam rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan. Namun bagi beliau, jangan dihodohkan wajah UMNO dengan usaha mencampuri sistem kehakiman negara.

Ketua UMNO Bahagian Merbuk, Datuk Annuar Ahmad berkata, pemilihan Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ dan calon perdana menteri telah diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO Khas Mei lalu. Oleh itu sebarang perubahan mesti dilakukan oleh pucuk pimpinan parti, bukan individu.

Terdapat beberapa orang lagi pemimpin UMNO bahagian yang menyuarakan tidak setuju dengan kenyataan Puad. Namun apa yang dicatatkan di sini cukup menggambarkan mereka begitu kecewa dengan sikap Puad yang membuat kenyataan menurut naluri sendiri.

Poster boy’ penting dalam pilihan raya. Ia akan memberi peluang kepada rakyat menilai hala tuju parti dan siapa bakal menjadi pemimpin negara selepas parti menang dan membentuk kerajaan. Mungkin kerana itu UMNO sudah lebih awal menetapkan Ismail Sabri.

Hakikat pemilihannya dipersetujui oleh perhimpunan agung khas menyerlahkan UMNO memang mahu Ismail Sabri, melainkan ada perubahan di saat akhir. Justeru andainya Puad tidak setuju Ismail Sabri menjadi ‘poster boy’, agaknya siapa yang ada dalam mindanya?

— BebasNews

Leave a Reply