JENGKA — Penduduk Felda Jengka 24, dekat Bandar Tun Razak Jengka, Pahang meneruskan tradisi muncul ‘juara’ kibar bendera Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan 2022.

Razak Daud

Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud, 62, berkata inisiatif menerapkan semangat patriotik dalam kalangan penduduk Felda itu mendapat sokongan penuh pihak pengurusan tanah rancangan tersebut.

Menurut beliau, penduduk meletak sasaran untuk memasang 6,000 helai Jalur Gemilang secara berperingkat-peringkat sehingga menjelang sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ pada 31 Ogos ini.

“Kibaran Jalur Gemilang yang turut disertai dengan pemasangan bendera semua negeri di Malaysia ternyata lebih menceriakan suasana di Jengka 24 pada 2022.

“Ini kerana sambutan Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan 2022 lebih meriah berbanding pada tahun sebelumnya ketika negara dahulu dilanda pandemik Covid-19,” katanya.

Kini menurutnya, dalam era endemik Covid-19, masyarakat umum sudah dapat bergerak bebas menjalankan pelbagai aktiviti, termasuk memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Kebangsaan.

Razak berkata, pihaknya gembira dan bersyukur kerana semua lapisan penduduk Jengka 24 turun secara sukarela ke lapangan bagi menjayakan matlamat memasang 6,000 helai Jalur Gemilang itu.

Tegas beliau, inisiatif berkenaan juga dapat menerapkan semangat patriotik dalam kalangan generasi muda agar tradisi mengibar Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kebangsaan dapat dihayati serta dipraktik sepanjang zaman. — BebasNews

Leave a Reply