Kredit: Foto Buletin TV3

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran perjanjian persefahaman (MoU) pelaburan secara kolektif bernilai USD7.5 bilion (hampir RM34 bilion).

Ia melibatkan pelaburan dalam sektor semi-konduktor, perdagangan sosial, teknologi perubatan, industri pertahanan dan hiburan.

Menurut Perdana Menteri, MoU tersebut dimeterai sembilan buah syarikat Malaysia dengan sebuah syarikat konglomerat Arab Saudi, Ajlan Bros. Holding Group yang diwakili oleh Timbalan Pengerusi, Mohammed Abdulaziz Al Ajlan.

“Kerjasama ini membuktikan Malaysia kekal utuh sebagai destinasi pelaburan utama dunia yang turut menjadikan kesan pengganda kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Selain itu, kerjasama syarikat Malaysia bersama Ajlan Bros. Holding Group ini juga  berupaya meningkatkan daya saing syarikat tempatan untuk bersaing di peringkat global.

“Pelaburan berimpak tinggi ini amat penting bagi memacu negara serta seluruh Keluarga Malaysia pulih sepenuhnya daripada kesan pandemik Covid-19 dan krisis geopolitik yang menyebabkan ketidaktentuan ekonomi,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara syarikat Malaysia yang terlibat ialah Dagang NeXchange Berhad (DNex), Aerodyne Systems Sdn. Bhd.,National Aerospace & Defence Industries Sdn. Bhd. (NADI).

Selain itu syarikat seperti Twistcode Technologies Sdn. Bhd., CyberSecurity Malaysia, Malaysia Genomics Resources Centre Berhad, Meta Universe Sdn. Bhd. , Light Up 7 Sdn. Bhd. dan My Events Sdn. Bhd. turut terlibat dengan MoU tersebut. — BebasNews

Leave a Reply