Celoteh Kak Feez

BULAN Ogos adalah bulan kemerdekaan negara kita yang dikasihi.

Setiap kali itulah, insyaAllah rumah Kak Feez akan dikibarkan Jalur Gemilang. Maka berkibarlah dengan megah bendera negara tatkala di tiup angin.

Setiap kali melihatnya berkibar hati bagai dicuit perasaan. Mengenang kembali kisah perjuangan rakyat dan para pemimpin yang membebaskan negara daripada penjajahan.

Menitis air mata apabila mengenangkan kisah arwah nenek Kak Feez yang hidup semasa zaman penjajahan Jepun. Susah dan azab kata nenek.

Pernah arwah nenek Kak Feez menasihati, “jangan kau minta adanya peperangan, kerana nenek rasa kalian takkan mampu bertahan walau sehari jika berlakunya peperangan di negara ini.”

Allahuakbar, mendengar ini pun Kak Feez dah ngeri. Bila sebut peperangan, selalunya kita mesti terbayang kepada perang seperti yang berlaku di Palestin, perang saudara di Kemboja, perang di antara Rusia dan Ukraine.

Puaslah kita membayangkan kezaliman yang berlaku dalam peperangan itu. Puaslah kita menilai dan mengadili siapa yang salah, siapa yang betul!

Sebenarnya perang yang Kak Feez paling bimbang ketika ini ialah perang yang sedang berlaku di dalam diri kita sendiri.

Kuatkah kita memerangi nafsu diri dan mempertahankan jati diri sebagai rakyat negara, penganut agama Islam serta bangsa yang disegani.

Kita kini berperang melawan kemungkaran yang bisa menjatuhkan diri, agama, bangsa dan negara.

Kuatkah kita menghindar dan menyelamatkan diri daripada pelbagai musuh yang datang dari segenap pelusuk.

Tidak cukup musuh luar, paling digeruni apabila berperang menyelamatkan diri daripada musuh dalam selimut; talam dua muka serta gunting dalam lipatan.

Hakikatnya, bangsa kita sendiri pun sedang berperang.

Kita sudah berpecah belah, berpuak-puak. Tuduh menuduh, memaki hamun tanpa segan dan silu. Jangan sebut perihal dosa kerana ramai kita kini sudah tidak takut untuk berdosa.

Sebagai rakyat negara ini, Kak Feez merayu marilah kita bersatu-padu dan bertaut semula sebagai rakyat Malaysia.

Sama-sama kita tanamkan rasa cinta dan sayang kepada negara dengan menjadikan kisah sejarah lama negara sebagai panduan dan ingatan.

Pengalaman mereka yang kehilangan negara dan tidak punya kerakyatan harus dijadikan amaran. Tidak mustahil ia juga boleh berlaku kepada kita.

Akak menyeru semua, mulakan sikap ini dengan menghormati bendera Jalur Gemilang. Inilah lambang kebesaran dan panji-panji negara yang wajib kita pertahankan.

Tidak ada pihak lain yang boleh menafikan hak kita ini. Lantaran itu, Bendera Negara jangan dicacatkan dengan perkara-perkara yang tak masuk dek akal.

Bendera negara jangan dipijak, jangan digunting, jangan dipotong, jangan dibakar. Letak bendera negara pada tempatnya. Jangan biarkan ia mereput digantungan.

Jadikan disiplin itu sebagai permulaan kita menghormati dan menyayangi negara tercinta ini.

Selamat Hari Merdeka ke-65. Jadikan ucapan itu sebagai ucapan kelaziman apabila bertemu rakan-taulan, sahabat handai serta sanak saudara.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

— BebasNews

Leave a Reply