KARYA pertama Pak Sako (Ishak Haji Muhammad), Putera Gunung Tahan yang diterbitkan pada tahun 1937 merupakan antara penulisan klasik yang menceritakan perihal penjajah dan penjajahan. Ia satu sindiran kepada masyarakat mendatang.  Dan amat sesuai digunakan sebagai teks di sekolah menengah, serta disebarluaskan sebagai bahan bacaan awam. Telah lama saya fikirkan Pak Sako apabila seringkali terbayang bagaimana beliau melihat Tanah Air dari sebelah timur semenanjung Tanah Melayu.

Pada dasawarsa yang sama, di sebelah sana Banjaran Titiwangsa, sedang bergema laungan pembebasan dan kemerdekaan dari Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjong Malim, daerah Ulu Bernam, Perak  yang disaksikan oleh Banjaran tersebut.

Menyelak bahagian awal buku tersebut, pada bahagian “Ingatan Pengarangnya” Pak Sako mengingatkan kita akan kepentingan buku Putera Gunung Tahan “… kerana isinya penuh dengan sindiran-sindiran dan kias ibarat yang dalam… seorang yang telah membaca buku ini sekali lalu tentulah sedar akan apa dia kewajipan-kewajipannya terhadap kepada tanah air, bangsa dan adat resamnya dan daripada hari itu mudah-mudahan tertariklah hatinya kepada mempertahankan agama, adat istiadat dan tanah airnya supaya jangan terbinasa…” Tercatat tarikh dan tempat semasa beliau menukilkan ingatan itu – di Temerloh, Pahang pada 14 February 1937.

Kemudian, sekitar 36 tahun kemudian Pak Sako mengungkap dalam sebuah rancangan televisyen “Saya menulis Putera Gunung Tahan khusus sebagai alat perjuangan menuntut kemerdekaan, keadilan dan menghalau penjajah.”

Saya juga tertarik apa yang disampaikannya dalam “Kata Pengantar” yang menyusul sejurus “Ingatan Pengarangnya.”  Pada perenggan pertama, penulis Putera Gunung Tahan itu merujuk kepada negeri Pahang, sebuah negeri yang terbesar, “yang mempunyai sungai yang terbesar sekali, gajah yang besar, harimau yang besar dan hutan rimba yang besar sekali.” Dan sambil kita diimbau dengan kerancakan perbincangan filem Mat Kilau, Pak Sako juga merujuk kepada “beberapa peperangan yang dahsyat terutama sekali peperangan antara orang-orang besar Melayu dan orang Melayu dengan orang-orang putih dan askar-askarnya.”

Menulis pada tahun 1937 lagi, beliau menyebut nama-nama pahlawan Melayu yang terbilang seperti “Bahaman, Mat Gajah, Mat Kilau…yang tersurat dalam dada tiap-tiap anak Negeri Pahang tetapi malangnya kemasyhuran dan kemuliaan pahlawan-pahlawan yang terbilang itu pada hari ini dijual dan digadaikan oleh anak cucu dan keturunan jasad dan roh yang mulia lagi suci dan terpuji itu.”

Sebagai contoh, beliau mendapati orang yang menyombong-nyombongkan keturunan daripada Bahaman atau Mat Gajah dan menghuraikan salasilah mereka itu supaya mendapat sesuatu jawatan “seumpama jawatan penghulu atau sebagainya.”

Pak Sako mengingatkan bahawa kemasyhuran roh mereka tidak boleh hilang biarpun tidak dituliskan tarikh-tarikh kehidupan dan pengorbanan; tetapi “nama dan semangat orang-orang yang telah membela kemerdekaan Melayu itu tidak akan boleh hilang lagi.” Banyak nama tempat ada kaitannya dengan jasa mereka itu. Pak Sako memberi contoh sebuah tempat berhampiran dengan bandar Temerloh yang bernama “Lubuk Rakit.” Pak Sako menerangkan asal nama tersebut ialah dari zaman perang (Dato’) Bahaman dahulu.

Kata Pak Sako “zaman perang Bahaman terlalu banyak askar Sikh [Punjabi sebenarnya] mati dibunuh oleh orang Melayu dan bangkai mereka itu beratus-ratus hanyut dan tersangkut dilubuk itu macam rakit rupanya.” Sebab itu dinamakan ia “Lubuk Rakit.”

Pada masa itu lagi, semangat Pak Sako tidak mahu mengalah dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Pahang memiliki Gunung Tahan, yang tertinggi di Semenanjung Tanah Melayu. Gunung itu “menjadi tiang dan pasak ataupun sebagai payung kepada Tanah Semenanjung. Beliau menyamai imej dan semangat Gunung Tahan dengan Gunung Alps (Benua Eropah), Gunung Fuji (Jepun) dan Gunung Himalaya [pergunungan] (India).  Geografi memang memberi kesan kepada alam pemikiran dan kesedaran Pak Sako.

Beliau membayangkan Gunung Tahan sebagai penjaga yang setia kepada isi bumi Semenanjung  “yang makmur ini.”  Namun tiada maknanya jika kita dinobatkan berkali-kali, lalu  berlagak sebagai “batin putih” di Tanah Air sendiri.

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply