Aktiviti penyerahan set pengurusan jenazah kepada masjid yang memerlukan.

KEBELAKANGAN ini, ramai pengusaha menjalankan perniagaan menjual kit pengurusan jenazah untuk lelaki dan wanita sebagai tuntutan fardu kifayah sesama insan.

Pertubuhan Sukarelawan Ad Diniah juga tak terkecuali menjalankan kempen amal pengagihan set kain kafan dan pengurusan jenazah atas paksi kebajikan.

Penaung pertubuhan berkenaan, Ustaz Zakaria Awang berkata, kempen sumbangan set pengurusan jenazah termasuk kain kafan itu tercetus sebagai usaha amal kebajikan yang tidak pernah ada noktahnya.

“Kita mudahkan urusan atau ringankan beban orang, insya-Allah urusan sendiri juga akan dipermudah. Berbuat baik dan menambah pahala sendiri tiada garis penamatnya.

Penaung Pertubuhan Sukarelawan Ad Diniah, Zakaria Awang.

“Perkara yang dihadapi dan dilalui bagi setiap yang hidup kadangkala menjadi kesulitan tanpa diduga. Contohnya, pihak masjid dan keluarga si mati.

“Jadi tercetuslah idea pihak kami dalam pengagihan set pengurusan jenazah ini. Malah, saya puji ada golongan artis dan ustaz selebriti yang menggunakan pengaruh mereka menjual set seumpama itu,” katanya.

Kempen yang memasuki bulan ketiga ini sudah mengagihkan lebih 300 set kelengkapan berkenaan kepada masjid yang memerlukan.

“Lebih 20 buah masjid sekitar Kajang dan di Pantai Timur sudah menerima agihan set kelengkapan pengurusan jenazah itu. Kebiasaannya, kita akan dapatkan semua senarai masjid termasuklah di Semenyih dan Negeri Sembilan.

“Malah, kita juga berhubung dan merujuk ahli jawatankuasa (AJK) masjid. Jika masjid berkenaan ada menguruskan jenazah dan perlukan set kelengkapan jenazah kita akan utamakan kepada masjid memerlukan,” ujarnya.

Tambah Ustaz, komunikasi antara masjid yang menerima agihan akan berterusan. Kebiasaannya masjid yang menerima sumbangan berkenaan akan memaklumkan sama ada ia sudah diguna pakai.

“Malah, jika menerima panggilan dari mana-mana masjid memerlukan, pihak kami akan aturkan agihan sumbangan dengan menghantar wakil untuk sesi pengagihan tersebut.

Terdapat pelbagai keperluan dalam set kain kafan dan pengurusan jenazah.

“Kami turut mempunyai staf dan wakil di sebelah Pantai Timur untuk mengagihkan set kelengkapan terbabit. Ia merangkumi Kota Bharu (Kelantan), Kemaman (Terengganu) selain Johor,” katanya.

Selain itu, katanya, Ad Diniah turut menyasarkan pengagihan pengurusan jenazah termasuk kain kafan lebih 10,000 set.

“Tiada siapa tahu bila ajal kita. Namun, usaha kempen ini sebagai pemudah cara. Dalam set kain kafan dan pengurusan jenazah ini merangkumi 20 barangan termasuk telekung, air mawar, dan alat kelengkapan pemandi jenazah seperti apron, sarung tangan dan sebagainya.

“Pihak kami mengambil masa sekitar dua minggu sekurang-kurangnya untuk menyediakan kira-kira 100 set lain. Kos satu set adalah RM300,” katanya.

Sudah tiga bulan kempen pengagihan set pengurusan jenazah dilancarkan dan lebih 300 set kelengkapan diagihkan kepada masjid.

Sebagai usaha mengajak lebih ramai melakukan kebaikan dan menggandakan pahala, Ad Diniah juga mengalu-alukan sumbangan dan infak orang ramai dalam mengimarahkan kempen.

“Sekiranya orang ramai ingin menyumbang atau menginfak kelengkapan jenazah ini boleh hubungi Ustazah Hazwani selaku pegawai bertanggungjawab di talian 011-55066972. Atau boleh layari sumbangankainkafan.com

“Bagi pihak yang sudi membantu dalam hal sebegini, mudah-mudahan kita dapat meringankan beban golongan memerlukan termasuk asnaf, pihak masjid dan pengurusan.

“Harapan kami sumbangan dan infak bantuan ini dapat menjadi asbab kepada suatu gejala pahala yang besar dengan mempermudah urusan kematian. Kalau kita dapat melaksanakan pengurusan ini, kita akan memiliki pahala yang melebihi dari ibadah dan amalan sunat,” katanya.

Ad Diniah sasarkan pengagihan pengurusan jenazah termasuk kain kafan lebih 10,000 set kepada pihak yang memerlukan.

Ditanya mengenai keunikan set pengurusan jenazah ini berbanding dengan set yang lain, Zakaria berkata, ia didatangkan dengan kain sudah sedia berjahit dan dipotong.

“Ia lebih memudahkan pihak masjid atau keluarga si mati. Proses jadi lebih cepat dan menjimatkan masa serta memudahkan urusan menguruskan jenazah,” jelasnya.

Untuk rekod pertubuhan ini diusahakan sejak 1985 dan kini genap usia yang ke-37. Ia bermula dengan program korban dan aqiqah di Malaysia termasuk ke Kemboja.

Pertubuhan yang memiliki 32 staf ini rancak menyalurkan bantuan wakaf al-Quran, pam air, tandas, basikal dan banyak lagi. — BebasNews

Leave a Reply