SEWAKTU sidang media memperkenalkan barisan peserta Awesome Raja Lawak baru-baru ini, Awesome TV selaku penerbit memberitahu, program realiti itu bakal bersiaran secara langsung dari Studio FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia), Jalan Hulu Kelang, Selangor.

Malangnya, segala perancangan yang dibuat tidak menjadi dan Awesome TV dalam satu kenyataan memberitahu bahawa program itu bakal menemui peminat secara langsung, pukul 9 malam selama 10 minggu dari Studio De Showroom, Bandar Sri Damansara, mulai 7 September ini.

Keputusan menukar ke lokasi baharu, Studio De Showroom, Bandar Sri Damansara diambil setelah urusan dengan pihak FINAS dilihat tidak memberi sokongan wajar kepada Awesome TV kerana kekangan prosedur yang tidak mesra industri.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Profesor Dr. Md Nasir Ibrahim telah berusaha membantu sedaya upaya untuk memudahkan urusan Awesome TV.

Namun begitu, isu birokrasi di FINAS dilihat tidak membantu beliau berbuat demikian.

Sebagai sebuah stesen penyiaran baharu di negara ini, pihak Awesome TV merasakan FINAS yang merupakan salah satu pemain utama industri seni tanah air khususnya perlu berubah untuk turut sama membantu memacu kecemerlangan demi pertumbuhan dan kepentingan industri.

Untuk program pertama Awesome Raja Lawak, 14 peserta terlibat iaitu, empat peserta solo terdiri daripada Azhar, Kanmani, Hanif dan Zunny. Peserta duo pula terdiri daripada Kumpulan Soda, Se’eh, Sedare, Mabo, Manja dan Beduk. Manakala peserta trio pula ialah Kumpulan Kacau, Semmat, Pelan dan Sesah.

Menduduki kerusi juri tetap Awesome Raja Lawa adalah Khir Rahman, Ayda Jebat dan Saiful Apek, manakala Ajak Shiro, Atu Zero dan Tauke menggalas tanggungjawab sebagai tenaga pengajar atau Mentor, dan Nizam Jentik-Jentik bersama Chiwan Chilok akan bertindak sebagai pengacara.

Manakala format pemarkahan akan diadili 100% oleh juri tetap, sementara itu, penonton diberi peluang untuk memilih pemenang mingguan ”Man of the Match” menerusi undian atas talian, di IG Awesome TV Malaysia. Dalam pada itu, peserta yang mendapat markah keseluruhan terendah pula akan disingkirkan.

Gelanggang Awesome Raja Lawak minggu pertama akan dibuka dengan tema ”Bebas” yang mana kesemua peserta diberi peluang untuk mempersembahkan kreativiti masing-masing menerusi naskhah sketsa terpadu mereka.

Penyanyi popular, Hazama akan membuat persembahan pembukaan bersama Rody Kristal dan pemuzik iringan beliau. –BebasNews

Leave a Reply