SEBAIK sahaja Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan petisyen pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kita beranggapan maka muktamadlah sudah pengakuan bersalahnya.

Beliau secara langsung dan tidak langsung juga sudah meluahkan perasaan taubat ke atas perbuatannya.

Mudah cakap, orang yang tidak bersalah, tidak akan memohon pengampunan.

Namun bagaimanapun dalam konteks Malaysia, secara asasnya, walaupun itu hakikatnya seperti di atas, proses pengampunan dalam negara ini membawa maksud sekiranya Tuanku Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan, kesannya seolah-olah pesalah itu tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah.

Oleh itu, biarlah landas undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan mengambil alih peranannya. Peranan rakyat sebagai hakim sepatutnya sudah tamat.

Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib, yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Kenyataan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun hari ini menyatakan status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan buat masa ini tidak berubah.
Menurut Azhar, berikutan petisyen pengampunan telah difailkan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan, kuat kuasa kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen hanya akan dimuktamadkan apabila petisyen pengampunan yang difailkan 2 September lalu dibereskan atau ditolak.

Beliau dalam masa sama memaklumkan menerima serahan beberapa dokumen termasuk salinan permohonan pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan ke atas Najib, bertarikh 1 September.

Turut diterima ialah salinan surat daripada Tetuan Shafee & Co bertarikh sama, yang melampirkan permohonan pengampunan tersebut yang diaku terima oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri pada 2 September.

Adalah berbeza dengan pengampunan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Mei 2018. Pengampunan beliau adalah berdasarkan penganugerahan oleh Yang di-Pertuan Agong setelah Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU ke-14 lalu.

Anwar, yang juga Ketua Umum PH pada masa itu berkata: Beliau tidak memohon keampunan kerana kesalahan yang sudah disabitkan kepadanya, sebaliknya menuntut kebebasan kerana fitnah dan salah guna kuasa serta perkara yang bercanggah dengan prinsip keadilan.

“Prinsip berkenaan diterima Tuanku untuk membebaskan saya dan membersihkan semua rekod (kesalahan dan dipenjarakan).”

Namun begitu, “pengampunan” yang diterima oleh Anwar turut dibincangkan secara ilmiah kehakiman.

Mengimbas kembali satu artikel ditulis oleh Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamed pada 14 Mei 2018 bertajuk “Pengampunan Datuk Seri Anwar dan keadilan kepada Saiful”, beliau berhujah:

Pertama, atas asas apa pengampunan itu hendak diberi? Adalah jelas bahawa sebabnya ialah kerana parti DSAI telah menang, untuk membolehkan beliau bertanding dalam pilihanraya kecil untuk menjadi ahli Parlimen dan dilantik menjadi perdana menteri. Untuk membolehkan semua itu, kesalahan jenayahnya kepada seorang individu hendak diampun. Ertinya, oleh sebab beliau berkuasa, kesalahannya diampunkan.

Dalam kemeriahan menyambut kemenangan, semua perhatian tertumpu kepada DSAI dan Tun Dr M: parti DSAI telah menang pilihan raya dan Tun Dr M telah meminta maaf kepadanya, maka beliau hendaklah diampunkan. Itulah tuntutan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli PKR dan PH. Dilaporkan juga bahawa Yang di-Pertuan Agong telah bersetuju.

Tidak sesiapa menyebut mengenai Saiful. Nampaknya dia telah dilupakan langsung. Adakah dia tidak relevan semata-mata kerana dia seorang individu sedangkan di sebelah lagi adalah sebuah parti yang telah mendapat berjuta-juta undi dan telah pun membentuk kerajaan?

Jika itulah pendirian mereka, saya khuatir mereka telah bermula dengan satu kesilapan iaitu “might is right” (kekuatan adalah kebenaran).

Adalah diharapkan Lembaga Pengampunan tidak akan terikut-ikut dengan keghairahan pihak yang berkuasa hingga melupai langsung keadilan kepada individu yang lemah. Maka, dalam membuat pertimbangan dan keputusan, sekurang-kurangnya, Lembaga Pengampunan hendaklah mengambil ingatan mengenai keadilan terhadap Saiful.

Kedua, mengenai laporan bahawa Yang diPertuan Agong telah bersetuju. Jika laporan itu benar, ia tidak sepatutnya berlaku. Yang di-Pertuan Agong tidak boleh mengampun sesuka hati atau atas budi bicara baginda sendiri. Ada prosedur yang perlu diikuti.

Lembaga Pengampunan hendaklah bermesyuarat terlebih dahulu. Ia perlu mendengar apa-apa laporan Peguam Negara. Mengikut amalan, laporan hakim/mahkamah yang mensabitkannya juga diminta. Setelah menimbang semua laporan mengenainya, barulah mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan olah Yang di-Pertuan Agong itu membuat keputusannya.

Jika, sebelum Lembaga Pengampunan membuat keputusannya, Yang di-Pertuan Agong telah pun bersetuju atau berjanji pengampunan akan diberi, ia samalah seperti Ketua Hakim Negara menyatakan atau berjanji akan membebaskan seseorang sebelum Mahkamah Persekutuan bersidang dan membuat keputusan!

Bacalah keseluruhan artikel Tun Hamid melalui http://www.tunabdulhamid.my

Artikel Tun Hamid itu disiarkan dua hari sebelum Anwar diampun dan dibebaskan tanpa syarat.

Sama-samalah kita fikirkan.

— BebasNews

Leave a Reply