SHAH ALAM — Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Malaysia Airlines Berhad (MAB) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dalam usaha memperkasakan industri penerbangan dan pendidikan di negara ini.

Kerjasama selama tiga tahun itu antaranya meliputi sesi perkongsian ilmu, pembangunan projek, penyelidikan, penerbitan dan aktiviti pemasaran silang.

Menurut Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor, usahasama tersebut memaksimumkan inisiatif dalam memperkukuh, mempromosi dan membangunkan akademik, industri serta komuniti UiTM.

“MAB merupakan simbol kebangsaan yang dekat di hati rakyat dan MoU ini menjadi era penggabungan antara kedua-dua pihak.

“Inisiatif ini turut melibatkan pertukaran institusi, kolumnis pakar atau penulisan editorial dan aktiviti promosi bersama dalam pelbagai cara.Selain itu, kakitangan MAB akan dapat memanfaatkan program pembangunan diri untuk melanjutkan pengajian atau penyelidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani MoU bersama MAB yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Kapten Izham Ismail di UiTM Shah Alam hari ini.

Roziah berkata, peralihan dan perubahan persekitaran akademik dan industri bertujuan memastikan kesinambungan agenda nasional dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

“UiTM tidak pernah berkompromi dan berusaha memberikan yang terbaik dalam menyediakan pendidikan berkualiti,”jelasnya.

Dalam pada itu Izham berkata, MAB  bukan hanya menawarkan perkhidmatan penerbangan malah keperluan bakat yang bersedia untuk masa depan dan membina pasukan berinovatif.

“Kami berharap kerjasama ini membantu pelajar meneroka aspek penyelidikan, pembangunan produk dan perkhidmatan dalam penerbangan Malaysia.

“Ia antaranya perkhidmatan makanan dan hiburan di dalam pesawat selain mempromosikan pengalaman pembelajaran secara amali dan penglibatan dalam projek MAB,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, MAB dan Firefly turut memberi diskaun sebanyak 15 peratus tambang penerbangan kepada semua alumni UiTM yang berdaftar melalui Aplikasi Media Sosial MyAlumni.

“Tempahan bermula dari 8 September hingga 8 Oktober depan itu bagi semua destinasi domestik dan antarabangsa terpilih,” katanya. –BebasNews

Leave a Reply