Filem arahan Areel Abu Bakar ini menelan kos RM5.5 juta dan menampilkan jalan cerita yang menarik.

SELEPAS pandemik, berebut-rebut penerbit berusaha memastikan filem terbitan mereka ditayangkan di pawagam selepas tertangguh selama dua tahun.

Jadi tidah hairanlah kalau, kita melihat seolah-olah filem tempatan bersaing sesama sendiri. Antara filem yang tayangannya pada tarikh berdekatan adalah Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, 25 Ogos 2022, Anak Rimau The Movie (1 September), Juang dan Abang Long Fadil 3 (8 September).

Walau apapun cabarannya, marilah kita sama-sama memberi sokongan kepada filem tempatan agar lebih banyak lagi karya agung dihasilkan.

Jika anda peminat sukan bola sepak, jangan ketinggalan untuk menonton filem Anak Rimau The Movie. Filem arahan Areel Abu Bakar yang menelan kos RM5.5 juta itu, perlu ada dalam ‘bucket list’ kerana filem itu mampu memberi semangat kepada penonton terutamanya, generasi muda.

Skil lakonan pelakon filem ini dilatih oleh Fatimah Abu Bakar.

Filem terbitan Keeklr Films Sdn. Bhd., itu dihasilkan menerusi usaha sama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan AMD dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Anak Rimau The Movie, bukan saja berlatarkan sukan bola sepak, malah ia turut mengangkat semangat dan perjuangan generasi baharu dalam mengejar impian sebagai pemain bola sepak.

Bagi yang menyimpan impian untuk menjadi pemain bola sepak, semangat Ariff, lakonan bakat baharu, Idan Aedan boleh dijadikan panduan dan pendorong.

Malah watak Ariff juga turut membuatkan penonton sebak tatkala dia bercerita kisah keluarganya kepada jurulatih Zainal, lakonan Beto Kusyairy.

Beto Kusyairy melakonkan watak Coach Zainal.

Menerusi filem ini, dua pemain bola sepak kategori bawah 14 tahun dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil @ Kechikimi sebagai Maro dan Hanz Daniel Skelchy (Danish).

Penyertaan pemain muda AMD dalam filem ini mampu menarik minat lebih ramai anak muda untuk menyertai sukan bola sepak.

Sebenarnya, banyak panduan untuk anak-anak muda contohi selepas menonton filem ini kerana secara tak langsung Anak Rimau The Movie memaparkan situasi sebenar yang berlaku dalam dunia bola sepak.

Malah penampilan Azhan Rani dan Adam Corrie itu menunjukkan sisi seorang bapa dalam usaha untuk menjadikan anak mereka sebagai pemain bola sepak.

Dari segi permainan bola sepak, bakat pelakon Anak Rimau The Movie amat menyerlah.

Selain menonjolkan semangat kebapaan, filem ini juga mengetengahkan elemen perpaduan dan nasionalisme pelbagai kaum dalam satu pasukan.

Turut ditonjolkan adalah semangat setia kawan walaupun pada awalnya terdapat sedikit kekecohan, namun demi sebuah pasukan, perbezaan pendapat diketepikan.

Selain itu, skil bermain bola sepak pelakon tidak perlu dipertikai kerana rata-rata mereka yang diambil beraksi dalam filem ini adalah ‘kaki bola’ dan menariknya, sinematografi filem ini juga cantik.

Jalan cerita filem ini mudah dan dekat dengan masyarakat, justeru itu, sedikit sebanyak adegan yang ditonjol pasti menyentuh hati penonton.

Filem Anak Rimau The Movie mampu memberi semangat kepada anak-anak untuk menjadi pemain bola sepak.

Bagi yang berpeluang menemui barisan pelakon sewaktu mereka melakukan acara meet and greet di beberapa pawagam adalah satu bonus dan pasti meninggalkan momen indah.

Untuk memastikan filem ini bertahan lama di pawagam, marilah kita sama-sama menyokong Anak Rimau The Movie. — BebasNews

Leave a Reply