TERAJU utama "Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan." Berdiri dari kanan: Datuk Adi Putra, Syamsul Yusof (Pengarah) dan Fattah Amin. Foto: IG Syamsul Yusof.

“Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan” filem yang mencatatkan sejarah tersendiri dalam industri perfileman tanahair apabila berjaya mencecah kutipan tiket sebanyak RM96 juta dalam tempuh 40 hari ditayangkan adalah diantara 28 filem yang akan menyertai Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) yang akan berlangsung di Melaka pada 2 Disember ini.

Filem-filem tersebut dikatakan layak bertanding pada FFM32 bertemakan “Filem Kita, Citra Kita” kerana menepati syarat yang telah dimaklumkan antaranya mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) bermula 15 Julai 2021
sehingga 30 September 2022 untuk tayangan di pawagam.

Dengan syarat yang ditetapkan apakah filem “AIR FORCE THE MOVIE – Selagi Bernyawa” yang kini masih hebat di pawagam dan telah mencecah kutipan tiket sebanyak RM20 juta setelah 11 hari ditayangkan bermula pada 25 Ogos akan memeriahkan festival kali ini dengan memberi saingan kepada 27 filem lain?

Ketua Pengawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim ketika ditanya pandangan skeptikal segelintir penggiat seni apabila “Mat Kilau” turut serta pada festival kali ini berkata;

DR. MD. NASIR IBRAHIM

“Sebenarnya saya berharap penyertaan ini lebih daripada angka yang disebutkan memandangkan pencalonan bermula dari 23 Ogos sehingga 12.00 tengahari 30 September ini.

“FFM32 merupakan inisiatif kerajaan dalam membangunkan festival filem nasional yang berprestij untuk memberikan pengiktirafan dan meraikan kecemerlangan para penggiat industri filem tanah air.

“Festival bukan setakat pengiktirafan berdasarkan kemenangan malah ia merupaka salah satu platform bagi meraikan kesemua filem yang telah ditayangkan.

“Tidak dinafikan filem Mat Kilau telah membuktikan pencapaian yang luar biasa dengan kutipan melebihi RM90juta di pawagam namun setiap filem yang telah dihantar bagi kategori yang dipertandingkan mempunyai kelebihan dan potensi untuk diangkat sebagai Filem Terbaik.

“MAT KILAU: Kebangkitan Pahlawan” filem pertama
yang ditayangkan selepas pandemik Covid-19 mencatat sejarah tersendiri dikatakan akan memberi saingan hebat pada Festival Filem Malaysia ke-32 pada awal Disember ini di Melaka

“Saya percaya dengan pelantikan juri-juri profesional yang akan menilai dan mengadili kesemua filem yang bertanding mempunyai kredibiliti untuk menentukan filem-filem yang berkualiti dari pelbagai aspek seperti jalan cerita, kekuatan skrip, barisan pelakon yang menyumbang kepada kekuatan filem tersebut.”

Meskipun ada yang tertanya-tanya mengapa setelah 31 tahun festival filem bertaraf nasional dan pada FFM32 ia membuka penyertaan untuk filem antarabangsa namun Dr. Md. Nasir Ibrahim mempunyai alasan tersendiri yang pastinya melegakan hati para penggiat seni tanahair, sambil menjelaskan;

“Pada FFM32 ini, saya memasukkan elemen antarabangsa dengan membuka penyertaan kepada negara-negara yang telah dikenalpasti seperti Indonesia, Thailand, Singapura, India, Pakistan dan sebagainya kerana melalui filem ia adalah salah satu intergrasi pengenalan budaya yang boleh dikongsikan bersama dengan negara-negara luar.”

Menurut Dr. Md. Nasir Ibrahim apa yang membanggakan setakat ini penyertaan dari negara-negara tersebut sangat memberangsangkan dan mampu membuka mata kepada negara-negara luar bahawa Malaysia mempunyai festival filem yang berprestij.

Menyentuh mengenai tiga anugerah baharu iaitu Anugerah Seniman Sepanjang Zaman, Anugerah Seniwati Sepanjang Zaman dan Anugerah Filem Pendek, beliau berharap terutamanya Seniman dan Seniwati ia adalah untuk meraikan dan memberi pengiktirafan sewajarnya kepada mereka yang telah berjasa didalam pembangunan industri perfileman tempatan.

Sementara Anugerah Filem Pendek, beliau menegaskan sudah tiba masanya untuk mengenalpasti dan memberi pengiktirafan sewajarnya kepada mereka.

“Bagi saya mereka bertungkus lumus mencurahkan idea untuk
menghasilkan filem pendek yang kreatif. Kini ia sudah menjadi trend terutama golongan anak muda yang telah menghasilkan filem-filem pendek berkualiti yang sarat dengan mesej penting,” jelas beliau.

Potensi pembangunan ekonomi kreatif

ANNUAR Musa (tiga dari kanan) dan Dr. Md. Nasir Ibrahim ketika mengadakan lawatan kerja dua hala ke Indonesia baru-baru ini.

Menyentuh relevannya menganjurkan FFM32 di Melaka setelah 35 tahun dengan yang pertama pada tahun 1987, Dr. Md. Nasir Ibrahim menjelaskan;

“Pemilihan Melaka sebagai lokasi kali ini berdasarkan beberapa faktor antaranya mengimbau semula Melaka sebagai tuan rumah Festival Filem Malaysia ke-7 pada tahun 1987 dan kali ini ia menjadi pilihan kerana keistimewaan geografi Melaka yang strategik dengan latar belakang dan kemasyurannya sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan khazanah dan sejarah.”

Menurut beliau Melaka menjadi lokasi strategik FFM32 kerana sebelum ini festival filem pernah diadakan di negeri-negeri lain seperti Sabah dan Johor dan ia amat signifikan dengan sambutan Hari Malaysia yang diadakan di Melaka tahun ini.

Menyentuh mengenai lawatan ke Jakarta baru-baru ini yang diketuai oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, H. Sandiaga Salahudin Uno, beliau memberitahu;

ANNUAR Musa menerima cenderamata daripada H. Sandiaga Salahudin Uno ketika mengadakan lawatan kerja dua hala ke Indonesia baru-baru ini.

“Dalam konteks industri perfileman, kedua-dua negara turut meneroka potensi pembangunan ekonomi kreatif dan budaya melalui kerjasama strategik penerbitan, pengedaran dan pemameran filem.

“Bukan itu sahaja, malah ia turut menyentuh bakat kreatif, pemerkasaan dasar dan polisi, perkongsian kepakaran dan teknologi, membanteras cetak rompak digital, pelaburan asing ke dalam negara serta pelbagai strategi jangka panjang yang boleh dipertingkatkan dalam memacu ekosistem industri perfileman serantau.

“Disamping itu, ia turut mengkaji semula perjanjian usahasama perfileman antara Malaysia dengan Indonesia yang pernah dimetrai pada tahun 1984.”

Landskap positif industri filem

 

Sementara mengenai penerbitan bersama dan pemasaran filem beliau memberitahu;

“FINAS melihat potensi penjanaan ekonomi tempatan serta peluang pekerjaan yang lebih luas bukan sahaja di peringkat tempatan malah di peringkat antarabangsa seperti di Australia melalui perjanjian bersama pada tahun 2019 untuk penerbitan bersama.

“Buat masa ini, FINAS sedang berbincang dan meneliti dengan Republik China untuk bekerjasama dan meneruskan kerjasama ini dengan India, Uzbekistan, Indonesia dan Thailand bagi mempromosikan Malaysia ke peringkat antarabangsa.”

Menurut Dr. Md. Nasir Ibrahim, FINAS juga turut sama dalam penganjuran pasaran filem antarabangsa pada Mei lalu di Marche Du Film, Perancis dan berjaya memperolehi sebanyak RM158.7 juta melepasi sasaran yang ditetapkan RM50 juta.

“Bersandarkan kejayaan ini FINAS akan memfokuskan pasaran filem antarabangsa yang besar dan berpotensi untuk penjanaan ekonomi syarikat produksi tempatan,” kata Dr. Md. Nasir Ibrahim.

Apakah AIR FORCE THE MOVIE – Selagi Bernyawa” yang mula ditayangkan pada 25 Ogos lalu turut menyertai FFM32?

Disamping itu apabila ditanya apakah pencapaian dari segi kutipan tiket untuk filem “Mat Kilau” dan filem aksi “Air Force The Movie – Selagi Bernyawa” yang berjaya mencecah box-office sebanyak RM20 juta setelah 11 hari ditayangkan bermula pada 25 Ogos memberi satu harapan besar kepada industri filem tempatan, Dr. Md. Nasir Ibrahim berkata;

“Setelah dua tahun berdepan dengan pandemik Covid-19 dan apabila kerajaan mengumumkan fasa endemik di seluruh negara, saya merasakan rakyat Malaysia mahukan perubahan landskap yang positif dalam pembangunan industri perfileman tempatan.

“Bagi saya kejayaan dua filem berkenaan mencecah box-office selain promosi yang berterusan faktor masa dan waktu filem itu ditayangkan membuatkan orang ramai ke pawagam untuk menonton disamping menyokong pembangunan industri perfileman tempatan.”

Beliau yakin pencapaian dari segi kutipan tiket kedua filem berkenaan ia adalah petanda yang positif dalam pembangunan industri perfileman tempatan dan berharap ini akan terus dilakar dan menjadi contoh kepada syarikat penerbitan lain untuk terus berkarya dan menghasilkan filem berkualiti.

 

— BebasNews

Leave a Reply