Pementasan Masahoro Opu Raja Siti diadakan di tempat terbuka di Taman Tasik Shah Alam pada 10 dan 11 September ini.

MENONTON persembahan teater di dalam auditorium atau dewan adalah perkara biasa. Bagaimana pula, kalau anda menonton teater di tempat terbuka dan persekitaran setempat menjadi latar belakang pementasan tersebut.

Kalau tak percaya, jom ramai-ramai kita tonton teater Masahoro Opu Raja Siti (MORS) di Taman Tasik Shah Alam pada 10 dan 11 September ini yang bermula pada pukul 8.30 malam.

Apa tu, teater Jepun ke? Sekali dengar dua perkataan di depan itu memanglah bunyi macam bahasa Jepun tapi sebenarnya Masahoro bermaksud kemasyhuran dan Opu itu membawa maksud gelaran bangsawan Bugis.

Mesti teruja untuk menonton persembahan teater di tempat terbuka kan?

Amirah Razak pemegang watak utama teater Masahoro Opu Raja Siti.

Rupa-rupanya, ini bukan kali pertama Majlis Teater Negeri Selangor (MTS) mengadakan pementasan secara terbuka.

Berbekalkan pengalaman lalu, pasukan produksi teater MORS sudah bersedia dengan segala kemungkinan bagi memastikan penonton selesa sepanjang menonton pesembahan selama satu jam lebih itu.

Pengarah dan penulis skrip MORS, Sharul Titis, berharap dan berdoa agar keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang memihak kepada mereka.

“Kami akan menghidangkan persembahan menarik dengan unsur kekaguman merangkumi gaya pencahayaan, muzik, silat dan seni tari.

Antara barisan pelakon dan orang kuat teater Masahoro Opu Raja Siti yang bakal beraksi pada 10 dan 11 September ini.

“Seandainya keadaan cuaca ketika itu buruk, persembahan tetap diteruskan bersama suasana alam bagi mencipta kelainan,” katanya.

Teater MORS mengangkat sejarah Selangor ketika awal 1723 dengan munculnya seorang wanita yang menjadi pemerintah negeri ini.

“Sebelum ini hanya teater zaman sesudah kegemilangan Raja Siti yang dipentaskan dan sekarang baru giliran Masahoro Opu Raja Siti. Masahoro bermaksud kemasyhuran, manakala Opu ialah gelaran untuk raja.

“Sekitar 1700, Dato’ Engku Kelang selaku wakil kerajaan Johor melantik Arung Pasarai yang berketurunan Bugis sebagai pemerintah Selangor dengan gelaran Yamtuan.

Para pelakon menjalani latihan bagi memastikan persembahan mereka berjalan lancar.

“Arung Pasarai kemudian diganti oleh Raja Siti pada awal 1723 dan sebelum pemerintahan Selangor digantikan oleh Raja Lumu,” katanya.

MORS membariskan gabungan pelakon baharu dan lama iaitu Amirah Razak sebagai Opu Raja Siti, Sifu Najib, Idan Shahril, Dayang Norinah, Anwar Rusdini, Taha Muhammad, Azmie Daim, Pairul Azhar, Jamaludin, Hazley dan Thaqif.

Turut ditampilkan ialah dua pelakon veteran iaitu Shah Farid Zain dan Rahim Kidol.

Sebelum ini, MTS pernah mementaskan teater purbawara berkisarkan sejarah Selangor yang diasaskan oleh keturunan Bugis antaranya berjudul Raja Lumu iaitu Sultan Selangor pertama.

Mereka seterusnya tampil dengan teater Opu Cendera Burung Raja Siti. Dua pementasan ini mendapat sambutan yang baik daripada peminat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor, Mohd Raizuli Jusoh berkata, mereka sangat bersyukur kerana dapat mementaskan teater yang patut dipertontonkan kepada khalayak.

“Pementasan secara terbuka mungkin satu kelainan. Saya juga yakin ia boleh berjaya memandangkan semua pihak memberikan kerjasama yang baik. Bajet untuk teater ini yang diperoleh menerusi geran sempadan ialah RM100,000.

“Namun bagi saya, bukan wang yang kami lihat dan jadi keutamaan, sebaliknya penggiat seni teater masih boleh meneruskan karya mereka,” katanya.

Orang ramai yang berminat untuk membuat pembelian tiket berharga RM20, boleh berhubung dengan wakil produksi menerusi talian 010-8417161. –BebasNews

Leave a Reply