Kira-kira 9,000 penonton hadir menonton konsert kumpulan Dewa 19 di Axiata Arena pada malam pertama, 9 September 2022.

JALAN menuju ke Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada petang 9 September 2022, sesak dengan kenderaan gara-gara penangan kumpulan Dewa 19.

Semua yang menuju ke stadium itu rindu untuk menonton persembahan Dewa 19 yang kali terakhir beraksi di Malaysia pada Februari 2019, di Stadium Malawati, Shah Alam tanpa kehadiran pengasas kumpulan, Ahmad Dhani.

Konsert sempena Anniversary Tour, 30 Years of Dewa 19 yang diketuai oleh Ahmad Dhani, 50, itu merupakan kenangan terindah buat Baladewa atau peminat kumpulan tersebut.

Kehadiran Dewa 19 kali ini ibarat bonus kepada Baladewa kerana di atas pentas yang sama, kira-kira 9,000 penonton berpeluang menyaksikan persembahan empat vokalis kumpulan tersebut.

Ahmad Dhani, selaku pengasas Dewa 19 dan pemain keyboard turut mendendangkan lagu, Cinta Gila dan Sedang Ingin Bercinta.

Setiap vokalis, Marcello Tahitoe atau Ello, 39, Di Muhammad Devirzha atau Virzha, 32, Once Mekel, 52 dan Ari Lasso, 49, mempunyai kekuatan dan kelebihan vokal tersendiri.

Selain mereka, Ahmad Dhani yang merupakan pemain keyboard turut menyumbangkan suaranya menerusi lagu hit, Cinta Gila dan Sedang Ingin Bercinta secara solo. Malah dia turut berduet dengan Virzha menerusi lagu Hadapi Dengan Senyuman dan Angin.

Suami kepada Mulan Jameela itu sempat bertanya khabar kepada penonton dan ternyata, dia terharu dengan sokongan yang diberikan oleh peminat di Malaysia.

“Malaysia apa khanbar. Senang sekali Dewa dapat datang ke Malaysia. Beza dengan Indonesia, ramai bangat. Kita akan nyanyikan 35 lagu. Jadi untuk yang belum minat dan mengenali Dewa harap sabar. Anda tunggu hingga habis konsert,” sapanya.

Ello dan Virzha adalah antara vokalis Dewa 19 yang mempunyai gaya tersendiri.

Untuk segmen pertama sebelum berhenti sekejap, penonton dihiburkan dengan lagu nyanyian dari Ello dan Virzha seperti Restoe Boemi, I Wan To Break Free, Still I Am Sure We’ll Love Again, Juliette, Aspirasi Putih, Tak Kan Ada Cinta Yang Lain, Bayang-Bayang, Careless Whisper, Selatan Jakarta, Bunga, Aku Milikmu, Larut dan Angin.

Bagi pemegang tiket berdiri, inilah masa untuk mereka duduk sekejap kerana penat berdiri dan menari. Namun sebaik saja terdengar intro lagu Roman Picisan, masing-masing bingkas bangun untuk terus beraksi bersama Once Mekel.

Arjuna, Perempuan Paling Cantik Di Negeriku Indonesia dan Dewi adalah lagu seterusnya, dendangan Once. Kemunculan Once amat dinanti penonton kerana lagu yang didendangkan amat dekat dengan pendengar.

Selain Once, penonton juga tidak sabar untuk menyanyi bersama dengan Ari Lasso. Ari menghibur penonton dengan barisan lagu Cinta Kan Membawamu Kembali, Elang, Aku Di Sini, Satu Hati dan Cukup Siti Nurbaya.

Once Mekel mempunyai vokal yang mempesonakan pendengaran penonton.

Kehadiran Dewa 19 di Malaysia untuk menjayakan dua malam persembahan (9 dan 10 September) yang dibawakan oleh Icon Entertainment itu turut disertai bekas pemain dram, Tyo Nugros.

Sedar tak sedar konsert yang bermula pada pukul 8.35 malam itu melabuh tirainya kira-kira pukul 12 tengah malam dengan lagu Separuh Nafas yang dinyanyikan oleh Ari Lasso, Once, Virzha dan Ello.

Ari Lasso, merupakan vokalis awal yang menganggotai Dewa 19.

Konsert yang menampilkan slogan ‘30 Tahun, 30 Kota, 30 Lagu’ memang berbaloi kepada Baladewa kerana aura anggota Dewa 19 ketika beraksi di pentas tetap mantap.

Selain lagu-lagu Dewa 19 yang sudah sebati dengan jiwa peminat tegar, corak persembahan anggota kumpulan juga masih berbisa.

Ahli Dewa 19 berpuas hati dengan sokongan peminat dari Malaysia.

— BebasNews

Leave a Reply