Sharifah Amani dan Ahmed Faris sah sebagai suami isteri, kira-kira pukul 10 pagi tadi.

SEGALA persiapan dan perancangan yang dibuat sejak beberapa bulan lalu berjalan lancar dan hari ini pelakon Sharifah Amani Syed Zainal Rashid, 36, sudah mampu mengukir senyuman.

Pada hari ini (10 September) juga termeterailah ijab kabul antara Sharifah Amani dengan jejaka pilihan iaitu Ahmed Faris Amir, 34, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Impact Integrated, dengan hanya sekali lafaz, kira-kira pukul 10 pagi tadi di sebuah premis acara di Kuala Lumpur.

Majlis akad nikah pasangan beza usia dua tahun itu, dilaksanakan oleh Ketua Imam Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara merangkap Penolong Pendaftar Nikah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Mohd Rahimi P Ramlee dan berwalikan bapa pengantin perempuan, Syed Zainal Rashid Syed Zainal Abidin.

Pada majlis tertutup dan berkonsepkan rona putih yang dihadiri 200 tetamu itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM300 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang. Bagaimanapun, wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Pasangan ini mengikat tali pertunangan, Jun lalu dan 10 September 2022 menyaksikan mereka sebagai pasangan suami isteri.

Antara rakan yang hadir adalah Vanidah Imran, Bront Palarae, Iedil Dzuhrie Alaudin, Nadia Aqilah, Nadiya Nisaa, Sherry Alhadad dan Sangeeta Krishnasamy.

Anggun mengenakan persalinan rona putih rekaan Tangsi Tujuh dan ditata rias adik bongsu, Sharifah Aryana, Sharifah Amani bersyukur kerana majlis hari bahagia yang diatur sejak beberapa bulan lalu berjalan lancar.

“Alhamdulillah, di sebalik ujian pandemik Covid-19 melanda dunia sejak dua tahun lalu, impian, niat dan hajat yang saya simpan selama ini dipermudahkan.

“Biarpun semuanya berlaku dengan begitu pantas, saya percaya ada hikmah tersendiri hingga menyatukan kami sebagai pasangan suami isteri yang sah.

Sharifah Amani dan Ahmed Faris tidak menolak jika diberi rezeki anak awal.

“Semoga permulaan fasa baharu ini akan terus mematangkan saya dan suami… Insya-Allah,” kata anak kepada pelakon dan guru lakon, Fatimah Abu Bakar itu.

Berkongsi detik perkenalan, pasangan ini mula bertemu tiga tahun lalu ketika Sharifah Amani memikul tugas sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah organisasi diketuai Ahmed Faris.

“Bagaimanapun, tiga tahun lalu, kami bekerja atas paksi profesional… Belum ada rasa cinta.

“Dipendekkan cerita, selepas Covid-19, masing-masing solo. Cinta bertandang tanpa diduga hingga akhirnya kami diizinkan bertemu jodoh,” jelasnya.

Mengenai peribadi suami, Sharifah Amani yang mesra dengan panggilan Nani itu berkata, dia tertawan dengan kebijaksanaan Ahmed Faris.

“Suami tangkas dalam setiap gerak-geri. Dia pandai dan bijak mengambil hati saya.

“Malah, pada masa sama, suami sering buat saya tergelak dan mudah terhibur. Apa yang buat kami serasi, dia adalah antara kawan lepak yang ‘sempoi’ dan terbaik,” katanya.

Mengenai bulan madu, pasangan ini belum merancang dan ditanya soal zuriat, Sharifah Amani dan suami tidak menolak rezeki andai dikurniakan cahaya mata pengikat kasih.

“Kami hendak selesaikan proses berpindah rumah selepas berkahwin. Kemudian, baik saya mahu pun suami, masing-masing sibuk dengan komitmen kerja.

“Mungkin apabila selesai kerja dan suami dapat cuti, kami boleh fikir perancangan spontan menghabiskan masa berdua. Kalau okay pun, mungkin akhir tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Ahmed Faris cukup menyenangi peribadi dan karakter isterinya.

“Isteri sangat baik hati, pemurah dan penyayang,” katanya.

Malam ini, Ahmed Faris dan Sharifah Amani diraikan pada majlis resepsi di lokasi sama.

Jun lalu, Sharifah Amani yang meraih trofi Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-19 melalui filem Gubra pada 2006, bertunang dengan Ahmed Faris.

Melalui hantaran Instagram (IG), Sharifah Amani berkongsi foto memaparkan cincin di jari manis dan kelibat jejaka dipercayai tunang di belakang. — BebasNews

Leave a Reply