JDT FC bergembira meraikan kejayaan menjuarai Piala FA, yang kedua milik mereka selepas 2016. – Foto JDT

ARIF Aiman Hanapi melepaskan rembatan kaki kiri yang memukau Rahadiazli Rahalim untuk membuka tirai gol JDT FC. – Foto MFL

DUA sudah didakap, tinggal dua lagi mendatang!

Johor Darul Ta’zim (JDT) FC melontar jauh igauan final Piala Malaysia 2021 dengan menjulang kembali Piala FA bagi edisi ke-31, 2022 apabila menumpaskan Terengganu FC 3-1, malam tadi.

Harimau Selatan juga membuktikan mereka di kelas tersendiri sambil mengulangi kejayaan seperti 2016 di depan 84,321 hadirin Stadium Nasional, Bukit Jalil.

JDT bergelar juara kali pertama, enam tahun lalu dengan menundukkan PKNS 2-1 di Stadium Shah Alam, Selangor.

Piala FA, saingan kalah singkir bola sepak kebangsaan, dibatalkan pada 2020 dan tidak dapat dilangsungkan 2021 akibat pandemik Covid-19.

Arif Aiman Hanapi memulakan pesta final JDT FC dengan jaringan rembatan kaki kiri pada minit ke-34 hasil umpanan Leandro Velazquez manakala Bergson da Silva melengkapinya dengan gol penalti (62) dan sungkitan mudah ke gawang (78).

TCHETCHE Kipre (23) melepasi jangkauan Farizal Marlias untuk merapatkan jurang gol Terengganu FC, minit ke-76. – Foto MFL

Bergson dijatuhkan oleh penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim sebelum tenang menyudahkan penalti itu sementara gol keduanya, daripada kuisan sayap kanan gantian, Mohamadou Sumareh yang sudah rebah.

Namun Tchetche Kipre sempat  merapatkan kedudukan Sang Penyu 1-2 setelah hantaran lintang bolanya tertampan ke dada Farizal Marlias dan menerjah gol JDT pada minit ke-76, menerusi lorongan Faisal Halim.

BERGSON da Silva tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kedua Harimau Selatan. – Foto JDT

JDT kini mengumpul gelaran kedua musim 2022 selepas merangkul Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah pada 26 Februari lalu di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dengan membalas dendam final Piala Malaysia di Bukit Jalil terhadap Kuala Lumpur City FC, 3-0.

Sekalipun keluar untuk digantikan oleh Sumareh kira-kira 20 minit terakhir, Arif, 20, tetap dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Piala FA 2022.

Sebagai juara Piala FA, JDT FC beroleh slot Piala AFC 2023 namun hampir pasti melepaskannya kepada kelab lain kerana semakin menggapai gelaran Liga Super 2022 dengan kelebihan enam mata untuk terus beraksi dalam Liga Juara Asia AFC (ACL) 2023.

Mereka mengumpul 42 mata di puncak Liga Super, meninggalkan pencabar terdekat, Sabah FC yang dikejutkan Selangor FC 3-2 di Kota Kinabalu, semalam, malah berpeluang mencatat empat gelaran musim 2022 jika berjaya merampas semula Piala Malaysia.

Skuad kendalian Hector Bidoglio itu walau bagaimanapun disingkirkan oleh Urawa Red Diamonds dari Jepun, 5-0 dalam pusingan kedua ACL, musim ini pada 19 Ogos lalu. — BebasNews

PERANTARA Terengganu FC, Nik Sharif Haseefy Lazim (jersi hitam) dikepung dua pemain JDT FC, Leandro Velazquez (kiri) dan Nazmi Faiz Mansor (tengah). – Foto MFL

KEPUTUSAN FINAL PIALA FA
1990: Perak 4 Selangor 2
1991: Selangor 1 Perak 0
1992: Sarawak 2 Kuala Lumpur 1
1993: Kuala Lumpur 2 Sabah 1
1994: Kuala Lumpur 3 Sabah 1
1995: Sabah 3 Pahang 1
1996: Kedah 1 Sarawak 0
1997: Selangor 1 Pulau Pinang 0
1998: Johor 1 Sabah 0
1999: Kuala Lumpur 0 Terengganu 0 (penalti 5-3)
2000: Terengganu 1 Pulau Pinang 1 (penalti 4-3)
2001: Selangor 1 Sarawak 0
2002: Pulau Pinang 1 Perak 0
2003: Negeri Sembilan 2 Perlis 1
2004: Perak 3 Terengganu 0
2005: Selangor 4 Perak 2
2006: Pahang 0 Perlis 0 (penalti 4-2)
2007: Kedah 0 Perlis 0 (penalti 4-2)
2008: Kedah 3 Selangor 2
2009: Selangor 1 Kelantan 1 (penalti 4-1)
2010: Negeri Sembilan 1 Kedah 1 (penalti 5-4)
2011: Terengganu 2 Kelantan 1
2012: Kelantan 1 Sime Darby 0
2013: Kelantan 1 Johor Darul Ta’zim 0
2014: Pahang 2 Felda United 1
2015: LionsXII 3 Kelantan 1
2016: Johor Darul Ta’zim 2 PKNS 1
2017: Kedah 3 Pahang 2
2018: Pahang 2 Selangor 0
2019: Kedah 1 Perak 0
2020: -Dibatalkan-
2021: -Tiada pertandingan-
2022: Johor Darul Ta’zim 3 Terengganu 1

Leave a Reply