KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penubuhan Gabungan Pusat Penyelidikan Bioteknologi Malaysia (atau Malaysia Biotechnology Alliance of Research Centre) yang melibatkan semua institusi dan institut penyelidikan berasaskan bioteknologi, yang mengendalikan dan mengemudi penyelidikan, berdasarkan permintaan industri dan kepentingan strategik negara.

Menurutnya,satu badan penasihat pakar bioteknologi akan diwujudkan menerusi gabungan ini, bagi menggerakkan agenda negara dengan lebih berfokus dan berasaskan kekuatan negara, seperti mendalami kekayaan biodiversiti negara yang boleh memperkasakan tiga sektor bioteknologi seperti yang termaktub dalam DBN 2.0.

“Gabungan ini berperanan untuk, pertama,menentukan hala tuju strategik dan memperkasakan ekosistem bioteknologi berorientasikan kepada pulangan nilai (RoV), kebaikan awam dan kesejahteraan masyarakat.Kedua, menyokong impak, pasaran dan permintaan yang didorong Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bioteknologi yang memfokuskan kepada pembangunan eksperimen.

“Ketiga, MOSTI menerusi Malaysia Science Endowment akan bekerjasama dengan pemain industri, badan tempatan dan antarabangsa untuk mewujudkan dana alternatif bioteknologi,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (atau DBN 2.0) yang mengangkat tema ‘Ke Arah Masyarakat Bioinovasi’.

Ismail Sabri berkata, DBN 2.0 menambah baik strategi-strategi dalam DBN yang terdahulu selaras dengan perkembangan trend di peringkat global.

Katanya lagi, DBN 2.0 juga akan memastikan bidang bioteknologi berkembang pesat dan maju selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

“Dasar ini juga akan memperkukuhkan ekosistem bioteknologi sedia ada serta menjadi katalis dalam menyelesaikan cabaran negara berkaitan sekuriti makanan, pengurusan pandemik dan krisis perubahan iklim menerusi kaedah penyelesaian bioteknologi tempatan,”katanya.

Dalam perkembangan lain katanya lagi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) juga ketika ini sedang dalam perancangan untuk
menjalankan Projek MyGenom, yang melibatkan 10,000 hingga 100,000 sampel manusia di Malaysia.

“Objektif projek tersebut adalah untuk menghasilkan genom rujukan bagi kepelbagaian populasi dan etnik Keluarga Malaysia, mencirikan variasi genetik rakyat dan menghimpunkan data genom dalam perubatan diagnostik dan pencegahan.

“MOSTI dan Kementerian Kewangan telah mengadakan sesi konsultasi dan MOSTI telah memohon peruntukan bagi menggalakkan perkembangan syarikat-syarikat tempatan dalam industri bioteknologi menerusi program Bio-based Accelerator (BBA) yang telah dilaksanakan oleh Bioeconomy Corporation.

“Ini amat signifikan memandangkan MOSTI mempunyai ekosistem yang kondusif bagi menyokong pembangunan industri bioteknologi negara untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Sehubungan dengan itu saya meluluskan peruntukan RM5 juta bagi tujuan pelaksanaan BBA dan RM2 juta bagi BioMalaysia,”katanya. — BebasNews

Leave a Reply