Sebahagian daripada bahan pameran yang dipamerkan.

MELANGKAH sahaja ke pintu masuk ruang koleksi khazanah peninggalan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad yang dinamakan sebagai pameran ‘Warisan Sudir,’ ternyata berupaya menimbulkan semangat patriotik dalam kalangan pengunjungnya.

Ini kerana dalam ruang pameran di Level 2, Fahrenheit88, Bukit Bintang, Kuala Lumpur itu dipenuhi dengan gambar dan pakaian Sudirman bertemakan bendera Jalur Gemilang.

Pameran masuk percuma yang bermula pada 12 Ogos hingga 30 September 2022 itu ternyata bersesuaian dengan suasana sambutan Bulan Kebangsaan, Hari Kebangsaan Ke-65 (31 Ogos 2022) dan Hari Malaysia (16 September 2022).

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan pameran ‘Warisan Sudir’ itu pada 18 Ogos 2022.

Sebahagian daripada bahan pameran yang dipamerkan.

Usaha mengadakan pameran ‘Warisan Sudir’ Penghibur No. 1 Asia di Galeri Sudirman yang pertama di Malaysia itu dilakukukan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Arkib Negara, Kamura, Sudirman Asset Management dan Fahrenheit88.

Antara bahan penuh nostalgia yang dipamerkan ialah bendera besar Jalur Gemilang yang pernah dibawa oleh Sudirman dalam salah satu konsertnya, selain pelbagai jenis koleksi pakaian, kasut, tin produk minuman Sudi, lukisan potret, karya lukisan serta buku penulisan Sudirman dan banyak lagi.

Memang amat berfaedah bagi sesiapa yang melapangkan masa melawat pameran ‘Warisan Sudir’ itu kerana banyak pengetahuan baharu mengenai sejarah kehebatan Juara Bintang RTM (1976) sehingga menjadi Penghibur No. 1 Asia di Royal Albert Hall, London (1989) .

Sudirman anak kelahiran bandar Temerloh, Pahang pada 12 Mei 1954 lulusan Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, Kuala Lumpur(1976-1980) dianugerah Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian (LLB Hons) sebagai peguam bertauliah.

Namun Sudirman tidak sempat untuk meluaskan bakat kesenian dan usahawan apabila beliau meninggal dunia akibat penyakit ‘pneumonia’ berkaitan dengan paru-paru pada 22 Februari 1992 dalam usia muda 37 di rumah kakaknya, Rudiah di Bangsar, Kuala Lumpur sekitar pukul 4.00 pagi.

Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chengal, berhampiran bandar Temerloh, Pahang.

Sewaktu hayatnya, Sudirman pernah berkata: “Saya akan sentiasa berusaha melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh serta melakukan sesuatu yang hebat supaya dikenang sepanjang zaman.”

Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pula berkata: “Selepas P. Ramlee, saya fikir Sudirman merupakan insan seni yang bebat.” — BebasNews

Leave a Reply