Dalam tempoh singkat saja, filem Abang Long Fadil 3 berjaya meraih kutipan sebanyak RM10 juta.

SENTUHAN pengarah muda, Syafiq Yusof, 30, tidak pernah mengecewakan. Boleh dikatakan kebanyakan filem arahannya tersenarai sebagai filem box office.

Antara filem Mohd Syafiq Mohd Yusof yang mendapat kutipan tinggi adalah Abang Long Fadil 2, kira-kira RM18 juta yang diterbitkan pada 2017 dan KL Special Force sebanyak RM12 juta lebih pada 2018.

Kini Syafiq kembali menggegar industri perfileman apabila filem sekuel ketiganya iaitu Abang Long Fadil 3 – Dunia Spy yang ditayangkan sejak 8 September lalu berjaya meraih kutipan RM10 juta setakat pukul 12 tengah hari, 12 September 2022.

Sebelum ini, filem terbitan Skop Productions dan Astro Shaw itu berjaya meraih kutipan sebanyak RM3 juta pada hari perptama tayangan menerusi 159 buah pawagam di Malaysia, Brunei dan Singapura.

Maya Karin sebagai Ejen Maya dan Zizan Razak memegang watak Fadil/Jefri.

Sambutan baik ini membuktikan penonton masih meletakkan kepercayaan pada karya-karya tempatan dan sekali gus memperlihatkan industri filem Malaysia kembali meriah.

Wakil penerbit Abang Long Fadil 3 dan merangkap Pengarah Skop Productions, Datuk Yusof Haslam melahirkan rasa syukur atas sambutan hangat yang diberikan untuk filem yang menelan belanja RM6 juta itu.

“Syukur Alhamdulillah atas sambutan memberangsangkan filem Abang Long Fadil 3. Sebagai penerbit, tentunya keutamaan kami mempersembahkan naskhah yang dihasilkan ini mampu diterima serta memberi nilai hiburan kepada penonton.

“Sejak ditayangkan, kami telah menerima pelbagai reaksi daripada penonton selepas menyaksikan Abang Long Fadil 3 dan kami amat berterima kasih kepada semua atas sokongan terhadap filem ini,” katanya.

Johan, Ozlynn dan Zizan dalam salah satu babak Abang Long Fadil 3.

Sementara itu, Syafiq menganggap sambutan yang diberikan oleh penonton merupakan satu permulaan yang baik.

“Alhamdulillah, ia menyaksikan permulaan yang baik buat Abang Long Fadil menerusi sambutan yang memberangsangkan ini dan terima kasih kepada semua penonton yang telah menonton Abang Long Fadil 3 di pawagam.

“Saya mengharapkan filem ini mampu menepati cita rasa penonton dan buat yang belum menonton, saya sarankan apa kata ajak rakan-rakan atau keluarga dengan luangkan masa bersama dan menikmati komedi dan aksi yang dipersembahkan. Saya juga ingin merakam setinggi-tinggi penghargaan buat pihak media dan pemamer dalam memberi sokongan padu pada Abang Long Fadil 3,” katanya.

Filem Abang Long Fadil 3 menyaksikan Fadil, lakonan Zizan Razak kembali dengan misi terbaharu yang lebih berprofil tinggi. Fadil perlu menjatuhkan konspirasi jahat Chow Han (Johan Raja Lawak), namun dalam pada yang sama Fadil diburu oleh King Cobra (Datuk AC Mizal) atas dendam dahulu.

Syafiq dan Yusof Haslam, selaku pengarah dan penerbit filem Abang Long Fadil 3.

Turut berlakon dalam filem komedi aksi ini ialah Elizabeth Tan, Maya Karin, Ozlynn Waty, Tania Hudson, Kazar Saisi, Khir Rahman, Shuib Sepahtu, Siraj Alsagoff, Joey Daud, Jay Iswazir, Daniella Sya dan penampilan khas Wak Doyok serta Hairul Azreen. — BebasNews

Leave a Reply