- BebasNews

Selak Hassan Md NoorMEMANG eloklah Barisan Nasional (BN) mengambil langkah melakukan pembersihan ‘musuh dalaman’ gabungan itu dan juga UMNO. Cuma adakah masanya sesuai ketika desakan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15?

Pembersihan pasti akan mengambil masa dan dalam proses itu akan ada yang terasa diri mereka dikhianati dan sebagainya sehingga menimbulkan bibit perpecahan. Kesannya amat besar kepada parti.

Apa pun, seperti kata Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini, sesuatu mesti dilakukan untuk melakukan pembersihan dari dalam. Maknanya banyak ‘kekotoran’ yang perlu dibersihkan.

“Kita tidak mahu ada musang dalam reban ayam. Musang perlu dikeluarkan.
Kita tidak mahu ada bangkai tikus dalam telaga kita. Telaga yang ada bangkai tikus airnya tidak boleh diminum.,” kata Zahid berkias dalam ucapannya.

Mungkin kerja pembersihan lebih mudah apabila gabungan itu hanya tinggal beberapa kerat. Hakikatnya banyak ‘tikus’ yang sudah lari, dan yang belum lari itulah agaknya terjatuh ke dalam telaga seperti ungkapan Zahid.

Ibarat rumah terbakar, tikus habis lari. Begitulah yang terjadi apabila BN dilambung tsunami pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018. Banyak parti komponen BN angkat kaki. Dulu ada 14 sekarang tinggal EMPAT, iaitu UMNO, MCA, MIC dan PBRS.

BN atau UMNO kini diasak oleh lawannya dengan pelbagai isu. Begitulah jadinya kalau kucing tidak bermisai, takkan ditakuti tikus lagi.

Mengenal musuh di luar lebih mudah berbanding dalam ‘rumah sendiri’. Bukan setakat tikus dan musang yang ada dalam mana-mana parti politik terutama yang sudah ‘bernafas’ dengan baik tanpa perlu dirujuk mesin bantuan pernafasan.

Dalam parti politik ada pelbagai ragam tikus, ada yang ‘rupa harimau, hati tikus’ ada juga ahli umpama tikus jatuh ke beras; seperti tikus membaiki labu; seperti tikus masuk roman; pasang pelita dilanggar tikus atau marahkan tikus lengkiang dibakar.

Begitu juga ada anggota parti yang seperti kucing lalu, tikus tiada berdecit lagi; anggota berhati tikus, dan awak tikus hendak menampar kepala kucing.

Begitu juga dengan musang. Bukan sekadar musang berbulu ayam tetapi juga umpama di mana kayu bengkok, di sanalah musang meniti; ada yang bagai ayam tidur senang di dalam reban, musang yang susah beredar keliling.

Tidak kurang juga yang seperti memperlapang kandang musang, mempersempit kandang ayam atau bagaikan ayam tidur senang di dalam reban, musang yang susah beredar sekeliling.

Begitulah dua watak yang disebut Zahid baru-baru ini iaitu tikus dan musang sedangkan realitinya banyak lagi ‘perangai dan ‘sikap’ yang boleh meruntuhkan parti atau mengkhianati parti seperti duri dalam daging, api dalam sekam.

Contohnya, ada yang bercakap bagaikan lidah biawak; seperti biawak, masakan hilang kesatnya; dan lebih parah apabila parti terpaksa ‘mendukung biawak hidup’ hingga akhirnya terjadi ‘niat hati nak peluk gunung sudah terpeluk biawak sial’.

Di dalam parti, pembersihan juga perlu dilakukan terhadap mereka yang bermuka-muka, seperti talam dua muka atau muka dua, serampang dua mata, atau bagai gergaji dua mata, bagai belacan dikerat dua, yang pergi busuk, yang tinggal hanyir.

Begitu juga mereka yang seperti pisau bermata dua, ular kepala dua, atau yang bertindak seperti batu api, menjadikan parti batu loncatan, atau menyertai parti kerana ada udang di sebalik batu.

Di dalam parti juga ada yang tidak sanggup ‘telan batu’ sebaliknya lebih gemar ‘membuka pekung di dada; tidak berani menegur kerana muncung penuh air, perut berisi batu, sama seperti lembu dicucuk hidung.

Seperkara lagi ‘penyakit dalam parti’ yang perlu diubati iaitu mengenai mulut. Ada yang mulut murai, mulut besar, kotor mulut, lancang mulut, gatal mulut, bacar mulut, banyak mulut, mulut bocor, mulut berbisa dan pelbagai lagi.

Jangan lupa kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa. Elakkan seperti seekor kerbau membawa lumpur habis semuanya terpalit. Jangan kuman di seberang lautan tampak, gajah di pelupuk mata tiada tampak.

Realitinya pelbagai ragam yang dikaitkan dengan haiwan ada dalam politik, bukan setakat musang dan tikus. — BebasNews

Leave a Reply