Ismail Sabri - Foto via Blogspot.com

PILIHAN Raya Umum (PRU) ke-15 diadakan tahun ini? Persoalan ini terus berlegar dalam minda pemimpin politik juga rakyat umum. Masing-masing bagai keliru, malah jemu dengan teka teki ini kerana sudah sering kali terdengar desakan diadakan PRU segera, tetapi sehingga kini belum ada jawapan pasti.

Perdana Menteri, Datuk Seri ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO ketika ditanya mengenai perkara itu hanya berkata, tunggu sahaja bila parlimen dibubar. Beliau sendiri tidak memberi tarikh pasti di sebalik ramalan PRU tidak lama lagi.

Namun terbaharu beliau menegaskan, masih ada waktu untuk mengadakan PRU tahun ini, tetapi bergantung kepada lima pemimpin tertinggi UMNO, iaitu Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, serta tiga Naib Presiden masing-masing Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri sendiri.

Kenyataan ini juga menimbulkan pelbagai persepsi. Wajarkah PRU ditentukan oleh parti tertentu, dan bukan kerajaan yang memerintah? Benar, kuasa terletak di tangan Ismail Sabri untuk menasihati Yang Di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen.

Tetapi bukankah sepatutnya sebarang cadangan membubarkan parlimen dibincangkan oleh kerajaan dengan mengambil kira pandangan ketua-ketua parti yang membentuk kerajaan? Kenapa pula tugas ini diserah kepada UMNO secara eksklusif?

Kerajaan yang seharusnya menentukan bila PRU diadakan, bukan parti, tambahan lagi mengambil kira kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini didukung oleh pelbagai parti. Pandangan parti lain perlu diambil kira dan suara mereka didengar dalam membuat keputusan.

UMNO sudah berulang kali secara terbuka mendesak disegerakan PRU atas alasan semakin lama ditunggu akan membawa kesan negatif kepada parti itu dan Barisan Nasional (BN). Oleh itu Ismail Sabri selaku Naib Presiden UMNO dikehendaki melaksanakan ketetapan parti.

Ini hanya meletakkan perdana menteri dalam keadaan serba salah antara tuntutan parti sendiri, parti gabungan PN dan usaha serta komitmen beliau menjalankan tugas yang diamanahkan menerajui negara.

Banyak usaha telah beliau lakukan untuk memastikan kesejahteraan negara dan rakyat ketika negara kini memasuki fasa endemik. Pandemik Covid-19 banyak mengubah sturuktur ekonomi dan gaya hidup rekyat. Ekonomi tergugat, ramai rakyat hilang kerja.

Kini ekonomi kembali berkembang, peluang pekerjaan makin banyak terbuka. Namun negara masih dalam proses kembali kepada kedudukan seperti sebelum pandemik Covid-19. Kerana itu tugas Ismail Sabri dan anggota kabinet masih banyak untuk memastikan negara berada pada landasan kukuh untuk kembali stabil.

Justeru tidak wajar beliau dan anggota kabinet dipesongkan daripada matlamat ini. Biar mereka fokus dengan apa yang dibuat. Tidak perlu terburu-buru mengadakan PRU, apatah lagi tempoh parlimen sekarang masih berkuatkuasa sehingga Julai 2023.

Lagi pun, kerajaan hari ini berfungsi dengan baik. Melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandantangi dengan pembangkang, mereka berjanji menyokong kerajaan yang ada. Selagi MoU ini dihormati dan dipatuhi, tidak ada sebab bimbang kerajaan digugat, melainkan sengaja digugat oleh pihak-pihak tertentu.

Spekulasi PRU akan diadakan tahun ini juga timbul apabila tarikh pembentangan Belanjawan 2023 dibawa ke hadapan pada 7 Oktober berbanding jadual asal pada 28 Oktober. Ini menimbulkan andaian bahawa sebaik sahaja Bajet 2023 dibentang, parlimen akan dibubar.

Desakan demi desakan oleh para pemimpin UMNO, baik dalam perhimpunan agung atau mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang mahu parlimen dibubar segera, juga tidak mencerminkan pandangan keseluruhan pimpinan parti.

Ada yang jelas menyatakan PRU tidak perlu diadakan sekarang. Begitu juga PRU tidak harus diadakan untuk memenuhi kehendak atau desakan pihak tertentu. Perbelanjaan besar untuk PRU boleh dijimat untuk perbelanjaan lain yang lebih mendesak untuk negara dan rakyat.

Kerana itu biarkan Ismail Sabri terus komited melaksanakan tugas. Tidak adil meletakkan pelbagai tekanan di atas bahu beliau ketika beliau berusaha melakukan yang terbaik untuk negara dan rakyat. Biar perdana menteri dan anggota kabinet bersepadu melaksanakan tugas tanpa gangguan. Beri mereka ruang seluas-luasnya.

Justeru tidak perlu memikirkan perkara lain seperti PRU sehingga ekonomi negara benar-benar stabil dan kehidupan rakyat kembali seperti dahulu, malah bertambah baik. Tempuh tamat parlimen bukan lama lagi. Seelok-eloknya tunggu sahaja sehingga penggal parlimen berakhir. Apabila tiba masanya PRU tetap diadakan. Sehingga itu, bersabarlah. Apa yang hendak dikejar sangat?

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply