Terpaksa mendirikan kanopi untuk menampung kehadiran jemaah yang ramai untuk solat.

HASRAT membangunkan Surau Al-Jannah, Seksyen 23, Shah Alam di lokasi dengan kapasiti lebih luas dan selesa masih terbantut kerana kekangan kos yang belum mencukupi.

Untuk mengatasi masalah itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Surau Al -Jannah, Arif Abdullah mencadangkan ditubuh tabung infak surau pada pertengahan 2018 dan hanya dilancarkan pada Mac 2020 kerana pandemik Covid-19.

Sejak kempen tabung infak dijalankan, jumlah kutipan sekitar RM1.6 juta sahaja, sedangkan jumlah lengkap kos pembinaan semula surau itu diperlukan dalam RM4 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Surau Al -Jannah, Seksyen 23, Shah Alam, Arif Abdullah.

“Walaupun ada RM1.6 juta, kami masih tidak dapat memulakan pembinaan bangunan surau baharu yang tertangguh. Pihak kami memerlukan baki RM2.4 juta lagi untuk mendapatkan jumlah kos keseluruhan.

“Kami pun hanya boleh melakukan penyerahan Kebenaran Merancang (KM) membangunkan surau baharu kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) jika jumlah kutipan dana menjangkau 50 peratus yakni sebanyak RM2 juta.

“Kemudian hanya selepas kelulusan diberikan MBSA dengan melepasi kutipan RM2.8 juta, baru boleh mula kerja fizikal. Tapi itulah kekangan kami untuk terus cari dana,” jelasnya.

Terkesan melihat jemaah beribadat dalam serba kekurangan dan berharap masalah itu dapat diatasi segera menerusi sumbangan dana.

Arif berkata, tatkala pandemik melanda, tabung infak baru seminggu dijalankan dan situasi itu membimbangkan ahli jawatankuasa (AJK) surau.

“Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan, ketika itu tabung infak baru seminggu dijalankan. Masa itu kita sempat menghasilkan video bersama masyarakat setempat dan AJK surau. Dalam masa sama jemaah di surau itu sendiri bekerja dan menjalankan bisnes sendiri,” katanya.

Tambah Arif, pihaknya mahu memulakan misi meraih perhatian dan bantuan masyarakat melalui hebahan media saat ini.

Pelan baharu surau yang bakal dibina bila kewangan mencukupi.

“Kalau menerusi saluran media ini boleh tembus ke masyarakat, kami harap dapat kutip sekurang-kurangnya sebanyak RM400,000 dan boleh melakukan penyerahan yang diperlukan bagi melaksanakan misi awal pembangunan surau ini kepada MBSA.

“Sepatutnya kerja pembangunan ini bermula Jun tahun lalu. Tapi kini sudah lewat setahun, apapun kami mengharapkan keajaiban dan dengan izin-Nya kutipan yang diperlukan dapat dipermudahkan dengan menyalurkan kutipan ke https://infaqsuraualjannah.com,” katanya.

Menurut Arif, jemaah surau itu ada menyuarakan kapasiti asal surau tersebut tidak mampu menampu jumlah masyarakat yang bertambah.

Rekaan surau yang baharu dapat menampung ramai jemaah kelak.

“Pada satu tahap, solat Jumaat hanya mampu menampung 300 ke 400 jemaah, berbanding kehadiran jemaah yang dua kali ganda.

“Bagi mengatasi masalah itu, pihak kami hanya mampu menambah enam buah kanopi 20’x20′ untuk menampung kehadiran jemaah. Memang nampak daif sangat ketika itu,” katanya tentang Surau Al-Jannah yang dibina pada 2004 dan hanya beroperasi setahun selepas itu.

Ujarnya, dalam tempoh 2005 ke 2018, telah dibuat penambahan kemudahan surau dengan serba kekangan.

“Pada 2018 juga kita memanggil MSR Architect untuk mereka bentuk surau yang baharu. Hasil perbincangan bersama AJK surau dan pasukan kerja arkitek juga pasukan perunding, mereka syorkan perlu dibina bangunan surau baharu dengan anggaran keluasan 14,000 kaki persegi.

Bila terbina surau baharu, ianya akan dinaik taraf menjadi masjid.

“Keluasan tapak bangunan baharu itu dijangka dapat menampung lebih 1,000 jemaah dalam satu masa. Untuk semua itu, kita perlu bina bangunan surau baharu selepas merobohkan yang lama,” katanya.

Tambah Arif lagi, kawasan tapak asal surau itu bersaiz kecil sekitar satu ekar sahaja.

“Jadi keputusan merobohkan bangunan surau lama dibuat pada mulanya untuk mewujudkan kawasan parkir kereta dan beberapa kemudahan lain.

“Usaha awal saya dan AJK surau bermula dengan memohon kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) termasuklah Perbadanan Wakaf Selangor (PWS). Reka bentuk baharu surau dicadangkan ia bangunan surau dengan dua tingkat,” katanya.

Kata Arif, usaha menaik taraf surau itu turut memastikan banyak ruang baharu dan pelbagai kemudahan diwujudkan.

“Yang utama ialah ruang solat, bilik utiliti, bilik mesyuarat dan bilik pengurusan jenazah akan ditempatkan di bangunan yang baharu. Kelas mengaji masih dibincangkan lagi kerana ruang terlalu terhad selain keluasan tapak yang agak kecil.

“Kita sendiri perlu ‘piling’ sedalam 21 meter ke dalam tanah dan mungkin itu menyebabkan kos pembinaan jadi tinggi. Seksyen 23 sendiri berasal dari kawasan loji,” ujarnya.

Dalam masa sama, serentak menaik taraf surau berkenaan juga mahu dijadikan sebagai pusat komuniti setempat untuk penduduk berhampiran.

“Bagaimanapun JAIS belum benarkan pihak surau buat aktivti memasak kerana beberapa kekangan.

“Sebelum PKP, surau ini turut dijadikan tempat berkumpul dan makan. Malah setiap Jumaat, aktiviti merewang turut diadakan termasuk memasak untuk jemaah yang hadir,” katanya.

Besar harapan Arif melihat usaha ini jadi kenyataan dalam kadar segera.

“Hati saya sangat terkesan melihat jemaah beribadat dalam serba kekurangan. Pernah tambah enam kanopi pun masih belum memadai.

“Melihat jemaah bersolat di bawah kanopi di bawah tempias terik panas matahari dan juga terkena hujan ketika solat, sangat menyedihkan.

“Saya bersungguh-sungguh untuk pembinaan surau baharu ini demi keselesaan dan kesenangan bersama. Apabila terbinanya bangunan baharu bagi surau ini, kita juga berhasrat menaik taraf menjadi masjid pula,” katanya. — BebasNews

Leave a Reply