UDANG Celup Tepung dengan sambal istimewa air tangan Dak Lin

RAMAI yang berpendapat berniaga makanan terutama ‘di sebuah kedai’ memang mudah kerana ianya tidak memerlukan modal yang terlalu besar.

Namun sesuatu yang harus diambil kira ialah menu yang dihidangkan mesti menepati selera pelanggan dan lain daripada para peniaga berdekatan. Jika sedap
pelanggan bukan sahaja akan berulang datang malah yang pasti akan memberi pulangan yang besar.

Itulah istimewanya Kedai Dak Lin Celup Tepung yang terletak di Jalan Pantai Siring, Merlimau, Melaka yang pernah viral tahun lalu.

‘Mercu tanda’ Dak Lin Celup Tepung yang ‘dibina’ diatas batu di tepi laut.

Sekali pandang kedai Dak Lin Celup Tepung seperti kedai makan biasa hanya menghidangkan sotong, udang dan ikan celup tepung tetapi resipi rahsia air tangan tuanpunya kedai ini, Haslinda Musa atau lebih dikenali Dak Lin yang berasal dari Marang, Terengganu menjadi daya tarikan pelanggan berulang datang ke kedainya.

Beliau yang ditemui baru-baru ini walaupun sibuk melayan pelanggannya yang bertali arus, sanggup meluangkan masa berbual sambil menjejaki perjalanan Kedai Dak Lin Celup Tepung.

“Saya mula berniaga sejak tahun 2018. Ketika mula berniaga kedai saya macam kedai jual ikan dan hanya ada kedai saya sahaja. Di belakang kedai dan kelilingnya semua hutan.

KEDAI Dak Lin Celup Tepung ketika mula berniaga pada tahun 2018.

“Pada mulanya saya bercadang berniaga makanan barat tetapi apabila kedai dah siap kemudahan asas seperti air dan letrik tak ada saya batalkan niat itu kerana masakan barat mesti berniaga waktu malam.

“Menyedari itu saya tukar strategi. Saya buat keputusan berniaga makanan untuk sarapan pagi dengan menunya nasi lemak, nasi kerabu, laksam dan pulut ikan masin.

HASLINDA Musa atau lebih dikenali Dak Lin

“Waktu itu memang tercabar juga perasaan kerana selepas Subuh saya dah ‘bersidai’ di kedai tetapi tidak ada seorang pun yang datang membeli kalau tak kuat semangat memang dah angkat kaki. Tetapi akhirnya baru saya sedar rupanya mereka membeli sarapan pagi balik dari pasar,” cerita Dak Lin, bekas pekerja syarikat insurans sambil ketawa kecil apabila mengenang kembali pengalaman lalu yang tidak mungkin dilupakan.

Walaupun sambutan agak perlahan namun ia sedikitpun tidak mematahkan semangat beliau untuk berniaga kerana bosan bekerja di pejabat yang terikat dengan waktu ‘9 to 5!’ (Nine to Five).

Bagaimanapun segalanya berubah apabila kawan-kawan yang datang sarapan pagi makan nasi kerabu meminta beliau menambah resipinya dengan ikan celup tepung.

“Waktu itu nasi kerabu saya biasa-biasa sahaja kerana dengan harga yang berpatutan memang tiada ikan atau udang celup tepung. Tetapi apabila kawan-kawan datang mereka mahukan lauk berkenaan saya cadangkan mereka beli ikan, udang dan tepung beras.

“Esoknya mereka datang dan bawa apa yang saya pesan. Setelah siap bersihkan ikan dan udang saya bancuh tepung beras dan goreng.

“Apabila siap ada pelanggan di meja sebelah nampak mereka juga mahukan menu berkenaan dan sejak itulah bermulanya menu sotong, ikan dan udang celup tepung untuk sarapan pagi dan petang,” jelas Dak Lin.

Sejak itu, beliau memulakan menu istimewanya setiap hari tetapi hanya setengah kilo setiap jenis makanan laut berkenaan iaitu sotong, ikan dan udang celup tepung.

PELANGGAN setia Dak Lin Celup Tepung sanggup beratur panjang di tengah panas untuk menikmati menu istimewa airtangannya.

Bagaimanapun apabila pada Disember 2019 menu istimewa Kedai Dak Lin Celup Tepung mula viral daripada setengah kilo sehari meningkat kepada 20 kilo pada waktu pagi dan 20 kilo pada waktu petang.

Tetapi pada hari Ahad jualannya meningkat kepada 40 kilo pagi dan 40 kilo pada waktu petang untuk sotong, udang dan ikan celup tepung!

“Alhamdulillah pendapatan ketika itu meningkat dengan RM7,000 sehingga RM8,000 pada hari biasa. Pada hari Ahad pendapatan sehari memang tidak kurang daripada RM14,000 malah jika pelanggan terlalu ramai pernah mencecah sehingga RM16,000,” kata Dak Lin.

Kedai Dak Lin Celup Tepung pada hari Selasa hanya beroperasi bermula dari pukul 3.00 petang sehingga 7.00 malam. Sementara hari Rabu sehingga Ahad perniagaannya bermula dari 8.00 pagi hingga 7.00 malam dan waktu rehat kedai akan ditutup bermula dari pukul 12.00 tengahari sehingga 3.00 petang. Setiap Isnin tutup kecuali cuti umum.

Pelanggan beliau bukan setakat dari Melaka sahaja malah pada setiap hujung minggu kebanyakan pelanggannya luar dari Melaka bukan setakat dari Kuala Lumpur dan Seremban malah ada yang datang dari Kedah!

“Semuanya gara-gara sejak diviralkan. Memang tak cukup tangan nak melayan pelanggan tetapi kami cuba memberikan yang terbaik buat mereka.

“Memandangkan sambutan yang menggalakkan kami mula besarkan kedai pada Januari 2019 tanpa membuat pinjaman kerana tapak berniaga ini adalah tanah milik suami. Tetapi pelanggan lebih berminat makan di luar mengadap laut. Apabila hujan mereka sanggup berlari masuk ke kereta,” kata Dak Lin sambil tersenyum mengingatkan gelagat para pelanggan setianya.

Apabila ditanya mengenai beberapa gerai yang turut berniaga menu yang sama, Dak Lin tidak menafikan sambil berkata;

“Selepas menu Dak Lin Celup Tepung ni viral kalau dulu kebanyakan kedai makan di sini menunya hanya asam pedas dan ikan bakar tetapi kini bertukar kepada celup tepung. Tetapi saya sentiasa berfikiran positif kerana dalam berniaga memang ada persaingan dan yang penting biarlah persaingan sihat.

“Walaupun kedai makan celup tepung muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan namun pelanggan saya beribu terutama setiap hujung minggu dan cuti umum.

“Insyaa-Allah pelanggan tetap saya tidak akan beralih arah kerana mereka tahu keistimewaan resipi Dak Lin.”

Ditanya rahsia resipi istimewanya, sambil tersenyum Dak Lin bercerita;

“Resipi ini saya ‘celok’ daripada nenek saya. Nenek saya berniaga goreng pisang dan saya suka mengadap nenek membancuh tepung untuk menggoreng. Kemudian emak meneruskan legasi nenek.

“Bahannya hanya tepung beras tetapi apabila sampai kepada saya untuk memulakan menu istimewa ini saya olah sehingga menjadikan keenakan dan kerangupan serta lembut ketika para pelanggan mengunyah sotong, ikan dan udang celop tepung membuatkan mereka sentiasa berulang makan di sini.”

Bagaimanapun ketika perniagaannyan berada di puncak kejayaan beliau diuji
apabila negara dan dunia dilanda pandemik Covid-19.

“Apabila kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya cuti tidak berniaga. Lima bulan kedai saya tutup dan kami hilang punca pendapatan. Ketika itu, saya hanya mampu memberi makan dan tempat tinggal kepada pekerja saya dari Sabah dan Melaka.

“Pekerja minta izin untuk buka kedai dan apabila dibenarkan suami saya membantu mereka dengan memberi modal. Setiap hujung minggu jumlah jualan dan keuntungan dikira. Suami hanya mengambil modal dan keuntungan mereka bahagi sama rata bersama,” cerita Dak Lin.

Memandangkan sambutan yang tidak berpenghujung daripada para pelanggannya, Dak Lin bercadang untuk membesarkan kedainya dengan membeli kontena sepanjang 30 kaki untuk menjadikannya tempat memasak.

“Insyaa-Allah saya bercadang untuk membuka cawangan di bandar walaupun saya tahu para pelanggan suka makan di tepi pantai sambil melihat matahari terbenam namun ia akan memberi peluang mereka yang tidak berkesempatan ke Pantai Siring dengan menikmati menu hidangan yang tidak berbeza rasanya,” kata Dak Lin penuh harapan.

DAK Lin (empat dari kanan) bersama para pekerjanya di hadapan Kedai Dak Lin Celup Tepung, di Jalan Pantai Siring, Merlimau, Melaka.

— BebasNews

Leave a Reply