Celoteh Kak Feez

HARI ini terbaca kisah seorang anak yang terpaksa menyewa ambulans untuk membawa ibunya yang sedang uzur ke bank semata-mata untuk memperbaharui kad ATM bank ibunya yang sudah luput tarikh.
Mengucap panjang Kak Feez.

Dalam zaman serba canggih dengan dunia tanpa sempadan yang segala-galanya boleh dilaksanakan atas talian, keadaan itu masih berlaku di negara ini. Bagi Kak Feez keadaan ini menunjukkan sistem kita semakin parah.

Sepatutnya bank itu wajib menyediakan sistem bagi memudahkan pelanggannya. Atau apa kata jika pegawai bank itu yang sendiri pergi menemui pelanggannya yang uzur itu untuk mendapatkan cop jari. Tak rugi pun. Lagi pun bank mencatatkan keuntungan berbilion-bilion setiap tahun.

Bagi akak canggih macamana pun sistem dek peredaraan zaman, perasaan empati diri perlu ada.

Kita kena gunakan akal dan jangan kerja macam robot sebab kita manusia. Arwah Abah Kak Feez kata, kita yang buat dia.

Nampak sangat kebodohan bila ambulans sampai di bank, usung pelanggan yang uzur, hadir semata-mata nak perbaharui kad ATM. Memalukan!

Menyentuh soal segalanya atas talian ni, Kak Feez lebih tidak berpuas hati dengan sistem pendaftaran lesen atau pendaftaran syarikat atau apa-apa sahaja yang dibuat oleh pihak kerajaan melalui atas talian sekarang ini.

Bukan apa, dah dua tiga agensi kerajaan yang Kak Feez cuba, ia benar-benar mencabar kesabaran akak malah sesiapa sahaja.

Sistem pendaftaran melalui talian agensi kerajaan ini sangat lembab dan tidak mesra pengguna.

Bayangkan, kita dah siap isi maklumat atau menjawab soalan yang diperlukan, dan apabila kita tersilap atau tersangkut pada soalan atau maklumat selanjutnya, sistem terus terbatal dan kita kena ulang semula prosedur dari awal.

Allahuakbar, memang menuntut kesabaran yang maha tinggi sebab Kak Feez tak ada masa nak pening kepala.

Sistem yang tidak mesra pengguna memang menyukarkan dan ia bukan sahaja membuang masa. Itu belum masuk bab nak menghafal ID pengguna, kata laluan bagai.

Dah masuk dua minggu Kak Feez dok melayan pendaftaran secara atas talian ni.

Terfikir juga, Kak Feez ke yang silap atau akak ke yang bodoh. Minta tolong dari mereka yang bijak IT, sama je sebab sistem tu dah dibuat seperti itu.

Sistem pos pun kong kali kong juga. Sekarang dah tidak digalakkan menulis doket untuk urusan pos laju dan rasmi.

Semua maklumat penerima bagi tujuan pos perlu diisi di dalam aplikasi Pos Malaysia (pulak jadi hal Kak Feez nak kena pasang aplikasi Pos Malaysia). Bila tiba masa nak pos, kita perlu imbas maklumat yang dah diisi. Baru-baru ni sistem ‘hang’ katanya. Tak boleh imbas. Hujungnya pegawai kata, mohon maaf ‘sistem down’. Dah sudah, balik semula ke asal, Kak Feez kena tulis balik semua borang pengeposan secara manual. Tak terkata Kak Feez!

Kawan Kak Feez yang nak perbaharui paspot antarabangsa dia baru-baru ni pun mengeluh.

Katanya orang beratur panjang sampai keluar dari Pejabat Imigresen. Hairankan? Dah 65 tahun merdeka kot, sistem masih tahun 1957? Dulu pernah satu ketika, nak perbaharui paspot boleh dibuat di kiosk sahaja. Mana pergi kiosk-kiosk tu?

Ada juga yang berkata, permohonan nak perbaharui paspot juga boleh dibuat atas talian tapi lepas tu kena hadir juga di pejabat Imigresen untuk pengesahan. Akhir-akhir kena beratur panjang juga sudahnya.

Semalam seorang lagi rakan mengadu, dia mendatarkan anaknya untuk mendapatkan kad pengenalan Mykid pada 8 Ogos lalu. Dalam kertas kata sehari boleh siap. Tapi pegawai kaunter potong perkataan sehari itu dan kata check dalam talian jika sudah siap. Rakan itu check dari masa ke masa, tapi jawapan kata belum siap.

Semalam genap sebulan. Oleh kerana dah tak sabar layan sistem yang kata “belum siap” dia pun telefon ke pejabat JPN terbabit. “Puan boleh datang jam 2 petang, kami akan cetakkan. Kami tak boleh cetak awal-awal kerana nanti membazir kad. Ada yang tak datang ambil dan kad pun tak cukup.” Apasal sistem tak cakap macam itu…

Itulah jawapan pegawai itu. Itulah mentaliti pegawai-pegawai kita.

Kekadang Kak Feez terfikir, apakah sistem ini memang sengaja dibuat tak berapa nak cekap supaya ada ruang penambahbaikan yang memberi lubang kepada pembekal nak masuk tender lagi. Tender sana tender sini, duit sana duit sini. Berputar-putar duit, hujungnya siapa yang tersepit.

Kak juga hairan mana perginya Piagam Pelanggan yang satu ketika dulu menjadi amalan semua agensi kerajaan bagi melayani para pelanggan mereka. Nampaknya sekarang dah berbalik ke era kelembapan dulu.

Kak Feez harap, pihak yang bertanggung jawap kena tengok perkara ni secara mendalam.

Kalau perlu Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali kena turun padang dan periksa sendiri.

Cuba Tan Sri KSN buat sendiri permohonan secara talian tapi dengan syarat jangan beritahu para pegawai. Buat sendiri diam-diam kat rumah.

Ikutlah cara khalifah besar kita, Umar Al Khattab yang turun padang melihat kesulitan rakyatnya.

Suatu ketika, Khalifah Umar bertemu seorang ibu yang memasak batu hanya untuk menghibur anaknya yang menangis kelaparan kerana tidak lagi memiliki makanan. Pada saat itu juga Umar memikul sekarung gandum diambil dari gudang negara dan diberikan kepada ibu itu. Beliau sangat merahsiakan kerja amalnya.

Setidak-tidaknya pemimpin akan datang, janganlah menunggu kilauan cahaya kamera wartawan untuk memulakan pemberian bantuan! Ayuh berubahlah demi kebaikan…

— BebasNews

Leave a Reply