BERDIRI dari kanan: Aman Shah, Abdul Nasser Abu Kassim. DUDUK: Afrah Atasha dan tunangnya, Muazzin.

AMAN Shah, bukanlah satu nama asing dalam bidang senisuara dan lakonan yang pernah mencuri hati para peminatnya dengan lagu-lagu hitsnya seperti “Asmara Terkenang, Adikku Pandai Menari dan Ku Mengerti Erti Sepi” sejak akhir 1970an.

Mengenali beliau yang sentiasa kelihatan ‘happy go lucky‘ dan bersikap ‘mesra alam’ dengan para wartawan sesuatu yang saya ingat tentangnya, Aman Shah tidak pernah melenting walaupun ditanya soalan yang terlalu peribadi.

Realitinya, sebagai artis gosip itu tidak jauh daripada karier dan hidup mereka namun mengenali ‘seorang’ Aman Shah, setiap pertanyaan tidak pernah dibiarkan ‘gantung tidak bertali.’

Beliau akan menjawab dengan baik dan jelas setiap soalan yang diberikan cuma sesuatu yang pasti sama ada ianya boleh disiarkan atau ‘off record.’

Sebagai wartawan dan menghormati pendiriannya saya menulis apa yang perlu demi menjaga silaturrahim kami.

ALLAHYARHAM Aman Shah.

Bersandarkan itu saya yang mula mengenali artis rakaman EMI ini pada pelancaran album keduanya “Cinta Tidak Seindah Diucap” pada tahun 1980 masih dianggap sahabat walaupun waktu dan keadaan memisahkan kami.

Jika tidak mana mungkin setelah 20 tahun tidak bersua muka tanpa diduga pada 9 Oktober 2020, kira-kira pada pukul 4.00 petang ketika saya menginterbiu Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid di Hotel De Palma, Ampang, beliau datang kerana ada temujanji dengan orang yang sama dan apabila terpandang saya dalam gurauan beliau bertanya;

“Hai…Muz masih menulis lagi? Belum retire?”

Respon saya, “Dah lama retire dari Utusan tetapi sekarang menulis untuk Portal BebasNews. Aman selepas ni I interbiu you ya.”

“Bukan hari ini Muz. Maybe next time,” jawabnya sambil memberi ‘namecardnya’ yang saya anggap ‘souvenir‘ paling berharga kerana sejak itu ada beberapa kali teringat untuk interbiu beliau tetapi keadaan tidak mengizinkan.

Semalam kira-kira pada pukul 3.00 petang saya terbaca status Facebook milik Huzz Aini memberitahu Aman Shah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir kerana komplikasi jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Adalah difahamkan Aman Shah kritikal dan menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.20 petang. Beliau dikatakan menjalani pembedahan jantung pada hari Selasa pukul 10 malam untuk memasukkan tiga ‘stent’ di jantungnya.

LAKONAN Aman Shah sebagai Leftenan Arif dalm filem “Darah Satria” terbitan tahun 1983 meninggalkan kesan yang mendalam di hati para peminat setianya.

Walaupun pernah membintangi empat filem “Azura 2012, Aku Bukan Gila dan Dato’ Ai La Beau,” Aman Shah akan sentiasa dikenang kerana wataknya yang begitu sinonim sebagai Leftenan Ariff dalam filem “Darah Satria” yang diterbitkan pada tahun 1983. Allahyarham dikatakan ‘pergi’ dengan tenang dan meninggalkan enam orang anak daripada tiga perkahwinannya.

“Saya masih ingat betapa happynya arwah abang saya ketika di majlis pertunangan anak bungsunya, Afrah Atasha pada 3 September lalu. Saya tidak pernah tengok arwah terlalu happy…mungkin sebab gembira melihat anak bungsunya akan menjadi isteri orang tidak lama lagi.

“Di majlis itu beliau mahu saya menjadi wakil bagi pihak perempuan untuk menerima rombongan pada majlis pertunangan antara Afrah dengan Muazzin. Itulah pertemuan terakhir Allahyarham dengan anak-anaknya, di Singapura,” cerita Datuk Abdul Nasser Abu Kassim yang kini berada di Jakarta kerana urusan perniagaan berkaitan IT ketika dihubungi pada 12.20 tengah malam tadi sehingga 1.49 pagi.

DALAM kenangan: (Berdiri dari kanan) Aman Shah, Farah Diba.
Duduk: Afrah Atasha dan tunangnya, Muazzin.

Selain Afrah, Aman Shah mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Hyqel dan Imran dengan bekas isterinya, Farah Diba.

Melalui perkahwinan pertama, Allahyarham mempunyai seorang anak, Hazly. Sementara dengan perkahwinan ketiga Allahyarham dikurniakan sepasang anak iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan.

ABDUL NASSER ABU KASSIM

Menurut Nasser, Allahyarham dimasukkan ke IJN pada Jumaat lalu. Beberapa bulan sebelum ini Allahyarham pernah diserang ‘minor heart attack.’ dan beliau sempat melawat Allahyarham pada hari Ahad sebelum ke Jakarta.

“Semasa saya melawat Allahyarham tidak ada pesan apa-apa tetapi pada Isnin beliau mesej saya agar mendoakan semoga dipermudahkan urusan pembedahannya,” cerita Nasser anak ke lapan daripada 10 beradik sementara Allahyarham Abangnya merupakan anak ke tujuh.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif, Datum Corporation, Tuan Mohd. Azmil Abd. Shukor yang merupakan kawan baik Allahyarham Aman Shah dan sempat bergambar malam sebelum pembedahan ketika ditanya mengenai Allahyarham, berkata;

“Saya mula mengenali Allahyarham Aman Shah pada tahun 2011 ketika saya mengendalikan projek UEM Group Berhad iaitu Bandar Nusajaya di Johor.

“Ketika itu Allahyarham ditugaskan di Corporate Com yang menguruskan segala yang berkaitan mengenai projek berkenaan. Saya kagum dengan kecekapan Allahyarham dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan kepadanya.

“Berlatarbelakang Allahyarham sebagai selebriti yang sudah tentu dikenali ramai dan pengetahuannya dalam bidang yang ditetapkan semua tugasnya dapat dilaksanakan dengan cemerlang.”

Walaupun baru berkenalan 12 tahun namun silaturrahim antara Mohd. Azmil Abd. Shukor dengan Aman Shah amat rapat. Malah beliau sentiasa mengambil berat segala yang berkaitan mengenai Aman Shah.

“Sebenarnya Allahyarham pernah di serang jantung ketika menjalani penggambaran drama di Kelantan pada akhir tahun lalu.

“Allahyarham hubungi saya memberitahu keadaannya ketika itu dan daripada simptom yang disampaikan itu, saya beritahu beliau ada masalah jantung dan harus menjalani pemeriksaan selesai shooting nanti.

“Sekembalinya dari Kelantan Allahyarham membuat pemeriksaan dan didiagnosis ada masalah jantung,” kata Tuan Mohd. Azmil Abd. Shukor.

GAMBAR ini pasti akan meninggalkan kesan yang mendalam di hati Tuan Mohd. Azmil Abd. Shukor kerana sejam sebelum memasukki bilik pembedahan setelah dipujuk barulah, Aman Shah mahu bergambar dengan memakai baju hospital, di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.

Menurut Tuan Mohd. Azmil, Aman Shah memberitahunya melalui angiogram doktor mendapati tiga saluran pembuluh darahnya tersumbat dan perlu melakukan pembedahan untuk meletakkan ‘stent.’

“Saya menziarah Allahyarham pada pukul 6 petang dan beliau menjalani pembedahan pada hari Selasa pukul 10 malam,” kata Tuan Mohd. Azmil yang menemani beliau dari sebelum pembedahan sehingga hari Rabu.

Bagaimana beliau terkilan kerana ketika beliau keluar sekejab dan dijaga oleh Hazly, anak sulung sahabatnya itu, Aman Shah menghembuskan nafas terakhir.

Bagi Tuan Mohd. Azmil Abd. Shukor kenangan yang tidak mungkin beliau lupakan apabila dapat bergambar dengan Aman Shah sebelum beliau ditolak ke bilik pembedahan.

“Mulanya Allahyarham tak mahu tetapi akhirnya setuju. Sampai saat ini masih terngiang-ngiang di telinga saya setelah sihat beliau ajak saya makan mi soto di Johor. Allahyarham adalah seorang pemakan,” kata Tuan Mohd. Azmil sambil bersyukur kerana dapat menguruskan jenazah Allahyarham sahabatnya itu sehingga disemadikan.

INILAH ‘souvenir’ paling bermakna daripada Aman Shah ketika kami berjumpa pada 9 OKtober 2020 di Rumbia Coffeehouse, Hotel De Palma, Ampang.

— BebasNews

Leave a Reply