Normaziah Shiekh Mohamed (tengah) bersama 10 finalis Wanita Ikon Malaysia 2022.

KELAB Wanita Ikon Malaysia (KWIM) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menganjurkan Anugerah Wanita Ikon Malaysia (AWIM) 2022 bertujuan bagi mencari seorang wanita yang layak digelar Ikon.

Anugerah yang diperkenalkan pada 2007 itu bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada seorang wanita yang boleh dijadikan inspirasi serta idola kepada wanita lain.

Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM), Datuk Normaziah Shiekh Mohamed berkata, wanita Ikon yang terpilih haruslah mampu menjalankan aktiviti-aktiviti pemerkasaan wanita dalam komuniti, dengan mengenal pasti keperluan atau permasalahan yang dihadapi oleh wanita dan mencari penyelesaian untuk memperkasakan mereka.

Tambahnya, wanita ikon juga berperanan sebagai wanita contoh serta idola kepada wanita lain dalam menyuntik semangat untuk memajukan diri dan masa depan.

Normaziah menjelaskan gelaran Wanita Ikon Malaysia yang disandang besar tanggungjawabnya.

“Bagi saya, seorang wanita yang digelar ikon itu adalah seorang yang dikagumi secara meluas dan mempunyai pengaruh atau kepentingan yang besar dalam bidang tertentu. Boleh dijadikan contoh dan sumber inspirasi untuk memperkasakan semua wanita di Malaysia.

“Berat tanggungjawab ini sebab anda kena jaga pelbagai tingkah laku demi menjaga nama baik supaya kita boleh menjadi teladan kepada orang lain,” kongsinya yang dinobatkan sebagai pemenang Wanita Ikon Malaysia pertama pada 2007.

Tambahnya, pencarian Wanita Ikon Malaysia 2022 bermula dari pencarian Wanita Ikon Negeri.

“Pencarian Wanita Ikon Negeri bermula di peringkat negeri sejak Mac lalu di mana seramai 242 pencalonan telah diterima, 73 calon telah berjaya ke peringkat saringan pertama.

Finalis dan ahli Kelab Wanita Ikon Malaysia serta penaja dalam majlis memperkenalkan peserta baru-baru ini.

“Manakala 42 calon terpilih ke peringkat akhir Anugerah Wanita Ikon Negeri dan hanya 10 pemenang Wanita Ikon Negeri telah terpilih. Semua pemenang Wanita Ikon Negeri merupakan finalis yang akan bertanding untuk merebut satu gelaran di peringkat nasional iaitu Wanita Ikon Malaysia,” jelasnya.

Finalis Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2022 ialah Nur Aishah Mat Yunus dari Johor, Mazvin Jahabardeen (Melaka), Dr. Nur Syazwani Mohd Jani (Negeri Sembilan), Datin Erni Dekritawati Yuliana Buhari (Selangor), Dr Nur Shasa Ain Abdul Aziz (Wilayah Persekutuan), Naziah Pir Khan (Perak), Norhaslinda Mat Hassin (Pulau Pinang), Ismaniza Fahida Ismail (Kedah), Noor Najiha Sulaiman (Kelantan) dan Siti Nurul Hidayah Ishak (Pahang).

Menurut Normaziah lagi, cara pengadilan untuk merebut gelaran Wanita Ikon Malaysia 2022, dilaksanakan melalui dua kaedah iaitu 50 peratus adalah daripada juri profesional dan 50 peratus lagi dari undian umum.

“Undian umum mula dibuka pada 12 tengah malam pada 14 September hingga 10 Oktober 2022 dan ditutup tepat pada pukul 12 malam.

Normaziah mahu memartabatkan kaum wanita di Malaysia.

“Pemenang akan membawa hadiah wang tunai tajaan KWIM, barangan kemas tajaan dari Habib Jewels dan turut serta dalam penajaan anugerah ini adalah Wardah Cosmetics Malaysia,” katanya.

Majlis pengumuman pemenang Wanita Ikon Malaysia 2022 akan diumumkan sewaktu Majlis Makan Malam Anugerah Wanita Ikon Malaysia pada 20 Oktober 2022 ini.

Selain itu, pada malam tersebut juga akan diumumkan pemenang untuk beberapa kategori lain, antaranya pemenang Wanita Ikon Muda, Wanita Ikon Inspirasi, Wanita Ikon Waja, Ibu Ikon dan He For She (khas untuk lelaki).

“Anugerah Ibu Ikon dikurniakan kepada seorang ibu macam ibu mithali. Ada satu anugerah khas yang baru diperkenalkan iaitu Anugerah He For She, untuk lelaki. Kita nak memartabatkan kaum lelaki supaya mereka mendokong kaum wanita supaya lebih maju jaya. Kita dah terima beberapa calon dan sedang selidik.

“Satu lagi anugerah khas yang kita akan adakan adalah, Tokoh Wanita Ikon Malaysia yang sebelum ini pernah dinobatkan kepada Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan tahun kemudian kepada Tan Sri Rafidah Aziz,” katanya tentang acara yang bakal berlangsung nanti.

Penaja utama adalah Habib Jewel dan pemenang Anugerah Wanita Ikon Malaysia akan menerima set barangan kemas bernilai RM10,000. Manakala, pemenang Anugerah Wanita Ikon Muda pula bakal menerima barangan kemas bernilai RM5,000. — BebasNews

Leave a Reply