KUALA LUMPUR: Prestasi ringgit harus dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya dibandingkan dengan dolar AS kerana mata wang tempatan itu juga meningkat berbanding banyak mata wang utama lain di dunia.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ringgit menyusut sebanyak 7.5 peratus berbanding dolar AS sejak awal 2022, namun mata wang serantau dan negara maju lain juga turut mencatatkan penurunan yang sama.

Beliau mengambil contoh, yen Jepun turun 19.2 peratus, yang terendah sejak 24 tahun lalu, pound sterling jatuh 14.4 peratus, terendah sejak 37 tahun dan Euro turun sebanyak 11.7 peratus, terendah semenjak 20 tahun yang lalu.

“Meskipun negara-negara tersebut turut mengalami penurunan nilai mata wang berbanding dolar AS, namun ia tidak mengalami krisis ekonomi termasuk di Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun, “ katanya menerusi hantaran video di laman media sosial beliau, hari ini.

Justeru Malaysia juga tidak mengalami krisis ekonomi meskipun penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS ketika ini.

Menurutnya lagi, jika dibandingkan dengan rakan dagang Malaysia dan mata wang lain, nilai ringgit telah meningkat.

Katanya , ringgit melonjak sebanyak 14.2 peratus berbanding yen Jepun, meningkat 8.2 peratus berbanding pound sterling, (4.5 peratus) berbanding euro, (3.9 peratus) berbanding dolar New Zealand dan (7.2 peratus) berbanding won Korea.

“Yang penting, sebagai sebuah negara pengeksport, nilai ringgit yang rendah berbanding dolar AS juga memberi kesan positif kepada pendapatan eksport negara.
“Jadi jangan tengok pada satu aspek sahaja. Cuba tanya pengeksport Malaysia…depa (mereka) semua happy (gembira) sebab barangan eksport mereka menjadi lebih kompetitif,” ujarnya.

Selain itu, katanya, asas ekonomi negara yang terus kukuh juga penting dalam menentukan kekuatan ringgit.

Beliau berkata, keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berkembang bagi tiga suku tahun berturut-turut bermula pada suku keempat 2021 sebanyak 3.6 peratus, suku pertama 2022 (5.0 peratus) dan suku kedua 2022 (8.9 peratus).

Leave a Reply