Mohammad Shatar (tiga dari kanan) berharap lebih banyak IPT tempatan dapat menawarkan laluan APEL.

UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) komited untuk menarik minat pelajar antarabangsa menerusi inisiatif Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, usaha USM itu selaras dengan inisiatif pendidikan fleksibel yang sering dipromosikan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), selain menyemarakkan lagi agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH) seterusnya membantu usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global.

Katanya, pihaknya akan sentiasa memberi sokongan, khidmat rundingan dan panduan kepada institusi pengajian tinggi (IPT) untuk melaksanakan APEL yang mana pasarannya sangat besar.

“Di negara ini sahaja, lebih 60 peratus tenaga kerja layak untuk mengikutinya belum mengambil kira pelajar antarabangsa dari luar negara, justeru diharap lebih banyak IPT tempatan menerima pelajar laluan APEL dengan menyediakan sistem sokongan yang bersesuaian.

Sesi perkongsian ilmu mengenai APEL antara MQA dan USM, baru-baru ini.

“Saya yakin inisiatif ini mampu menarik minat ramai pelajar dari seluruh pelosok dunia untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pengajian tinggi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perkongsian ilmu mengenai APEL antara MQA dan USM, di Georgetown (14 September), baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM, Prof. Datuk Dr. Narimah Samat; Pendaftar USM, Datuk Dr. Musa Ali; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari; Pengarah Kanan (Pembangunan Dasar dan Kepakaran) MQA, Mohammad Dzafir Mustafa; Pengarah Pusat Kualiti Akademik USM, Prof. Dr. Irfan Naufal Umar; Pengarah Pusat Kecemerlangan Akademik USM, Prof. Dr. Abd Karim Alias dan Pengarah Pusat Swaakreditasi USM, Prof. Dr. Azura Rashid.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, sejak diperkenalkan pada 1 September 2011, APEL telah menyediakan laluan alternatif kepada individu yang tidak mempunyai kelayakan akademik untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

“APEL juga membenarkan pelajar membuat pemindahan kredit untuk menamatkan pengajian dalam tempoh yang lebih singkat.

“Selain itu, APEL turut menyokong agenda nasional dalam pembangunkan bakat dan melahirkan pekerja berkemahiran tinggi,” ujarnya. — BebasNews

Leave a Reply