
Oleh HASHIM YAACOB DAN HAJAR’UL ASWAD
PADA tahun 1963, kita tubuhkan negara Malaysia. Hari ini setelah 59 tahun berlalu, kita sekali lagi merayakannya.
Rakyat Sarawak, Sabah dan Semenanjung Tanah Melayu bergabung memaknakan penyatuan. Walau jauh di mata kerana dipisah oleh lautan, namun di hati tetap dekat sekali.
Kami nukil dua buah sajak, bagi melafazkan cinta pada negara kami Malaysia dan persaudaraan yang telah kita pupuk bersama.
Jambatan keakraban antara kita hendaklah terus berkekalan.
…
AURA CINTAKU DEMI NEGARAKU
dahulu
ketika itu
telapak kakiku
sebesar dua jari
terdengar laungan itu
tujuh kali diulang-ulang
bergema ke udara angkasaraya
kelmarin
dan ketika itu
aku turut bersama
melangkah kaki gagahku
melaungkan kalimah keramat itu
menjejak pentas merdeka dan perbarisan
hari ini
laungan itu
berulang lagi
65 kesekian kalinya
lantang di pelusuk negeri
meski telapak kakiku kebas
bagai tidak kuat untuk berdiri
jari jemari masih bisa menyulam puisi
saat ini
alunan lagu itu
Negaraku, tanah
tumpahnya darahku
walau terketar kakiku berdiri
aku masih mampu menyanyi
lagu keramat dengan gagah berani
Selamat Hari Malaysia
Keluarga Malaysia Teguh Bersama
Hajar’ul Aswad
Kinrara
16 September 2022
…
MERDEKA KITA
Kita merdeka
Kerana bijak bicara.
Lalu maju tubuhkan Malaysia.
Tiada seranah kata.
Tidak bertarung senjata.
Mudahnya merdeka berjaya.
Tanpa perit derita
hak kembali pada kita.
Awan mendung berkala
hanyut sesudah mentari tiba
mengishtihar Malaysia merdeka.
Enam puluh lima tahun merdeka,
dan Malaysia pula
jangan lupa Wasiat Raja-Raja.
Tanah rezab yang ada
Jangan digadai kerana laba!
Pesat pembangunan negara.
biar setara pemiliknya.
Hashim Yaacob
2022
— BebasNews

Datuk Prof Emeritus Dr Hashim Yaacob ialah bekas Naib Canselor Universiti Malaya, dan empat buah universiti swasta; Felo Royal College of Surgeons of England ; Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2001; Pelukis; Kepten Pasukan Sukarelawan Tentera Laut DiRaja Malaysia(B).