DENGAN sekali lafaz penyanyi dangdut Mas Idayu, 50, akhirnya selamat diijabkabulkan bersama penerbit eksekutif TV3, Muhamad Sufian Isa, 51, dalam sebuah majlis pada pukul 10.40 pagi tadi.

Pasangan itu dinikahkan Imam dan Penolong Pendaftar Nikah, Masjid Jamek Kampung Baru, Ustaz Azizi Abd Hamid berwalikan bapa pengantin perempuan, Mesnun Hassan pada majlis yang berlangsung di Magica Event Hall, Quill City Mall, Kuala Lumpur.

Majlis bertemakan fairytale dan Inggeris ini turut dihadiri lebih 100 tetamu. Pada majlis tersebut, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM1,001 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang. Bagaimanapun, wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Kedua mempelai kelihatan anggun dengan persalinan sedondon berona merah jambu rekaan Anas Abdulah dan solekan Fazrin Wahid. Mas Idayu dan Muhamad Sufian akan diraikan dalam majlis resepsi yang turut diadakan pada malam ini di Magica Event Hall, Quill City Mall, Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai hari bahagianya ini, kata Mas Idayu, Sejujurnya perkahwinan kedua ini sangat bermakna kerana sebelum ini (perkahwinan terdahulu) tiada acara bersanding atau acara meriah seperti pengantin lain.

“Jadi majlis hari ini rasanya macam perkahwinan pertama bagi diri saya. Saya juga gembira kerana setelah 17 tahun bersendirian ada juga jodoh untuk saya. Seperti orang lain, saya harapkan perkahwinan kami ini berkekalan hingga ke akhir hayat.”

Menyentuh mengenai suaminya, Mas Idayu yang lebih mesra disapa sebagai Mummy menambah, sifat kelakar yang ada pada Sufian membuatkannya tertarik.

“Abang Pian (Suffian) ni kalau tengok muka memang serius dan garang orangnya. Tapi kalau dah lama kenal, sebenarnya dia ni kelakar orangnya. Saya pula memang suka lelaki yang kelakar dan suka melawak dan tak sangka dapat juga ciri-ciri lelaki idaman saya,” katanya yang akan berbulan madu ke Santorini, Greece selama dua minggu.

Terdahulu, awal April lalu, Mas Idayu mengesahkan bakal menamatkan zaman janda dengan Sufian yang mula dikenali sejak program Mentor 3 pada 2008.

Pasangan ini cukup bertuah kerana mendapat tajaan dianggarkan RM7 juta, merangkumi lokasi, katering, busana dan aksesori. Pernikahan mereka juga dikatakan bakal mencipta rekod dalam Buku Rekod Malaysia (MBOR).

Sebelum ini, Mas Idayu yang popular dengan lagu Robek Hatiku pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aman Graseka pada 1997 dan bercerai sembilan tahun kemudian. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang anak perempuan Nur Dayini Asyiqa yang kini berusia 25 tahun. — BebasNews

Leave a Reply