BRENDAN Gan (tiga dari kiri) mendengar arahan Kim Pan-gon (bertopi) dalam sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya. – Foto FAM

BRENDAN Gan hanya memikirkan untuk mencurahkan yang terbaik buat negara dan Harimau Malaya sebagai pemain normal sambil tidak sesekali berharap untuk menyarung lilitan kaptennya.

Turut merendah diri kapten Selangor FC ini mengakui bukan itu matlamat utamanya apabila terpilih semula ke pangkuan pasukan negara sejak pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Jun tahun lalu.

“Saya hanya mahu buat yang terbaik dan berikan segalanya kepada pasukan dan negara.

“Saya sudah buktikan saya bukanlah manusia adi atau luar biasa, saya hanya orang normal yang pernah mengharungi cabaran besar (didiagnosis kanser testikel, tahun lalu),” kata perantara kelahiran Australia ini di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor, semalam.

Tanpa penjaga gol yang juga kapten ketika pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia di Bukit Jalil, Jun lalu, Farizal Marlias, Brendan, 34, tampak berpeluang cerah untuk mengambil alih peranan tersebut.

Hanya dia yang merupakan kapten kelab Liga Super musim ini dalam senarai 25 pemain Harimau Malaya yang dikumpul sejak semalam bagi menghadapi Piala Raja Thailand Ke-48 di Chiang Mai dari Khamis ini hingga 25 September ini.

Namun penyerang Syafiq Ahmad sempat memimpin skuad negara ketika menewaskan Bangladesh 4-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan C kelayakan itu.

Mengenai panggilan sulungnya dengan pasukan kendalian Kim Pan-gon, warga Korea Selatan, katanya, “satu penghormatan besar dan mengujakan saya dapat kembali ke pasukan negara. Harap kami berjaya dalam Piala Raja Thailand.

BRENDAN Gan menjawab soalan media mengenai tahap kesihatan dan kecergasannya apabila tersenarai semula ke dalam Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon. – Foto FAM

“Saya akan cuba memahami apa yang dikehendakinya dan cepat melakukannya serta buktikan kita sebagus mana.

“Saya mengalu-alukan panggilan ini. Setiap pemain dipilih daripada apa yang mampu dibuat. Saya mahu bawa prestasi yang baik dengan Selangor FC kepada pasukan negara,” katanya yang menyarung ‘belang’ Harimau Malaya sejak 2016.

Brendan turut mengakui menggemari pendekatan asakan bertali arus dan kepesatan tinggi baharu yang dipamerkan oleh pasukan negara kendalian Pan-gon ketika kelayakan di Bukit Jalil.

“Inilah jenis permainan yang saya gemari. Sentiasa di hadapan lawan. Saya datang menonton di Stadium (Nasional), Bukit Jalil ketika mereka menentang Bahrain,” katanya.

SHAHRUL Saad, bek tengah JDT FC yang masih tercedera sejak menentang PJ City FC dalam Liga Super di Petaling Jaya, Khamis lalu. – Foto FAM

Sementara itu, siaran media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini melaporkan, bek tengah Shahrul Saad dilepaskan dari kem latihan pusat sekali gus terlepas ke Chiang Mai.

“Pemantauan doktor dan fisioterapis mendapatinya tidak sempat cergas sepenuhnya selepas dua hari melapor diri.

“Barisan kejurulatihan dan pasukan perubatan pasukan yang sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemain, bersetuju melepaskan Shahrul dari kem latihan pusat supaya dia dapat kembali dengan kesihatan terbaik selepas ini.

“Tanpa Shahrul, baki 23 pemain akan meneruskan latihan di Wisma FAM sementara Dion-Johan Cools akan terus menyertai pasukan di Chiang Mai, Isnin ini. Tiada penambahan pemain baharu,” kata Pan-gon dalam siaran itu.

HARIMAU MALAYA KE PIALA RAJA THAILAND 2022

Penjaga gol: Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC), Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Petaling Jaya City FC), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Negeri Sembilan FC).

Benteng: Matthew Davies, La’Vere Lawrence Corbin-Ong (Johor Darul Ta’zim FC), Sharul Nazeem Zulpakar (Selangor FC), Azam Azmi Murad (Terengganu FC), Ahmad Khuzaimi Piee (Negeri Sembilan FC), Declan Lambert (Kuala Lumpur City FC), Dominic Tan (Sabah FC), Dion-Johan Cools (FK Jablonec, Czech).

Perantara: Nazmi Faiz Mansor (Johor Darul Ta’zim FC), Brendan Gan, Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC), Zhafri Yahya (Kuala Lumpur City FC), Nor Azam Azih (Sri Pahang FC).

Sayap: Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Mohamadou Sumareh (Johor Darul Ta’zim FC), Faisal Halim (Terengganu FC), V. Ruventhiran (Petaling Jaya City FC).  

Penyerang: Syafiq Ahmad (Johor Darul Ta’zim FC), Darren Lok (Petaling Jaya City FC).

Leave a Reply